Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Azmah Haji Ahad
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 1 September. - Sejak diperkenalkan pada tahun 1976, Program Sivik anjuran Jabatan Penerangan setakat ini kekal relevan dan bertujuan untuk memberikan pendedahan serta kefahaman kepada para peserta program ini mengenai inisiatif-inisiatif kerajaan dari semasa ke semasa.
Walaupun program ini mulanya dihasrat akan dapat menanamkan rasa kecintaan dan tanggungjawab sivik masyarakat terutamanya golongan belia terhadap negara, akan tetapi, program ini juga memainkan peranan yang amat penting bukan sahaja dalam mendukung hasrat negara ke arah belia yang berwawasan, malahan dalam membuka minda para belia untuk lebih berinovasi, berfikiran kritikal, 'resilient' dan mempunyai tahap kepedulian sosial yang baik sesama masyarakat.
Perkara tersebut antara yang dinyatakan oleh Pemangku Pengarah Penerangan, Dayang Siti Bismi Nuruliman binti Haji Awang Emzah, selaku tetamu kehormat pada Majlis Pembukaan Program Sivik Negara Brunei Darussalam Kali Kedua Bagi Tahun 2024/2025 yang diadakan di Dewan Auditorium, Bangunan Tambahan, Jabatan Penerangan.
Dalam ucapan alu-aluannya, Pemangku Pengarah Penerangan juga menyeru agar para belia untuk sama-sama memajukan negara, berfikiran kental, berdaya saing dan tidak mudah berputus asa dengan melengkapkan diri dengan calak Brunei iaitu akhlak dan perilaku yang baik serta pengetahuan am yang meluas.
Program Sivik berkenaan diadakan selama lima hari bermula 30 Ogos hingga 4 September 2025, dan dianjurkan oleh Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Kenegaraan, Seksyen Komunikasi Strategik, Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik.
Program kali ini disertai oleh 47 peserta, yang terdiri daripada lepasan ijazah dan mahasiwa/mahasiswi dari Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah serta mahasiswa-mahasiswi dari institut pengajian tempatan dan yang menjalani penempatan kerja di jabatan ini.
Sepanjang program ini diadakan, para peserta akan didedahkan kepada beberapa siri taklimat dan lawatan sambil belajar ke beberapa agensi kerajaan dan swasta. Selain itu, peserta juga akan terlibat dalam aktiviti bersama masyarakat kampung.
Antara objektif program ini diadakan ialah untuk memberi kefahaman dan maklumat terkini kepada masyarakat mengenai hal ehwal negara dan kerajaan, memastikan rakyat sentiasa peka terhadap perkembangan semasa; memupuk dan menanam semangat kenegaraan yang berasaskan falsafah konsep MIB, dengan menekankan nilai-nilai budaya, agama, dan kedaulatan yang menjadi asas identiti negara.
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)