Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Ak. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
TUTONG, Sabtu, 1 Februari. – Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri hari ini mengadakan Program Taklimat Kenegaraan 'Raja Kita, Menghayati Bendera dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NBD)' di Sekolah Menengah Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (SM RIPAS), di sini.
Seramai 96 penuntut Tahun 7 sekolah berkenaan menghadiri taklimat yang dikendalikan oleh Cawangan Penerangan Daerah Tutong, Bahagian Cawangan Daerah.
Taklimat disampaikan oleh Pemangku Ketua Cawangan Daerah Tutong, Awang Mohd. Azyzul Azman @ Rosman bin Yakub, bertempat di Dewan Serbaguna sekolah berkenaan.
Turut hadir ialah Pengetua SM RIPAS, Dayang Hajah Adimah binti Haji Mohd. Said, berserta para tenaga pengajar.
Antara pengisian taklimat yang disampaikan ialah mengenai raja, tatacara menaik-kibarkan bendera negara dan sejarah Lagu Kebangsaan NBD 'Allah Peliharakan Sultan'.
Selain itu, para penuntut juga berpeluang menyertai Kuiz Kenegaraan bagi meningkatkan lagi kefahaman tentang taklimat yang disampaikan.
Program berkenaan merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyemai cinta terhadap raja, agama, bangsa dan negara. Di samping itu, ia juga dihasratkan akan dapat mengukuhkan lagi semangat solidariti, patriotik dan kenegaraan yang tinggi dalam diri penuntut.




