Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Suzani Adina Haji Marzoki
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 14 Januari. – Tiang bendera hendaklah didirikan di hadapan rumah atau bangunan dan tidak dipacak ke tanah. Ukuran tiang bendera rumah-rumah persendirian di Kampong Ayer hendaklah diletakkan di pantaran rumah dengan ketinggian tiang sekurang-kurangnya 10 kaki.
Bendera dinaik-kibarkan secara menegak di kawasan hadapan rumah di darat dengan menggunakan tiang bendera tidak melebihi 20 kaki bagi bendera kebangsaan dan 30 kaki bagi bendera-bendera peribadi.
Demikian antara pengisian Program Taklimat Kenegaraan 'Raja Kita, Menghayati Bendera dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NBD)' anjuran Jabatan Penerangan, melalui Unit Kenegaraan, Seksyen Komunikasi Strategik yang berlangsung di Sekolah Sukan, hari ini.
Taklimat yang disampaikan oleh Pegawai Penerangan, Dayang Mufidah binti Abdul Hakim, selaku Ketua Seksyen Komunikasi Strategik juga turut menekankan bendera yang koyak dan luntur tidak boleh dinaikkan dan hendaklah diganti dengan yang baharu.
“Apa jua tanda, huruf, perkataan, rajah, bentuk, lukisan atau lambang selain daripada lambang yang ada pada masa ini tidak boleh diletakkan pada bendera dan bendera hendaklah jangan sekali-kali menyentuh sebarang benda di bawahnya misalnya tanah, lantai, air dan seumpamanya.
“Bendera hendaklah dikibarkan mulai pada hari yang telah ditetapkan dan diturunkan pada tempoh yang telah ditentukan dan bendera tidak boleh digunakan sebagai alat untuk menerima, memegang, membawa atau menyerahkan sesuatu benda dan sebagainya serta bendera tidak boleh digunakan bagi tujuan iklan dalam apa cara jua pun," tegasnya lagi.
Dayang Mufidah juga antara lain menyentuh mengenai raja, sejarah dan tatacara menaik-kibarkan bendera negara serta sejarah Lagu Kebangsaan NBD 'Allah Peliharakan Sultan'.
Seramai 56 penuntut Tahun 7 menghadiri taklimat berkenaan dan turut dihadiri oleh Timbalan Pengetua (Akademik), Dayang Norjalina binti Haji Jaafar dan para tenaga pengajar.
Selain itu, para penuntut berkesempatan menyaksikan tayangan video animasi 'Tatacara Menaikkan Bendera' dan berpeluang menyertai Kuiz Kenegaraan bagi meningkatkan lagi kefahaman tentang taklimat yang disampaikan.
Program berkenaan merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyemai cinta terhadap raja, agama, bangsa dan negara. Selain itu, ia juga dihasratkan akan dapat mengukuhkan lagi semangat solidariti, patriotik dan kenegaraan yang tinggi dalam diri penuntut.

