Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Daerah Tutong destinasi terakhir PENTARAMA

Oleh : Aimi Sani / Foto : Ak. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

TUTONG, Ahad, 3 Ogos. - Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Kenegaraan, Seksyen Komunikasi Strategik, Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik dengan kerjasama Cawangan Penerangan Daerah Tutong, Bahagian Cawangan Daerah mengadakan persembahan PENTARAMA sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-79, Tahun 2025 di Daerah Tutong, bertempat di Pentas Perayaan, kawasan lapang berhadapan Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, di sini.

PENTARAMA, iaitu pentas, tari dan drama ialah salah satu kaedah yang digunakan oleh Jabatan Penerangan sejak 1988 untuk menyalurkan maklumat rasmi kepada orang ramai secara bersemuka melalui persembahan pentas.

Melalui program berbentuk infotainment berkenaan, Jabatan Penerangan secara tidak langsung memberikan pendidikan dan perkongsian maklumat kepada pelbagai peringkat kelompok sasaran tentang nilai-nilai positif, kesedaran sivik dan semangat patriotisme, keagamaan, pendidikan dan perutusan atau mesej yang berkisar hal ehwal semasa negara, termasuk masalah sosial dalam kalangan masyarakat, seperti penyalahgunaan dadah, penyebaran berita palsu dan lain-lain.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Setiausaha Tetap (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Jabatan Perdana Menteri, Awang Ajman bin Haji Meludin.

Turut hadir, Pemangku Pengarah Penerangan, Dayang Siti Bismi Nuruliman binti Haji Awang Emzah selaku Pengerusi Persembahan PENTARAMA; Timbalan Pengarah Penerangan, Dayang Sastra Sarini binti Haji Julaini selaku Timbalan Pengerusi Persembahan PENTARAMA; Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri; Penghulu-penghulu Mukim dan Ketua-ketua Kampung serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Persembahan dimulakan dengan lagu tema 'PENTARAMA' dan tarian daripada Penari Arts and Culture Club, Cosmopolitan College, dan diteruskan dengan nyanyian solo dan berkumpulan daripada artis-artis tanah air, iaitu Rasyiqah, Dayat, Krunn dan Yanie.

Manakala persembahan drama pentas bertajuk 'Medsos Melalaikan' daripada Kumpulan Pentas Insan Seni mengisahkan tentang ibu bapa yang terlalu sibuk dengan media sosial sehingga lalai dalam mengerjakan kewajipan agama, lupa akan adab sopan terhadap orang tua serta tanggungjawab mendidik anak. Akhirnya, kerana kelalaian berkenaan, tanpa disedari anak mereka terjerumus dengan sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

Para penonton juga dihiburkan dengan persembahan lawak jenaka daripada Najib dan Loh dari kumpulan BruHaha yang membawakan mesej untuk sentiasa berwaspada ketika menggunakan media sosial bagi mengelakkan penipuan dalam talian.

Selain itu, turut diadakan ialah kuiz PENTARAMA untuk para penonton, dan penyampaian hadiah kepada pemenang kuiz disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.

Acara kemudiannya diakhiri dengan persembahan nyanyian oleh barisan artis dengan membawakan lagu 'Dirgahayu'.

Daerah Tutong merupakan destinasi terakhir persembahan PENTARAMA pada tahun ini setelah diadakan di Daerah Temburong pada 28 Julai, Daerah Brunei dan Muara pada 30 Julai, dan Daerah Belait pada 2 Ogos.

PENTARAMA TTG 4.jpeg

PENTARAMA TTG 3.jpeg

PENTARAMA TTG 2.jpeg


Attachments
Created at 12/08/2025 03:57 PM by nurakram.bahrin
Last modified at 12/08/2025 03:57 PM by nurakram.bahrin