Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said, Mohammed Marherman Hanaffi Haji Omar
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 30 Julai. - ASEAN Communication Master Plan 2018 – 2025 bagi menyokong pelaksanaan Kuala Lumpur Declaration mengenai Wawasan ASEAN 2025.
Selain itu, untuk mencapai Wawasan ASEAN 2025, setiap tonggak Komuniti ASEAN mempunyai rangka tindakan sendiri bagi aktiviti dan pencapaian dalam dua peringkat iaitu melalui Tahun 2020 dan kemudian dari Tahun 2021 hingga Tahun 2025.
Ketua Meja Hal Ehwal Antarabangsa, Unit Perhubungan Korporat di Jabatan Penerangan, Awang Eddy Iswandy bin Haji Ismail menerangkan demikian dalam taklimat Jerayawara Kenali ASEAN yang diadakan di Dewan Serbaguna, Sekolah Menengah Lambak Kiri, hari ini.
Awang Eddy Iswandy juga menekankan, prinsip utama ASEAN antara lain menghormati kemerdekaan (independence), ketuanan (sovereignty), kesaksamaan (equality), integriti wilayah (territorial integrity) dan identiti nasional (national identity) semua negara.
Selain itu, tidak mencampuri hak sesebuah negara menentukan dasar nasional selain tidak campur tangan hal ehwal dalaman negara-negara anggota.
Prinsip seterusnya tambahnya, menyelesaikan sebarang perbezaan atau pertikaian secara aman, menolak penggunaan kekerasan serta bekerjasama secara efektif antara Negara-negara Anggota ASEAN.
Jerayawara Kenali ASEAN yang diselenggarakan oleh Jabatan Penerangan melalui Meja Hal Ehwal Antarabangsa, Unit Perhubungan Korporat, Bahagian Media dan Komunikasi Korporat selaku Sekretariat bagi Jawatankuasa Kecil Penerangan (SCI) ASEAN-COCI untuk membarigakan serta memberikan pendedahan meluas mengenai maklumat asas berkaitan ASEAN kepada pelajar-pelajar sekolah menengah di negara ini.
Sehubungan itu, Jabatan Penerangan dengan inisiatifnya mengedarkan buku yang mengandungi penerangan mengenai ASEAN ke sekolah-sekolah menengah, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), universiti dan juga kedutaan dan perwakilan diplomat asing negara ASEAN di Negara Brunei Darussalam (NBD).
Pemangku Pengarah Penerangan, Dayang Siti Bismi Nuruliman binti Haji Awang Emzah yang juga selaku Pengerusi Jawatankuasa Kecil Penerangan (SCI) Komiti Kebudayaan dan Penerangan (ASEAN-COCI) NBD ada menyatakan bahawa dalam kepelbagaian budaya, bahasa dan tradisi, NBD akan sentiasa mendukung dan menanai hasrat ASEAN ke arah pemantapan kesalinghubungan dan keharmonian antara Negara-negara Anggota ASEAN.
Turut hadir pada taklimat berkenaan ialah Timbalan Pengetua Pentadbiran, Awang Hafizuddin bin Abdullah Tong dan para tenaga pengajar sekolah tersebut.
Seramai 365 pelajar dari Tahun 7, 8 dan 9 mendengarkan taklimat antara lain untuk menanamkan kesedaran dalam kalangan para pelajar sekolah sebagai sebahagian daripada masyarakat ASEAN, selaras dengan moto ASEAN iaitu Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti (One Vision, One Identity, One Community).
Para pelajar juga berkesempatan untuk mengikuti sesi Kuiz Kenali ASEAN dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Pengetua Pentadbiran sekolah berkenaan.
Dalam hasrat untuk membarigakan mengenai ASEAN, ia juga usaha berterusan untuk menyuntik semangat patriotisme dan sifat perpaduan (ASEAN-ness) dalam kalangan pelajar-pelajar untuk menghayati fungsi dan tujuan ASEAN ditubuhkan, pada masa yang sama juga dapat mengukuhkan hubungan antara Jabatan Penerangan dengan masyarakat khususnya para pelajar yang bakal mewarisi kesinambungan bangsa dan seterusnya memainkan peranan penting dalam memangkin hala tuju negara satu masa nanti.
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)