Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Program Sivik NBD beri pengalaman, maklumat bermanfaat

Oleh : Aimi Sani / Foto: Mohammad Hasif Matzin

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 12 Disember. - Program Sivik Negara Brunei Darussalam Kali Pertama bagi Tahun 2024/2025 menutup tirainya petang tadi dengan Majlis Penyampaian Sijil kepada 46 peserta yang disempurnakan oleh Pemangku Pengarah Penerangan, Dayang Sastra Sarini binti Haji Julaini.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh peserta program, Awang Mohamad Sabiq bin Haji Sulaiman, graduan dari Ma'ahad Qiraat Shoubra Al-Azhar, Mesir.

Ketua Peserta Program Sivik, Awang Abdul Qawi @ Ali Hariz bin Haji Ali Hassan, graduan dari Universiti Al-Azhar, Mesir dalam ucapannya antara lain menyatakan taklimat dan lawatan yang disediakan dalam program berkenaan amat komprehensif dan menyeluruh dalam membantu meningkatkan jati diri serta meningkatkan pengetahuan para peserta.

Sepanjang program berkenaan, para peserta berpeluang mendengarkan taklimat-taklimat dari Jabatan Penerangan, Pasukan Polis Diraja Brunei, Biro Mencegah Rasuah, Pusat Promosi Kesihatan, Cyber Security Brunei (CSB) dan Nextacloud Technologies Sdn. Bhd.

Para peserta juga mengikuti aktiviti berkumpulan dan sesi perkongsian, serta membuat lawatan ke beberapa institusi dan organisasi seperti Jabatan Adat Istiadat Negara (JAIN), Tentera Udara Diraja Brunei, dan Syarikat RAB Global Green Sdn. Bhd. sebagai sebahagian daripada pengisian rohani. Program berkenaan juga diselitkan dengan sembahyang berjemaah dan kuliah Maghrib.

Sebagai usaha untuk memupuk kesedaran sivik dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan peserta, program berkenaan turut melibatkan aktiviti kerja kemasyarakatan dan penyampaian sumbangan barang-barang asasi.

Di samping memberi kefahaman dan maklumat mengenai falsafah, aspirasi dan matlamat negara, program berkenaan juga dirancang untuk mempersiapkan generasi masa hadapan sebelum mereka melangkah ke alam pekerjaan dengan memberikan pendedahan tentang nilai-nilai kenegaraan, kepimpinan, dan tanggungjawab sosial.

Awang Mohamad Sabiq bin Haji Sulaiman, graduan dari Ma'ahad Qiraat Shoubra Al-Azhar, Mesir ketika ditemui mengongsikan bahawa program berkenaan banyak membantu beliau serta peserta untuk menimba lebih banyak pengalaman dan maklumat yang berguna untuk mereka menerajui masa hadapan terutama sekali alam pekerjaan.

Selain itu, program berkenaan dihasratkan dapat memberikan pengalaman baharu kepada para peserta, termasuk memperkenalkan mereka kepada perbezaan sosiobudaya, fahaman, dan adat resam yang boleh mempengaruhi gaya hidup mereka.

Majlis penutup program diadakan di Dewan Auditorium, Jabatan Penerangan dan turut dihadiri oleh para pegawai dari Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri; dan Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Para peserta program terdiri daripada graduan yang telah dan sedang menjalani pengajian tinggi di dalam negara termasuk Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Universiti Teknologi Brunei (UTB), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), dan juga para graduan dari luar negara yang sedang menjalani pengajian di Mesir, Malaysia dan United Kingdom serta mahasiswa dan mahasiswi dari Institut Pengajian Tinggi yang sedang menjalani penempatan kerja di Jabatan Penerangan.

Majlis Penutup Program Sivik NBD Kali Pertama bagi Tahun 2024 2025 1.jpg

Majlis Penutup Program Sivik NBD Kali Pertama bagi Tahun 2024 2025 2.jpg

Majlis Penutup Program Sivik NBD Kali Pertama bagi Tahun 2024 2025 3.jpg

Majlis Penutup Program Sivik NBD Kali Pertama bagi Tahun 2024 2025 4.jpg

Majlis Penutup Program Sivik NBD Kali Pertama bagi Tahun 2024 2025 5.jpg 

Majlis Penutup Program Sivik NBD Kali Pertama bagi Tahun 2024 2025 6.jpg 

Majlis Penutup Program Sivik NBD Kali Pertama bagi Tahun 2024 2025 7.jpg 

Majlis Penutup Program Sivik NBD Kali Pertama bagi Tahun 2024 2025 8.jpg 

Majlis Penutup Program Sivik NBD Kali Pertama bagi Tahun 2024 2025 9.jpg





Attachments
Created at 16/12/2024 05:09 PM by Mohammad Nurakram Bin Noraini @ Bahrin
Last modified at 16/12/2024 05:09 PM by Mohammad Nurakram Bin Noraini @ Bahrin