Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 6 Ogos. - Dalam usaha untuk membarigakan serta memberikan pendedahan meluas mengenai maklumat asas berkaitan ASEAN kepada pelajar-pelajar sekolah menengah di negara ini, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Meja Hal Ehwal Antarabangsa, Unit Perhubungan Korporat, Bahagian Media dan Komunikasi Korporat selaku Sekretariat bagi Jawatankuasa Kecil Penerangan (SCI) ASEAN-COCI meneruskan lagi Jerayawara Kenali ASEAN ke Sekolah Menengah Pehin Datu Seri Maharaja Mentiri, di sini.
Turut hadir pada taklimat berkenaan ialah Pengetua Sekolah, Awang Haji Malai Shah Eran bin Syed Haji Yussof Al-Idrus dan juga tenaga pengajar sekolah tersebut.
Taklimat Kenali ASEAN disampaikan oleh Ketua Meja Hal Ehwal Antarabangsa, Unit Perhubungan Korporat, Bahagian Media dan Komunikasi Korporat, Jabatan Penerangan, Awang Eddy Iswandy bin Haji Ismail kepada 408 orang pelajar Tahun 7 dan 8.
Antara lain taklimat adalah untuk menanamkan kesedaran dalam kalangan para pelajar sekolah sebagai sebahagian daripada masyarakat ASEAN, selaras dengan Moto ASEAN: Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti (One Vision, One Identity, One Community). Para pelajar juga berkesempatan mengikuti sesi Kuiz Kenali ASEAN.
Dengan hasrat untuk membarigakan mengenai ASEAN, ia juga usaha berterusan untuk menyuntik semangat patriotisme dan sifat perpaduan (ASEAN-ness) di kalangan pelajar-pelajar untuk menghayati fungsi dan tujuan ASEAN ditubuhkan, pada masa yang sama juga dapat mengukuhkan hubungan antara Jabatan Penerangan dengan masyarakat khususnya para pelajar yang bakal mewarisi kesinambungan bangsa dan seterusnya memainkan peranan penting dalam memangkin hala tuju negara satu masa nanti.
.jpeg)
.jpeg)
.jpeg)
.jpeg)