Oleh : Muhamad Khairul Hisyam Jaya / Foto : Mohammad Hasif Matzin
BERAKAS, Isnin, 9 Disember. – Program Sivik Negara Brunei Darussalam (NBD) adalah untuk memberikan kefahaman dan maklumat terkini kepada masyarakat mengenai hal ehwal negara dan kerajaan, selain memastikan rakyat sentiasa peka terhadap perkembangan semasa.
Sehubungan dengan itu, Majlis Pembukaan Program Sivik NBD Kali Pertama bagi Tahun 2024/2025 anjuran Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Kenegaraan, Seksyen Komunikasi Strategik, Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik, diadakan hari ini di Dewan Auditorium, Bangunan Tambahan, Jabatan Penerangan.
Program tersebut akan diadakan selama lima hari bermula 8 hingga 12 Disember 2024 ini dengan objektifnya adalah untuk memupuk semangat kenegaraan berdasarkan falsafah konsep Negara Melayu Islam Beraja (MIB), dengan menekankan nilai budaya, agama dan kedaulatan sebagai asas identiti negara.
Seramai 46 peserta terdiri daripada lepasan ijazah dari Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, serta mahasiswa-mahasiswi dari institut pengajian tempatan dan yang sedang menjalani penempatan kerja di Jabatan Penerangan menyertai program berkenaan.
Sepanjang program tersebut, para peserta akan diberi peluang untuk menghadiri siri taklimat serta lawatan sambil belajar ke beberapa agensi kerajaan dan perusahaan yang ditubuhkan oleh belia tempatan.
Selain itu, aktiviti kerja kemasyarakatan juga akan diadakan untuk melibatkan para peserta dalam memberi sumbangan kepada masyarakat.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis pembukaan tersebut ialah Pemangku Pengarah Penerangan, Dayang Sastra Sarini binti Haji Julaini.
Dalam ucapan alu-aluannya, beliau menyentuh mengenai beberapa perkara penting, termasuk format pelaksanaan program yang dikembalikan kepada format asal, iaitu secara perkampungan, yang akan diadakan di Pusat Belia, di ibu negara.
Dayang Sastra Sarini juga menekankan peranan belia sebagai aset negara dan agen perubahan masa depan yang akan merealisasikan Wawasan Brunei 2035.
Dari itu, beliau seterusnya berharap program itu dapat membantu para peserta dalam meningkatkan daya saing serta mampu menghadapi cabaran dengan berpegang teguh kepada konsep MIB.
.jpg)
.jpg)