Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad / Foto : Azmah Haji Ahad
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 19 Ogos. - Bagi menyampaikan maklumat rasmi dan hasrat kerajaan kepada golongan belia, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Cawangan Penerangan Daerah Tutong, Bahagian Cawangan Daerah menganjurkan Program Literasi Penerangan bagi Belia Daerah Tutong selama dua hari bermula hari ini hingga 20 Ogos 2025.
Program tersebut disertai seramai 28 peserta terdiri daripada belia mukim dan kampung di Daerah Tutong.
Pemangku Ketua Cawangan Penerangan Daerah Tutong, Dayang Hajah Liyana binti Haji Suhaimi, selaku Pengerusi Program dalam ucapannya menjelaskan, program berkenaan merupakan antara usaha strategik Jabatan Penerangan dengan pendekatan Whole of Nation dan Whole of Government.
Ia dihasratkan melahirkan belia yang berilmu, berakhlak, siaga menghadapi cabaran masa depan serta mampu menyumbang ke arah pencapaian Wawasan Brunei 2035.
Beliau turut menyentuh mengenai Perintah Perlindungan Data Peribadi 2025 yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2026, sekali gus membuktikan keprihatinan kerajaan dalam melindungi rakyat daripada risiko penyalahgunaan maklumat serta ancaman siber.
Hal ini juga selaras dengan objektif program untuk mendidik belia tentang keselamatan digital dan etika penggunaan teknologi moden.
Sepanjang program, peserta didedahkan kepada beberapa elemen utama iaitu Pembangunan Belia melalui taklimat Dasar Belia Negara dan Strategi 2020–2035, termasuk peranan belia dalam pembangunan negara serta penglibatan dalam aktiviti kesukarelawan; Nilai Inklusiviti menerusi lawatan ke Pusat Bahagia Pulaie bagi memahami erti keterangkuman dan empati dalam masyarakat; Keselamatan Siber & Data dengan pendedahan mengenai ancaman berita palsu, jenayah siber, penipuan dalam talian, penggunaan Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence-AI) secara beretika, serta kepentingan perlindungan data peribadi; dan Isu Semasa Belia melalui perkongsian mengenai pengangguran belia, peluang pekerjaan melalui Pusat Pekerjaan Brunei, dan pengukuhan akidah oleh Pusat Da'wah Islamiah.
Hadir selaku tetamu kehormat di Majlis Pembukaan program tersebut ialah Pemangku Ketua Bahagian Media dan Komunikasi Korporat, Awang Mohamad Azmi bin Haji Awang Damit.
Majlis berlangsung di Dewan Citra, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Jabatan Penerangan dalam kenyataannya menegaskan, pihaknya akan terus mempelbagaikan platform penyampaian maklumat mengenai dasar dan aktiviti kerajaan di samping memahami kehendak semasa belia, seiring dengan visinya untuk 'Membudayakan Masyarakat Bermaklumat'.
.jpg)
.jpg)