Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

PENTARAMA meriahkan Pentas Perayaan Daerah Belait

Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Hernie Suliana Haji Othman

KUALA BELAIT, Sabtu, 2 Ogos. - Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-79, Tahun 2025 bagi Daerah Belait diteruskan lagi malam tadi dengan Persembahan PENTARAMA bertempat di Pentas Perayaan, Kawasan Gerai Tudung Saji Kuala Belait.

Persembahan PENTARAMA merupakan anjuran Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Kenegaraan, Seksyen Komunikasi Strategik, Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Awang Haji Hairul Mohd. Daud bin Haji Abdul Karim.

Turut hadir, Pemangku Pengarah Penerangan, Dayang Siti Bismi Nuruliman binti Haji Awang Emzah selaku Pengerusi Persembahan PENTARAMA; Timbalan Pengarah Penerangan, Dayang Sastra Sarini binti Haji Julaini selaku Timbalan Pengerusi; Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awang Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad; penghulu-penghulu dan ketua-ketua kampung serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Persembahan dimulakan dengan lagu tema PENTARAMA dan tarian daripada penari Arts and Culture Club, Cismopolitan College dan diteruskan dengan nyanyian solo dan berkumpulan daripada artis tanah air iaitu Rasyiqah, Dayat, Krunn dan Yanie.

Manakala persembahan drama pentas yang bertajuk 'Medsos Melalaikan' daripada kumpulan pentas Insan Seni yang mengisahkan tentang ibu bapa yang terlalu sibuk dengan media sosial sehingga lalai dalam mengerjakan kewajipan, agama, lupa akan adab sopan terhadap orang tua serta tanggungjawab mendidik anak. Akhirnya kerana kelalaian tersebut, tanpa disedari anak mereka terjerumus dengan sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

Penonton turut dihiburkan dengan persembahan lawak jenaka oleh Najib dan Loh (BruHaha) yang membawakan mesej untuk sentiasa berwaspada ketika menggunakan media sosial bagi mengelakkan penipuan dalam talian.

Acara turut diserikan dengan Kuiz PENTARAMA, di mana hadiah disampaikan oleh tetamu kehormat kepada para pemenang dan diakhiri dengan persembahan lagu Dirgahayu oleh barisan artis.

PENTARAMA akan diteruskan lagi ke Daerah Tutong pada Ahad, 3 Ogos 2025 berhadapan Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Pekan Tutong. Orang ramai dialu-alukan untuk hadir bagi memeriahkan lagi persembahan tersebut sebagai tanda sokongan dan kecintaan terhadap raja dan negara.

PENTARAMA adalah singkatan kepada pentas, tari dan drama iaitu merupakan salah satu inisiatif Jabatan Penerangan sejak tahun 1988 untuk menyampaikan maklumat rasmi secara langsung melalui pendekatan berunsur hiburan (infotainment).

HERNIE_09.jpg

HERNIE_08.jpg 

HERNIE_10.jpg

HERNIE_12.jpg


Attachments
Created at 12/08/2025 03:51 PM by nurakram.bahrin
Last modified at 12/08/2025 03:51 PM by nurakram.bahrin