Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Mohammad Hasif Matzin
PEKAN MUARA, Khamis, 28 Ogos. - Selaras dengan fungsi dan tanggungjawabnya sebagai lidah, mata dan telinga kerajaan, Jabatan Penerangan melalui Unit Hubungan Masyarakat, Seksyen Komunikasi Strategik, Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik hari ini mengadakan Program Muzakarah Penerangan (PMP) bersama penduduk Mukim Serasa, Daerah Brunei dan Muara yang berlangsung di Dewan Sekolah Rendah Sultan Umar Ali Saifuddin, Pekan Muara, di sini.
Hadir mempengerusikan PMP ialah Pemangku Timbalan Pengarah Penerangan, Awang Haji Fathi Foad bin Dato Seri Setia Haji Abu Bakar.
Dalam mukadimah, beliau menjelaskan bahawa program ini merupakan salah satu usaha kerajaan, melalui agensi-agensi berkaitan, untuk berdialog dengan pemimpin akar umbi masyarakat dalam menyampaikan penjelasan, mendengar permasalahan serta menghebahkan maklumat rasmi kerajaan.
Hal ini adalah selaras dengan tuntutan agama Islam, iaitu segala isu atau permasalahan hendaklah dibincangkan bersama.
Sementara itu, hadir mewakili Mukim Serasa ialah Penghulu Mukim Serasa, Awang Saiful Adli bin Ali Hassan dan ketua-ketua kampung di bawah tadahan Mukim Serasa serta penduduk kampung.
Program seperti ini menurutnya, adalah amat penting kerana ia bukan sahaja menjadi wadah untuk bertukar fikiran, tetapi juga sebagai penghubung yang mengeratkan lagi hubungan antara agensi kerajaan dengan masyarakat di peringkat akar umbi.
PMP yang antara lain bertujuan mendekati masyarakat secara turun padang melalui pendekatan bersemuka itu juga merupakan satu program di mana agensi-agensi kerajaan sebagai penggerak pentadbiran negara akan sentiasa memastikan apa jua isu dan permasalahan rakyat dan penduduk di negara ini dapat ditangani dengan sebaik mungkin mengikut gerak kerja masing-masing.
Juga hadir selaku ahli panel muzakarah ialah pegawai-pegawai kanan dari agensi-agensi kerajaan iaitu Kementerian Kesihatan, Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Perkhidmatan Elektrik, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Saliran dan Pembetungan, Jabatan Jalan Raya, Jabatan Kemajuan Perumahan, Jabatan Tanah, Jabatan Kemajuan Pelancongan, Jabatan Perikanan, Jabatan Daerah Brunei dan Muara, Jabatan Alam Sekitar Taman dan Rekreasi dan Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya.
Antara perkara yang dibentangkan pada sesi muzakarah berkenaan meliputi prasarana, ekonomi, kemudahan awam, keselamatan dan lain-lain.
.jpeg)
.jpeg)
.jpeg)
.jpeg)
.jpeg)