Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Penerangan
BELAIT, Khamis, 30 Januari. – Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Cawangan Penerangan Daerah Belait, Bahagian Cawangan Daerah meneruskan lagi Program Taklimat Kenegaraan 'Raja Kita, Menghayati Bendera dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NBD)' dengan berkunjung ke Sekolah Menengah Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar, Kuala Belait.
Seramai 102 penuntut Tahun 7 menghadiri taklimat yang diadakan di bilik perpustakaan sekolah berkenaan.
Turut hadir, Timbalan Pengetua sekolah berkenaan, Dayang Hajah Jumimah binti Haji Jumat, dan para tenaga pengajar.
Taklimat disampaikan oleh Pegawai Penerangan, Awang Muhd. Khairulhadi bin Haji Muhd. Muhtaddir, selaku Ketua Cawangan Penerangan Daerah Belait; dan Pegawai Luar Penerangan, Dayang Zurairah binti Haji Lisa, yang antara lain menyentuh mengenai raja, sejarah dan tatacara menaik-kibarkan bendera negara serta sejarah Lagu Kebangsaan NBD 'Allah Peliharakan Sultan'.
Selain itu, para penuntut juga menyaksikan tayangan video animasi 'Tatacara Menaikkan Bendera' dan berpeluang menyertai Kuiz Kenegaraan bagi meningkatkan lagi kefahaman tentang taklimat yang disampaikan.
Program berkenaan merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyemai cinta terhadap raja, agama, bangsa dan negara.
Selain itu, ia juga dihasratkan akan dapat mengukuhkan lagi semangat solidariti, patriotik dan kenegaraan yang tinggi dalam diri penuntut.








