Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Hernie Suliana Haji Othman
MUKIM LAMUNIN, Rabu, 5 November. - Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri (JPM) terus melaksanakan usahanya untuk menyampaikan maklumat mengenai isu-isu semasa, dasar kerajaan dan dalam masa yang sama untuk menerima maklum balas yang perlu diambil perhatian dan tindakan oleh agensi-agensi kerajaan yang berkenaan.
Sehubungan itu, Jabatan Penerangan, melalui Cawangan Penerangan Daerah Tutong, Bahagian Cawangan Daerah, mengadakan Program Sua Muka bagi Kampung Layong dan Kampung Bukit Sulang, Menengah dan Panchong, Mukim Lamunin, Daerah Tutong bertempat di Dewan Kemasyarakatan Kampung Layong, Mukim Lamunin, Daerah Tutong, hari ini.
Hadir mengetuai rombongan Jabatan Penerangan ialah Pemangku Timbalan Pengarah Penerangan selaku Ketua Bahagian Cawangan Daerah, Awang Haji Fathi Foad bin Dato Seri Setia Haji Abu Bakar.
Turut hadir, Pemangku Ketua Kampung Layong, Awang Mohammad Noh bin Haji Mohammad Taib, dan Pemangku Ketua Kampung Bukit Sulang, Menengah dan Panchong, Awang Muhammad Fitri Zulhilmi bin Haji Muhammad Shah Asnawi.
Juga hadir bagi menyampaikan taklimat kepada penduduk-penduduk kampung ialah pegawai-pegawai dari Jabatan Tenaga dan Brunei Darussalam Central Bank (BDCB).
Program dimulakan dengan mukadimah daripada ketua rombongan, di mana beliau menekankan mengenai peranan Jabatan Penerangan sebagai lidah, mata dan telinga kerajaan dalam menyampaikan apa jua maklumat yang terkini, dasar-dasar kerajaan dan isu-isu semasa kepada rakyat dan penduduk di negara ini melalui beberapa landasan antaranya Program Sua Muka dan juga melalui terbitan akhbar rasmi Pelita Brunei.
Awang Haji Fathi Foad turut mengongsikan salah satu program di bawah strategi kerja Jabatan Penerangan iaitu Komunikasi Bersemuka yang dihasratkan untuk meningkatkan hubungan dua hala antara pihak kerajaan-rakyat dan rakyat-kerajaan dengan membarigakan maklumat dan mengendalikan program hubungan masyarakat yang dapat menyumbang kepada perkembangan dan kemajuan mukim atau kampung.
Program Sua Muka turut diisi dengan perkongsian maklumat daripada agensi yang dijemput dan sesi dialog bersama penduduk kampung mengenai isu-isu yang dibangkitkan yang antara lain berkaitan prasarana, pengurusan dan penyelenggaraan infrastruktur, kebersihan dan kelestarian persekitaran serta kemudahan dan perkhidmatan komuniti di kawasan berkenaan serta hal-hal lain.
.jpg)
.jpg)
.jpg)