BERAKAS, Rabu, 4 Februari. - Ke arah memahami, menyokong dan menghargai usaha-usaha kerajaan dalam sama-sama membangun negara terutamanya bagi mencapai Wawasan Brunei 2035, Jabatan Penerangan menerusi Unit Hubungan Masyarakat, Seksyen Kenegaraan dan Kemasyarakatan, Bahagian Komunikasi Strategik telah mengadakan Majlis Pembukaan Program Masyarakat Bermaklumat (PMB) bagi Sektor Hospitaliti yang akan berlangsung selama dua hari bermula hari ini, bertempat di Dewan Auditorium, Bangunan Tambahan, Jabatan Penerangan.
Program disertai oleh seramai 44 peserta, yang terdiri daripada pegawai-pegawai dan penuntut dari The School of Hospitality and Tourism, IBTE Kampus Sultan Saiful Rijal dan ahli-ahli dari Persatuan Hotel Brunei.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Ketua Bahagian Komunikasi Strategik, Jabatan Penerangan, Dayang Mufidah binti Haji Abdul Hakim. Turut hadir, pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Penerangan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dikepalai oleh Pembantu Pegawai Luar Penerangan, Awang Haji Mahmud Hafidzie bin Haji Awang Mashod dan diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Unit Hubungan Masyarakat, Pengiran Haji Ahmad Fadillah Akhbar bin Pengiran Haji Sellahhuddin.
Dalam ucapannya, beliau antara lain menyentuh Program Masyarakat Bermaklumat merupakan inisiatif jabatan dalam memberikan peluang kepada masyarakat untuk menimba ilmu pengetahuan dengan lebih lanjut mengenai usaha-usaha pihak kerajaan dan agensi-agensi berkenaan dalam sama-sama membangun Negara Brunei Darussalam.
Melalui program, tambahnya, para peserta boleh mendapat manfaat dan mengaplikasikan kepada kehidupan sehari-hari sebagai contoh dalam menghadapi jenayah siber yang sedang berleluasa pada masa ini.
Program juga dapat memberikan inspirasi mahupun idea-idea melalui lawatan sambil belajar ke perusahaan-perusahaan tempatan.
Selaras dengan tujuan program iaitu untuk menyuntik semangat dan menginspirasi anggota masyarakat dalam usaha-usaha meningkatkan taraf hidup, pengetahuan serta pendedahan kepada aktiviti-aktiviti peningkatan kapasiti dan pengetahuan, program ini telah disusun atur dengan beberapa sesi taklimat dan lawatan ke agensi-agensi yang terpilih.
.jpeg)
.jpeg)
.jpeg)
.jpeg)
.jpeg)
.jpeg)