Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Penting menjaga, memelihara 'anak-anak kitani'

AAK MUKIM KERIMA II.jpg

AAK MUKIM KERIAM.jpg

Berita dan Foto : Ak. Syi'aruddin Pg. Dauddin 

TUTONG, Sabtu, 17 Ogos. - Program Awasi Anak Kitani (AAK) diadakan sebagai usaha untuk menambah dan meningkatkan lagi kesedaran ibu bapa tentang keselamatan juga mengawal anak masing-masing daripada penyalahgunaan dadah dan isu-isu dalam negeri. 

Program yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan melalui Jawatankuasa program berkenaan bagi Mukim Keriam dengan kerjasama Biro Kawalan Narkotik (BKN), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (JKDN) dan Syarikat IT Protective Security Services (ITPSS) Sendirian Berhad diadakan di Dewan Serbaguna Sinaut, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, di sini. 

Hadir selaku tetamu kehormat, Orang Kaya Jaya Putera Dato Paduka Awang Haji Muhammad Taha bin Abdul Rauf. 

Pemangku Pegawai Penerangan Kanan, Dayang Ruhil Amal Faridah binti Awang Yahya juga Ketua Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan selaku Pengerusi AAK ketika berucap pada program itu menjelaskan bahawa fokus program itu adalah pengawasan 'anak-anak kitani' kerana merekalah yang akan menjadi harapan untuk membawa negara bergerak maju bagi membantu merealisasikan Wawasan Brunei 2035. 

''Oleh itu, peranan para peserta adalah penting bagi menjaga dan memelihara 'anak-anak kitani' agar mereka sentiasa berfikiran positif, proaktif dan berwawasan. Adalah diharapkan dengan maklumat yang diperoleh melalui program ini, para peserta akan dapat lagi meningkatkan pengawasan anak-anak dan bertindak dalam menangani isu-isu tersebut jika ia berlaku kepada anak-anak mereka,'' ujarnya. 
Dayang Ruhil Amal Faridah seterusnya berharap melalui program tersebut para peserta akan dapat meningkatkan lagi pengawasan anak-anak dan kerjasama dengan agensi-agensi yang sentiasa bekerja keras untuk mengawal keselamatan juga membanteras gejala sosial. 

Semua pihak, termasuk di peringkat mukim dan kampung, jelasnya mempunyai peranan penting dalam menanai tanggungjawab menjaga keharmonian juga perpaduan masyarakat. 

Program diisikan dengan taklimat oleh Ketua Cawangan JKDN, Dayang Hajah Kharterinah Zeimah binti Haji Ibrahim selaku wakil JKDN, antara lain menjelaskan mengenai tugas dan tanggungjawab jabatan berkenaan termasuk isu-isu keselamatan dalam negeri di bawah pantauan jabatan tersebut. 

Taklimat kedua pula disampaikan oleh Profesional IT, Dayang Ida Frida binti Abu selaku wakil ITPSS yang menyentuh mengenai ancaman dan jenayah siber, selain mengongsikan mengenai tip pengguna bijak dalam penggunaan teknologi, termasuk panduan ibu bapa dalam mengawasi penggunaan IT dalam kalangan anak-anak. 

Manakala wakil daripada BKN, iaitu Penolong Pegawai Narkotik, Awang Ranil bin Rosli dalam taklimatnya mengongsikan mengenai keburukan dadah, yang mana gejala penyalahgunaannya dalam kalangan masyarakat negara kita semakin membimbangkan dan perlu ditangani dengan serius. 

Program juga diisikan dengan jualan buku terbitan Jabatan Penerangan dan pameran daripada BKN juga JKDN.
Attachments
Created at 19/08/2019 08:32 AM by Mohammad Wirman Bin Hj Matussin
Last modified at 19/08/2019 08:32 AM by Mohammad Wirman Bin Hj Matussin