Oleh : Marlinawaty Hussin / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
GADONG, Isnin, 21 April. - Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri, melalui Meja Hal Ehwal Antarabangsa, Unit Perhubungan Korporat, Bahagian Media dan Komunikasi Korporat selaku Sekretariat bagi Jawatankuasa Kecil Penerangan (SCI) ASEAN-COCI meneruskan lagi Jerayawara Kenali ASEAN untuk membarigakan serta memberikan pendedahan meluas mengenai maklumat asas berkaitan ASEAN kepada para pelajar sekolah menengah di negara ini, dengan berkunjung ke Sekolah Menengah Rimba (SMR).
Seramai 149 pelajar Tahun 7 menghadiri jerayawara berkenaan di Dewan Kolaboratif SMR.
Turut hadir, Pengetua SMR, Awang Abdul Halim bin Haji Bujang; dan para tenaga pengajar sekolah berkenaan.
Pada jerayawara tersebut, Taklimat Kenali ASEAN disampaikan oleh Ketua Meja Hal Ehwal Antarabangsa, Unit Perhubungan Korporat, Bahagian Media dan Komunikasi Korporat, Jabatan Penerangan, Awang Eddy Iswandy bin Haji Ismail.
Taklimat antara lain bertujuan untuk menanamkan kesedaran dalam kalangan para pelajar sekolah sebagai sebahagian daripada masyarakat ASEAN, selaras dengan moto ASEAN : Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti (One Vision, One Identity, One Community).
Para pelajar juga berkesempatan mengikuti sesi Kuiz Kenali ASEAN. Penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Pengetua sekolah berkenaan.
Dalam hasrat untuk membarigakan mengenai ASEAN, jerayawara berkenaan juga merupakan usaha berterusan untuk menyuntik semangat patriotisme dan sifat perpaduan (ASEAN-ness) dalam kalangan pelajar bagi menghayati fungsi dan tujuan ASEAN ditubuhkan.
Pada masa yang sama, ia juga dapat mengukuhkan hubungan antara Jabatan Penerangan dengan masyarakat khususnya para pelajar yang bakal mewarisi kesinambungan bangsa dan seterusnya memainkan peranan penting dalam memangkin hala tuju negara satu masa nanti.
.jpg)
.jpg)