Berita dan Foto : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 1 April. - Negara Brunei Darussalam (NBD) akan menjadi Pengerusi ASEAN bagi Tahun 2021 setelah Perdana Menteri Viet Nam, Tuan Yang Terutama Nguyen Xuan Phuc yang telah menyerahkan kedudukannya sebagai Pengerusi ASEAN kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 15 November tahun lepas.
Pegawai Penerangan, Dayang Mufidah binti Abdul Hakim yang juga selaku Ketua Unit Hal Ehwal Antarabangsa semasa menyampaikan taklimat pada Jerayawara Kenali ASEAN seterusnya menyatakan tema pada tahun ini adalah 'We Care, We Prepare, We Prosper'.
Taklimat berlangsung di Dewan Serbaguna Sekolah Menengah Lambak Kiri hari ini juga menerangkan, serba sedikit tentang profil 10 negara anggota ASEAN iaitu NBD, Kemboja, Indonesia, Lao, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Viet Nam.
Selain itu, penuntut-penuntut juga diberikan penerangan mengenai sebahagian tempat menarik serta makanan tradisi dari setiap negara anggota.
Turut dipromosikan semasa taklimat berkenaan ialah aplikasi mudah alih 'We ASEAN' yang mengandungi maklumat mengenai ASEAN dan negara-negara ahli ASEAN (ASEAN Member States), kalendar ASEAN, kuiz, galeri gambar dan video.
Aplikasi ini merupakan salah satu projek di bawah Jawatankuasa Kecil Penerangan (SCI) ASEAN-COCI. Ia boleh dimuat turun melalui Google Play bagi pengguna Android and App Store bagi pengguna iOS.
Jabatan Penerangan melalui Unit Hal Ehwal Antarabangsa selaku sekretariat bagi Jawatankuasa Kecil Penerangan (SCI) ASEAN-COCI mengadakan Jerayawara Kenali ASEAN menyasarkan beberapa buah sekolah dalam hasrat untuk membarigakan serta memberikan pendedahan meluas mengenai maklumat asas berkaitan ASEAN kepada penuntut-penuntut sekolah menengah di negara ini.
Penyampaian taklimat kepada seramai 140 penuntut sekolah itu yang antara lain menanamkan kesedaran dan rasa milik dalam kalangan penuntut sekolah sebagai sebahagian daripada masyarakat ASEAN, selaras dengan Moto ASEAN, Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti (One Vision, One Identity, One Community).
Program ini merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyuntik semangat patriotisme dan sifat perpaduan (ASEAN-ness) dalam kalangan penuntut dalam sama-sama menghayati fungsi dan tujuan ASEAN ditubuhkan, dalam masa yang sama juga dalam mengukuhkan hubungan antara Jabatan Penerangan dengan masyarakat khususnya penuntut-penuntut yang merupakan bakal mewarisi kesinambungan bangsa dan seterusnya memainkan peranan penting dalam memangkin hala tuju negara satu masa nanti.
Kuiz ASEAN juga turut diadakan bagi meningkatkan kesedaran penuntut-penuntut sekolah mengenai ASEAN selain untuk mengenal pasti sejauh mana mereka mengetahui mengenai ASEAN dan peranan organisasi ini dalam membangun negara-negara anggotanya. Turut hadir, tenaga pengajar sekolah berkenaan.

