Oleh : Nooratini Haji Abas / Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
RIMBA, Isnin, 20 April. - Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Kenegaraan, Seksyen Kenegaraan dan Kemasyarakatan, Bahagian Komunikasi Strategik pagi tadi mengadakan Program Taklimat Kenegaraan 'Raja Kita, Menghayati Bendera dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam' bertempat di Qa'ah A'mah (Dewan Serbaguna) Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SASHHB), di sini.
Taklimat disampaikan oleh Pemangku Ketua Seksyen Kenegaraan dan Kemasyarakatan, Pengiran Haji Ahmad Fadillah Akhbar bin Pengiran Haji Sellahuddin.
Seramai 168 orang penuntut dari Tahun 7 SASHHB serta guru kanan dan para tenaga sekolah menyertai taklimat berkenaan.
Selain mendengarkan taklimat, para penuntut juga menyaksikan tayangan video animasi 'Tatacara Menaikkan Bendera' serta berpeluang menyertai kuiz kenegaraan bagi menguji dan menambah kefahaman mengenai kandungan taklimat.
Taklimat diakhiri dengan penyampaian hadiah Kuiz Kenegaraan kepada para penuntut yang menyertai kuiz berkenaan dan disampaikan oleh Guru Kanan sekolah, Awang Haji Zaidi bin Mohidin.
Program ini merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyemai cinta terhadap raja, agama, bangsa dan negara, ia juga dihasratkan akan dapat mengukuhkan lagi semangat solidariti, patriotik dan kenegaraan yang tinggi dalam diri penuntut.






