Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Alishahrin Haji Mumin
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 20 September. - Program Literasi Penerangan Belia Daerah Belait yang diadakan selama dua hari menutup tirainya hari ini dengan Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil yang diadakan di Dewan Auditorium, Bangunan Tambahan Jabatan Penerangan, di sini.
Seramai 41 peserta daripada belia Majlis Perundingan Kampung (MPK), belia Majlis Perundingan Mukim (MPM) serta belia dari Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) telah menyertai program berkenaan.
Majlis Penyampaian Sijil disempurnakan oleh Pemangku Pengarah Penerangan, Dayang Siti Bismi Nuruliman binti Haji Awang Emzah.
Terdahulu, atur cara program hari ini dimulakan dengan lawatan ke Pusat Da'wah Islamiah, dan para peserta berpeluang mendengar penerangan mengenai Islam dalam konteks Negara Brunei Darussalam yang berteraskan akidah Ahli Sunnah Waljamaah dari segi kepercayaan dan pengamalan.
Pada sebelah petang pula, para peserta mendengarkan taklimat mengenai 'Pentingnya Warisan Bagi Belia' yang disampaikan oleh Pusat Sejarah Brunei dan para peserta turut berpeluang mengunjungi Galeri Lentera Makmur di Jabatan Penerangan.
Di dalam galeri berkenaan, peserta didedahkan dengan pameran mengenai empat strategi utama Jabatan Penerangan, iaitu 'Raja Kita' yang menekankan peranan serta institusi raja; 'Strategi Bahan-bahan Terbitan' yang memfokuskan kepada penerbitan bahan-bahan komunikasi; 'Strategi Komunikasi Bersemuka' yang menjelaskan kaedah komunikasi secara langsung bersama orang ramai; serta 'Strategi Perhubungan Media dan Media Baharu' yang menampilkan penggunaan media tradisional dan media baharu dalam penyebaran maklumat.
Program Literasi Penerangan merupakan salah satu inisiatif Jabatan Penerangan menggunakan pendekatan Whole of Nation dan Whole of Government yang antara lain dihasratkan untuk melahirkan para belia berwawasan, mempunyai jati diri yang kukuh serta memiliki nilai luhur cintakan agama, bangsa dan negara yang tinggi serta memupuk rasa tanggungjawab ke arah memastikan Wawasan Brunei 2035 tercapai dengan jayanya.
.jpeg)
.jpeg)