Oleh : Aimi Sani / Foto : Ak. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BERAKAS, Isnin, 11 Ogos. - Sebagai salah satu usaha untuk menyampaikan maklumat rasmi dan hasrat kerajaan kepada golongan belia, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri, melalui Cawangan Penerangan Daerah Temburong, Bahagian Cawangan Daerah, menganjurkan Program Literasi Penerangan bagi Belia Daerah Temburong selama dua hari, bermula 11 hingga 12 Ogos 2025 yang diadakan di Auditorium, Bangunan Tambahan, Jabatan Penerangan, Lapangan Terbang Lama, Berakas.
Program Literasi Penerangan bagi Belia Daerah Temburong kali ini disertai oleh 36 orang peserta yang terdiri daripada belia mukim dan kampung dari Daerah Temburong.
Terdahulu, Ketua Cawangan Penerangan Daerah Temburong, Dayang Izzah Hazirah binti Haji Adi Othman, selaku Pengerusi Program dalam ucapannya antara lain menyentuh bahawa Program Literasi Penerangan ini merupakan salah satu inisiatif Jabatan Penerangan menggunakan pendekatan Whole of Nation dan Whole of Government yang antara lain dihasratkan untuk memupuk rasa tanggungjawab ke arah memastikan Wawasan Brunei 2035 tercapai dengan jayanya.
Menurut Dayang Izzah Hazirah, program ini juga di hasrat akan dapat meningkatkan kesedaran para peserta tentang betapa pentingnya peranan belia dalam membangun negara, memupuk kerjasama dan perhubungan erat di antara para belia dan peringkat akar umbi serta memahami maksud mengenai Dasar Belia 2020 – 2035.
Program ini turut menyasarkan pembentukan belia yang berakhlak, berjati diri, berwawasan dan bersedia menjadi ejen perubahan dalam membina negara ke arah kemajuan yang menyeluruh dan seimbang di dunia dan akhirat. Ini selaras dengan tema Sambutan Hari Belia Kebangsaan Ke-18 iaitu 'Belia Siaga Masa Depan'.
Beliau melahirkan harapan agar para peserta akan menimba bukan sahaja ilmu pengetahuan dan kemahiran baharu, tetapi juga semangat untuk terus menyumbang kepada masyarakat dan menyokong dasar serta inisiatif kerajaan dengan semangat patriotisme yang tinggi dan sentiasa memiliki nilai luhur iaitu 'Cintakan Agama, Bangsa dan Negara'.
Sepanjang program dua hari ini, bagi memastikan program mencapai objektif yang dihasratkan, program kali ini akan menyentuh beberapa elemen penting iaitu 'Pembangunan Belia' melalui taklimat mengenai aspirasi dan peranan belia serta sesi perkongsian pandangan terhadap isu dan cabaran semasa yang disampaikan oleh Urus Setia Dasar Belia dan Strategi Brunei, Jabatan Belia dan Sukan.
Kedua mengenai 'Keselamatan Awam' iaitu melalui pendedahan tentang ancaman berita palsu, jenayah siber, modus operandi penipuan dalam talian yang disampaikan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei dan penggunaan Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence - AI) yang beretika, selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang baharu saja diperkenankan yang disampaikan oleh Brunei Computer Emergency Response Team (BruCERT).
Ketiga berkaitan dengan 'Nilai Inklusiviti', melalui lawatan ke Pusat Bahagia dan Penjara Maraburong bagi mendalami maksud keterangkuman dan empati dan terakhir adalah Adat Istiadat Brunei iaitu sesi amali seperti menambat dastar, menapih sinjang dan mengapit kain, bagi memelihara jati diri kebruneian walaupun dalam dunia yang semakin moden yang disampaikan oleh Jabatan Adat Istiadat Negara.
Hadir pada Majlis Pembukaan program tersebut ialah Pemangku Timbalan Pengarah Penerangan, Awang Haji Fathi Foad bin Dato Seri Setia Haji Abu Bakar.
Jabatan Penerangan dalam memantapkan lagi visi 'Membudayakan Masyarakat Bermaklumat' akan sentiasa mempelbagaikan platform pembarigaan maklumat mengenai dasar dan aktiviti kerajaan di samping memberikan peluang untuk Jabatan Penerangan untuk lebih memahami lagi kehendak semasa dalam kalangan belia.



