Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Pendedahan meluas berkaitan ASEAN

Berita dan Foto : Saerah Haji Abdul Ghani

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 6 April. - Dalam hasrat untuk membarigakan serta memberikan pendedahan meluas mengenai maklumat asas berkaitan ASEAN kepada penuntut-penuntut sekolah menengah di negara ini, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Hal Ehwal Antarabangsa, selaku Sekretariat bagi Jawatankuasa Kecil Penerangan (SCI) ASEAN-COCI melaratkan lagi Jerayawara Kenali ASEAN ke Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam (SM SMJA), hari ini, di sini.

Seramai 120 orang penuntut sekolah berkenaan hadir semasa jerayawara yang berlangsung di sekolah tersebut.

Taklimat Kenali ASEAN disampaikan oleh Pegawai Penerangan selaku Ketua Unit Hal Ehwal Antarabangsa, Jabatan Penerangan, Dayang Mufidah binti Abdul Hakim yang antara lain menyentuh mengenai penerapan dalam menanamkan kesedaran dan rasa milik dalam kalangan para penuntut sekolah sebagai sebahagian masyarakat ASEAN, selaras dengan moto ASEAN : Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti (One Vision, One Identity, One Community).

Taklimat juga membarigakan Negara Brunei Darussalam (NBD) sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2021. Program ini merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyuntik semangat patriotisme dan sifat perpaduan (ASEAN-ness) khususnya dalam kalangan penuntut-penuntut dalam sama-sama menghayati fungsi dan tujuan ASEAN ditubuhkan.

Dalam masa yang sama, ia dapat mengukuhkan hubungan antara Jabatan Penerangan dengan masyarakat khususnya penuntut-penuntut yang merupakan bakal mewarisi kesinambungan bangsa dan seterusnya memainkan peranan penting dalam memangkin hala tuju negara satu masa nanti.

Taklimat juga diteruskan dengan Kuiz ASEAN untuk meningkatkan kesedaran penuntut-penuntut sekolah mengenai ASEAN selain untuk mengenal pasti sejauh mana mereka mengetahui mengenai ASEAN dan peranan organisasi ini dalam membangun negara- negara anggotanya.

Turut dipromosikan semasa taklimat berkenaan ialah aplikasi mudah alih 'We ASEAN' yang mengandungi maklumat mengenai ASEAN dan negara-negara Ahli ASEAN (ASEAN Member States), Kalender ASEAN, kuiz, galeri gambar dan video.

Aplikasi itu merupakan salah satu projek di bawah Jawatankuasa Kecil Penerangan (SCI) ASEAN-COCI. Ia boleh dimuat turun melalui Google Play bagi pengguna Android dan App Store bagi pengguna iOS.

 BERITA 3A.jpg

BERITA 3B.jpg

BERITA 3C.jpg

Attachments
Created at 13/04/2021 02:15 PM by Mohammad Khaiddir Shah Bin Hj Abdul Halim
Last modified at 08/12/2021 12:55 PM by Mohammad Khaiddir Shah Bin Hj Abdul Halim