Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Alishahrin Haji Mumin
TEMBURONG, Selasa, 13 Mei. - Dalam usaha untuk menyampaikan maklumat mengenai isu-isu semasa, dasar kerajaan dan dalam masa yang sama untuk menerima maklum balas yang perlu diambil perhatian dan tindakan oleh agensi-agensi kerajaan yang berkenaan, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Cawangan Penerangan Daerah Temburong hari ini mengadakan Program Sua Muka bagi Kampung Batu Apoi dan Kampung Tanjung Bungar, Mukim Batu Apoi, Daerah Temburong bertempat di Balai Raya Kampung Batu Apoi, Mukim Batu Apoi.
Hadir mengetuai rombongan Jabatan Penerangan ialah Ketua Bahagian Cawangan Daerah, Awang Haji Fathi Foad bin Dato Seri Setia Haji Abu Bakar.
Manakala bagi pihak Kampung Batu Apoi dan Kampung Tanjung Bungar diketuai oleh Ketua Kampung Batu Apoi, Awang Haji Muhammad Mumtaz bin Haji Akop/Yakuup, yang juga memata-matai jawatan Ketua Kampung Tanjung Bungar.
Program dimulakan dengan mukadimah daripada ketua rombongan di mana beliau menekankan mengenai peranan Jabatan Penerangan sebagai lidah, mata dan telinga kerajaan dalam menyampaikan apa jua maklumat yang terkini, dasar-dasar kerajaan dan isu-isu semasa kepada rakyat dan penduduk di negara ini melalui beberapa landasan yang antara lain ialah Program Sua Muka dan juga melalui terbitan akhbar rasmi Pelita Brunei.
Salah satu program di bawah strategi kerja Jabatan Penerangan iaitu Komunikasi Bersemuka yang dihasratkan untuk meningkatkan hubungan dua hala antara pihak kerajaan-rakyat dan rakyat-kerajaan dengan membarigakan maklumat dan mengendalikan program hubungan masyarakat yang dapat menyumbang kepada perkembangan dan kemajuan mukim atau kampung.
Program Sua Muka turut diisikan sesi dialog bersama penduduk kampung mengenai isu-isu yang dibangkitkan yang antara lain berkaitan dengan alam sekitar, prasarana dan kemudahan awam serta hal-hal lain.
Turut hadir bagi menyampaikan taklimat kepada penduduk-penduduk kampung ialah pegawai-pegawai dari Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi; Jabatan Perkhidmatan Air, Jabatan Jalan Raya dan Jabatan Saliran dan Pembetungan, Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan.








