Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Hernie Suliana Haji Othman
TEMBURONG, Isnin, 28 Julai. - Pentas Perayaan Kawasan Dermaga, Pekan Bangar malam tadi dimeriahkan dengan persembahan PENTARAMA sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-79 bagi Tahun 2025.
Daerah Temburong menjadi daerah pertama penganjuran persembahan PENTARAMA yang dikelolakan oleh Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Kenegaraan, Seksyen Komunikasi Strategik, Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik dengan kerjasama Cawangan Penerangan Daerah Temburong, Bahagian Cawangan Daerah.
PENTARAMA iaitu pentas, tari dan drama ialah salah satu kaedah yang digunakan oleh Jabatan Penerangan sejak 1988 untuk menyalurkan maklumat rasmi kepada orang ramai secara bersemuka melalui persembahan pentas.
Melalui program berbentuk infotainment tersebut, Jabatan Penerangan secara tidak langsung memberikan pendidikan dan perkongsian maklumat kepada pelbagai peringkat kelompok sasaran tentang nilai-nilai positif, kesedaran sivik dan semangat patriotisme, keagamaan, pendidikan dan perutusan atau mesej yang berkisar hal ehwal semasa negara, termasuk masalah sosial dalam kalangan masyarakat, seperti penyalahgunaan dadah, penyebaran berita palsu dan lain-lain.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Setiausaha Tetap (Perbandaran dan Daerah), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Haji Abdul Walid bin Haji Matassan.
Turut hadir, Pemangku Pengarah Penerangan, Dayang Siti Bismi Nuruliman binti Haji Awang Emzah selaku Pengerusi Persembahan PENTARAMA; Timbalan Pengarah Penerangan, Dayang Sastra Sarini binti Haji Julaini selaku Timbalan Pengerusi Persembahan PENTARAMA; Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir, selaku Pemangku Penghulu Zon 1 dan Ketua Kampung Labu Estate dan Piasau-piasau, Daerah Temburong; Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Hassan Baha bin Haji Umar; serta Pemangku Penghulu Zon 2, Ketua-ketua Kampung dan Pengerusi-pengerusi Bersama bagi acara-acara Malam Keraian Daerah Temburong.
Persembahan dimulakan dengan lagu tema 'PENTARAMA' dan tarian daripada penari Arts and Culture Club, Cosmopolitan College, dan diteruskan dengan nyanyian solo dan berkumpulan daripada artis-artis tanah air, iaitu Rasyiqah, Dayat, Krunn dan Marsya Dania.
Kumpulan Pentas Insan Seni yang terdiri daripada pelakon-pelakon tempatan pula mempersembahkan drama bertajuk 'Medsos Melalaikan'.
Ia mengisahkan tentang ibu bapa yang terlalu sibuk dengan media sosial sehingga lalai dalam mengerjakan kewajipan agama, lupa akan adab sopan terhadap orang tua serta tanggungjawab mendidik anak. Akhirnya, kerana kelalaian tersebut, tanpa disedari anak mereka terjerumus dengan sindiket pengedaran dadah.
Para penonton juga dihiburkan dengan persembahan lawak jenaka daripada Najib dan Loh (BruHaha) yang membawakan mesej untuk sentiasa berwaspada ketika menggunakan media sosial bagi mengelakkan penipuan dalam talian.
Selain itu, turut diadakan ialah Kuiz PENTARAMA untuk para penonton, dan penyampaian hadiah kepada pemenang kuiz disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.
Acara diakhiri dengan persembahan nyanyian oleh barisan artis dengan membawakan lagu 'Dirgahayu'.
Persembahan PENTARAMA tersebut akan diteruskan lagi ke daerah-daerah lain, iaitu di Daerah Brunei dan Muara pada Rabu, 30 Julai 2025, di Pentas Perayaan, Kawasan Lapang berhadapan Muzium Alat Kebesaran Diraja; manakala bagi Daerah Belait, pada Sabtu, 2 Ogos 2025, di Pentas Perayaan, Kawasan Gerai Tudung Saji, Daerah Belait; dan diakhiri di Daerah Tutong, pada Ahad, 3 Ogos 2025 berhadapan Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Tutong.
Orang ramai adalah dialu-alukan untuk hadir menyaksikan persembahan PENTARAMA bagi sama-sama memeriahkan lagi Pentas Perayaan sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-79 Tahun.
%20(1).jpg)
%20(1).jpg)