Oleh: Muhamad Khairul Hisyam Jaya / Foto: Azmah Haji Ahad
TEMBURONG, Selasa, 22 April. - Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Cawangan Penerangan Daerah Temburong telah menganjurkan Program Sua Muka bersama penduduk Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Rataie, Mukim Bokok, di Dewan Kemasyarakatan kampung berkenaan.
Rombongan Jabatan Penerangan diketuai oleh Pegawai Penerangan Kanan, Awang Haji Fathi Foad bin Dato Seri Setia Haji Abu Bakar, selaku Ketua Bahagian Cawangan Daerah.
Turut hadir ialah Ketua Kampung RPN Kampung Rataie, Abdul Aziz bin Haji Mohd. Yusoff, dan Pemangku Penghulu Zon 2, Awang Haji Suhaili bin Haji Badas.
Beberapa agensi kerajaan turut mengambil bahagian dalam program ini termasuk Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Kemajuan Perumahan, Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, serta Jabatan Saliran dan Pembetungan, Kementerian Pembangunan.
Program tersebut bertujuan menyampaikan maklumat berkenaan dasar-dasar kerajaan, isu semasa serta menerima maklum balas daripada penduduk untuk perhatian dan tindakan lanjut agensi-agensi kerajaan berkaitan.
Dalam ucapan pembukaan, Ketua Rombongan menekankan peranan Jabatan Penerangan sebagai lidah, mata dan telinga kerajaan dalam menyampaikan maklumat semasa kepada rakyat melalui pelbagai medium termasuk Program Sua Muka dan akhbar rasmi, Pelita Brunei.
Program komunikasi bersemuka seperti ini berperanan penting dalam mengukuhkan hubungan dua hala antara kerajaan dan rakyat selain mempertingkatkan penyampaian maklumat serta pemahaman dasar kerajaan.
Program turut diselitkan dengan sesi dialog antara penduduk kampung dan wakil agensi terlibat yang membincangkan pelbagai isu seperti kemudahan awam, alam sekitar, sistem perparitan serta aspek kebajikan masyarakat setempat.
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)