Oleh : Nurdiyanah Rajami / Foto : Azmah Haji Ahad, Nurdiyanah Rajami
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 20 Ogos. – Program Literasi Penerangan bagi Belia Daerah Tutong menutup tirainya petang tadi dengan Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil yang berlangsung di Dewan Citra, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).
Majlis Penyampaian Sijil berkenaan disempurnakan oleh Pemangku Pengarah Penerangan, Dayang Siti Bismi Nuruliman binti Haji Awang Emzah.
Program kali ini disertai oleh 28 orang peserta yang terdiri daripada belia mukim dan kampung dari Daerah Tutong yang sedang menjalani cuti penggal persekolahan.
Hari kedua program dimulakan dengan siri taklimat yang disampaikan oleh beberapa agensi kerajaan.
Antara siri taklimat yang dimuatkan termasuklah mengenai 'Penggunaan Teknologi AI yang Selamat dan Bertanggungjawab' yang disampaikan oleh Jurulatih Kesedaran Keselamatan Siber, Cyber Security Brunei, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Dayang Izuana binti Ayob dan juga taklimat mengenai 'Usaha dalam Menangani Isu Pengangguran di Negara Brunei Darussalam' oleh Penolong Pegawai Projek Tingkat I, Pusat Pekerjaan Brunei, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Awang Mohammad Asyraf bin Haji Arine.
Selain itu, taklimat bertajuk 'Mengukuh dan Mantapkan Akidah Golongan Belia' disampaikan oleh Pegawai Ugama, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dayang Siti Juhaidah binti Haji Bujang.
Sementara itu, pada sebelah petang, para peserta turut didedahkan dengan taklimat bertajuk 'Berita Palsu, Jenayah Siber dan Scammer' yang disampaikan oleh Kpl 4747 Syalihen bin Haji Ludin dari Pasukan Polis Diraja Brunei, yang menekankan bahaya ancaman siber bagi golongan belia, termasuk praktik buli siber, penipuan dalam talian serta kepentingan melindungi maklumat peribadi.
Sehubungan itu, Pelita Brunei berkesempatan menemu bual dua orang peserta program berkenaan yang antaranya rata-rata merakamkan kesyukuran dan penghargaan terima kasih kepada Jabatan Penerangan kerana diberikan peluang mengikuti program dua hari tersebut.
Salah seorang belia berusia 15 tahun dari Kampung Bukit Panggal, Daerah Tutong, Awang Md. Nurrezwan bin Deddy mengongsikan terdetiknya mengikuti Program Literasi Penerangan bagi Belia Daerah Tutong kerana beliau merasakan betapa mustahaknya untuk mengisi masa terluang yang bertepatan dengan musim cuti persekolahan ini dengan aktiviti-aktiviti berfaedah menerusi menimba pengetahuan dan pengalaman di luar pembelajaran dalam kelas atau persekolahannya.
“Kesedaran mengenai isu-isu semasa seperti keselamatan siber dan juga jenayah penipuan dalam talian suatu perkara yang perlu diambil perhatian pada masa kini lebih-lebih lagi dalam kita meniti zaman arus kemodenan. Alhamdulillah, dengan adanya taklimat-taklimat yang disampaikan kepada kami, kami secara langsung dapat mengetahui dengan sebaik-baiknya," ujarnya yang menuntut di Sekolah Menengah Muda Hashim Tutong (SMMHT) dalam Tahun 9.
Seterusnya, Dayang Nur Basirah binti Azman, 16 tahun, berpendapat bahawa dengan mengikuti Program Literasi Penerangan bagi Belia Daerah Tutong sememangnya dapat membuka minda bersama peserta yang lain lebih-lebih lagi meningkatkan kesedaran bersama tentang pembangunan modal insan amat berkait rapat dengan pembangunan belia di negara ini, kerana belia merupakan aset penting yang akan menjadi penggerak dan pemacu pada kemajuan serta pembangunan negara.
“Saya mengikuti program ini buat julung kalinya, pastinya ia memberi kesedaran bahawa golongan belia perlu peka dengan isu-isu semasa demi meningkatkan potensi diri dan juga menjauhi diri daripada melakukan kegiatan-kegiatan yang tidak diingini. Saya juga mengalu-alukan golongan belia dan beliawanis yang lain untuk terus terlibat dengan program seperti ini di masa akan datang," tambahnya yang berasal dari Kampung Kiudang, Daerah Tutong.
Program Literasi Penerangan merupakan salah satu inisiatif Jabatan Penerangan menggunakan pendekatan Whole of Nation dan Whole of Government yang antara lain dihasratkan untuk melahirkan para belia berwawasan, mempunyai jati diri yang kukuh serta memiliki nilai luhur cintakan agama, bangsa dan negara yang tinggi serta memupuk rasa tanggungjawab ke arah memastikan Wawasan Brunei 2035 tercapai dengan jayanya.
.jpeg)
.jpeg)
.jpeg)
.jpeg)
.jpeg)
.jpeg)