Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim| / Foto : Azmah Haji Ahad
BELAIT, Isnin, 4 Mei. - Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri (JPM), melalui Meja Hal Ehwal Antarabangsa, Unit Perhubungan Korporat, Bahagian Media dan Komunikasi Korporat selaku Sekretariat bagi Jawatankuasa Kecil Penerangan (SCI) ASEAN-COCI meneruskan lagi Jerayawara Kenali ASEAN untuk membarigakan serta memberikan pendedahan meluas mengenai maklumat asas berkaitan ASEAN kepada pelajar-pelajar sekolah menengah di negara ini, dengan berkunjung ke Maktab Anthony Abell, Seria bertempat di dewan utama maktab berkenaan.
Turut hadir pada taklimat berkenaan ialah Guru Kanan Pentadbiran, maktab tersebut, Awang Muhammad Anizn bin Abdullah Langkan dan para tenaga pengajar sekolah berkenaan.
Taklimat Kenali ASEAN disampaikan oleh Ketua Meja Hal Ehwal Antarabangsa, Unit Perhubungan Korporat, Bahagian Media dan Komunikasi Korporat, Jabatan Penerangan, Awang Eddy Iswandy bin Haji Ismail kepada 138 pelajar yang terdiri daripada pelajar Tahun 7 dan 8.
TaKlimat tersebut adalah untuk menanamkan kesedaran khususnya dalam kalangan para pelajar sekolah sebagai sebahagian daripada masyarakat ASEAN, selaras dengan Moto ASEAN : Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti (One Vision, One Identity, One Community).
Para pelajar juga berkesempatan untuk mengikuti sesi Kuiz Kenali ASEAN dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Guru Kanan Pentadbiran sekolah berkenaan.
Dalam hasrat untuk membarigakan mengenai ASEAN ia juga usaha berterusan untuk menyuntik semangat patriotisme dan sifat perpaduan (ASEAN-ness) dalam kalangan pelajar-pelajar untuk menghayati fungsi dan tujuan ASEAN ditubuhkan.
Dalam masa yang sama juga dapat mengukuhkan hubungan antara Jabatan Penerangan dengan masyarakat khususnya para pelajar yang bakal mewarisi kesinambungan bangsa dan seterusnya memainkan peranan penting dalam memangkin hala tuju negara satu masa nanti.








