Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Ak. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman, Pg. Muhammad Kamarularifin Pg. Roslan
BERAKAS, Selasa, 12 Ogos. - Program Literasi Penerangan bagi Belia Daerah Temburong yang berlangsung selama dua hari menutup tirainya dengan Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil yang diadakan di Dewan Auditorium, Jabatan Penerangan.
Majlis Penyampaian Sijil disempurnakan oleh Pemangku Pengarah Penerangan, Dayang Siti Bismi Nuruliman binti Haji Awang Emzah.
Program kali ini disertai seramai 36 peserta yang terdiri daripada belia mukim dan kampung dari Daerah Temburong yang sedang menjalani cuti penggal persekolahan.
Terdahulu, program hari kedua dimulakan dengan lawatan ke Pusat Bahagia Tutong, Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Mereka berpeluang mendengarkan taklimat dan lawatan ke kelas-kelas pertanian, masakan, jahitan dan anyaman yang disertai dan dibuat oleh pelajar pusat berkenaan.
Para peserta juga berpeluang mengadakan lawatan ke Institusi Penjara Maraburong, dengan para peserta mendengarkan taklimat mengenai sejarah penubuhan dan latar belakang Jabatan Penjara serta program-program pemulihan dan reintegrasi bagi rakan seliaan, demonstrasi sebatan secara sivil dan syariah serta lawatan ke bengkel-bengkel vokasional dan kemahiran.
Menurut Dayang Nur Syahirah binti Ruzman yang berasal dari Kampung Amo, Temburong, beliau yang pertama kali menyertai program berkenaan menyifatkan bahawa ia adalah satu program yang sangat berguna khususnya bagi belia-belia di negara ini kerana banyak ilmu dan pengetahuan dapat diperoleh sepanjang program berkenaan.
"Program ini memberikan pendedahan yang berguna kepada kami, terutamanya bagi belia-belia yang masih di alam persekolahan.
"Ia akan dapat membantu para generasi muda dalam menghadapi kehidupan di masa akan datang terutamanya melalui pendedahan daripada taklimat dan lawatan yang diadakan," ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi belia, Awang Muhammad Zorif Hadhariy bin Muhammad Fairuz yang menuntut di Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengongsikan bahawa banyak perkara baharu yang beliau pelajari sepanjang mengikuti program berkenaan antaranya ialah cara menapih sinjang dan membuat dastar, mendengar taklimat mengenai peranan belia, taklimat mengenai jenayah siber dan 'scammer' dari Pasukan Polis Diraja Brunei dan sebagainya.
Beliau juga menyarankan para belia lain di negara ini untuk menyertai program seumpama berkenaan kerana banyak pendedahan berguna yang dapat diraih melalui program ini.
Program Literasi Penerangan merupakan salah satu inisiatif Jabatan Penerangan menggunakan pendekatan Whole of Nation dan Whole of Government yang antara lain dihasratkan untuk melahirkan para belia berwawasan, mempunyai jati diri yang kukuh serta memiliki nilai luhur cintakan agama, bangsa dan negara yang tinggi serta memupuk rasa tanggungjawab ke arah memastikan Wawasan Brunei 2035 tercapai dengan jayanya.









