Oleh : Muhammad Zulkamal Awang Haji Kamis / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 24 Mei. – Dalam usaha untuk membarigakan dan memberikan pendedahan yang meluas mengenai maklumat asas berkaitan ASEAN khususnya kepada pelajar-pelajar sekolah menengah di negara ini, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Meja Hal Ehwal Antarabangsa, Unit Perhubungan Korporat, Bahagian Media dan Komunikasi Korporat selaku Sekretariat bagi Jawatankuasa Kecil Penerangan (SCI) ASEAN-COCI meneruskan lagi Jerayawara Kenali ASEAN dengan berkunjung ke Sekolah Menengah Awang Semaun, hari ini.
Seramai 300 orang pelajar Tahun 7,8 dan 9 menghadiri taklimat yang diadakan di Dewan serbaguna sekolah tersebut. Turut hadir semasa jerayawara, Pengetua Sekolah, Awang Haji Mohd. Fadhillah bin Haji Ismail dan para tenaga pengajar.
Taklimat Kenali ASEAN disampaikan oleh Ketua Meja Hal Ehwal Antarabangsa, Unit Perhubungan Korporat, Bahagian Media dan Komunikasi Korporat, Jabatan Penerangan, Awang Eddy Iswandy bin Haji Ismail yang antara lain menyentuh untuk menanamkan kesedaran dalam kalangan para pelajar sekolah sebagai sebahagian daripada masyarakat ASEAN, selaras dengan Moto ASEAN : Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti (One Vision, One Identity, One Community).
Selain itu, para pelajar juga berpeluang menyertai Kuiz Kenali ASEAN bagi meningkatkan lagi kefahaman tentang taklimat yang disampaikan. Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pengetua Sekolah berkenaan.
Dalam hasrat untuk membarigakan mengenai ASEAN, ia juga usaha berterusan Jabatan Penerangan untuk menyuntik semangat patriotisme dan sifat perpaduan (ASEAN-ness) dalam kalangan pelajar-pelajar untuk menghayati fungsi dan tujuan ASEAN ditubuhkan.
Dalam masa yang sama, ia juga dapat mengukuhkan hubungan antara Jabatan Penerangan dengan masyarakat khususnya para pelajar yang bakal mewarisi kesinambungan bangsa dan seterusnya memainkan peranan penting dalam memangkin hala tuju negara satu masa nanti.
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)