Oleh : Aimi Sani / Foto : Azmah Haji Ahad
BERAKAS, Rabu, 2 Julai. - Peranan besar sektor Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan swasta dalam mencapai Wawasan Brunei 2035 adalah dengan penglibatan sektor ini dalam mencapai pembangunan negara, kepelbagaian ekonomi dan penjanaan pekerjaan yang bermanfaat.
Melalui Program Masyarakat Bermaklumat (PMB) kali ini, adalah menjadi harapan agar ia dapat mengukuhkan peranan sektor GLC dan swasta dalam membangun negara melalui maklumat-maklumat yang disampaikan sepanjang program ini.
Perkara tersebut dikongsikan oleh Ketua Seksyen Komunikasi Strategik, Jabatan Penerangan, Dayang Mufidah binti Abdul Hakim pada Majlis Pembukaan PMB bagi GLC dan Sektor Swasta (Infokomunikasi dan Teknologi) Negara Brunei Darussalam (NBD) bertempat di Dewan Auditorium, Bangunan Tambahan, Jabatan Penerangan, hari ini.
Menyentuh mengenai peranan aktif dalam agenda pembangunan negara ini, Dayang Mufidah seterusnya menjelaskan, apa yang penting juga adalah dengan menyedari dan menanai kesedaran terhadap identiti dan nilai-nilai murni masyarakat NBD terutamanya dalam menghormati identiti negara dan istiadat kebesaran negara. Di samping itu juga melihat kepada aspek-aspek penekanan terhadap pembangunan yang bertanggungjawab dan mampan (sustainable).
“Teknologi digital seperti Kecerdasan Buatan (AI) juga telah menjadi trend dalam penggunaan teknologi digital terkini. Kepesatan teknologi digital ini adalah diharapkan dapat membangun landskap transformasi digital dan pembangunan ekonomi negara dengan masyarakat yang lebih inovatif dan kreatif," kata Dayang Mufidah.
PMB, terangnya lagi, merupakan salah satu landasan Jabatan Penerangan dalam menyampaikan maklumat rasmi dan maksud kerajaan melalui sesi taklimat, dialog dan lawatan agar masyarakat terutamanya para belia dapat memahami, menyokong dan menghargai usaha-usaha kerajaan dalam sama-sama membangun negara terutamanya bagi mencapai Wawasan Brunei 2035.
Program selama dua hari ini, ujarnya, merupakan inisiatif Jabatan Penerangan menerusi Unit Hubungan Masyarakat, Seksyen Komunikasi Strategik, Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik Ke arah memahami, menyokong dan menghargai usaha-usaha kerajaan dalam sama-sama membangun negara terutamanya bagi mencapai Wawasan Brunei 2035, selain memberikan peluang kepada masyarakat untuk menimba ilmu pengetahuan dengan lebih lanjut mengenai usaha-usaha pihak kerajaan dan agensi-agensi berkenaan dalam sama-sama membangun NBD.
Program disertai oleh seramai 65 peserta, yang terdiri daripada GLC dan sektor swasta di NBD.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Pemangku Ketua Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik, Dayang Saadiatul Nur Aqilah binti Haji Jaman.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dikepalai oleh Pembantu Pegawai Luar Penerangan, Awang Haji Mahmud Hafidzie bin Haji Awang Ali Mashod dan diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Dayang Mufidah.
PMB kali ini, memfokuskan kepada tiga aspek utama iaitu peranan masyarakat dalam mencapai Wawasan Brunei 2035 dan pembangunan yang mampan, menghargai nilai-nilai adat istiadat dan pengukuhan kesedaran mengenai keselamatan digital.
Selaras dengan tujuan program iaitu untuk menyuntik semangat dan menginspirasi anggota masyarakat dalam usaha-usaha meningkatkan taraf hidup, pengetahuan serta pendedahan kepada aktiviti-aktiviti peningkatan kapasiti dan pengetahuan, program ini telah disusun atur dengan beberapa sesi taklimat dan lawatan ke agensi-agensi yang terpilih.
.jpeg)
.jpeg)
.jpeg)