Oleh : Marlinawaty Hussin / Foto : Azmah Haji Ahad
BERAKAS, Khamis, 24 April. - Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Kenegaraan, Seksyen Komunikasi Strategik, Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik, meneruskan lagi program Taklimat Kenegaraan khusus bagi Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) dan Pusat Tingkatan Enam (PTE) dengan berkunjung ke Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan (MSPSBS).
Seramai 171 penuntut 6 Bawah MSPSBS menghadiri taklimat yang diadakan di Auditorium maktab berkenaan.
Turut hadir, Guru Kanan Hal Ehwal Pelajar (Unit Tingkatan Enam), MSPSBS, Dayang Ani Suryani binti Haji Bahe, serta para tenaga pengajar maktab berkenaan.
Program tersebut antara lain bertujuan untuk menanamkan rasa cinta kepada raja, bangsa dan negara di samping menyuntik semangat patriotisme dalam diri para penuntut melalui taklimat yang disampaikan.
Program juga dihasratkan bagi mendukung Matlamat Wawasan Brunei 2035 serta inisiatif dalam Dasar Belia Negara dan Strategi 2020 hingga 2035.
Taklimat bertajuk 'Peranan dan Tanggungjawab Sebagai Rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam' disampaikan oleh Ketua Seksyen Komunikasi Strategik, Jabatan Penerangan, Dayang Mufidah binti Abdul Hakim.
Kandungan taklimat antara lain menyentuh mengenai peranan dan tanggungjawab rakyat kepada negara dan pemerintah, masyarakat serta keluarga dalam sama-sama menyumbang untuk kesejahteraan negara.
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)