Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Program Sua Muka barigakan isu semasa, dasar kerajaan

Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin / Foto : Alishahrin Haji Mumin

TUTONG, Khamis, 5 Disember. - Dalam usaha untuk menyampaikan maklumat mengenai isu-isu semasa, dasar kerajaan dan dalam masa yang sama untuk menerima maklum balas yang perlu diambil perhatian dan tindakan oleh agensi-agensi kerajaan yang berkenaan, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui Cawangan Penerangan Daerah Tutong, Bahagian Cawangan Daerah pagi tadi mengadakan Program Sua Muka bagi Kampung Telisai, Mukim Telisai, Daerah Tutong bertempat di Dewan Sekolah Rendah Tumpuan Telisai.

Hadir mengetuai rombongan Jabatan Penerangan ialah Pemangku Pegawai Penerangan Kanan, Dayang Izzah Hazirah binti Haji Adi Othman selaku Pemangku Ketua Bahagian Cawangan Daerah disertai oleh beberapa pegawai dan kakitangan Jabatan Penerangan.

Program dimulakan dengan mukadimah daripada ketua rombongan di mana beliau menekankan mengenai peranan Jabatan Penerangan sebagai lidah, mata dan telinga kerajaan dalam menyampaikan apa jua maklumat yang terkini, dasar-dasar kerajaan dan isu-isu semasa kepada rakyat dan penduduk di negara ini melalui beberapa landasan yang antara lain ialah Program Sua Muka dan juga melalui terbitan akhbar rasmi Pelita Brunei.

Dayang Izzah Hazirah seterusnya menerangkan bahawa program berkenaan adalah salah satu program di bawah strategi kerja Jabatan Penerangan iaitu Komunikasi Bersemuka yang dihasratkan untuk meningkatkan hubungan dua hala antara pihak kerajaan-rakyat dan rakyat-kerajaan dengan membarigakan maklumat dan mengendalikan program hubungan masyarakat yang dapat menyumbang kepada perkembangan dan kemajuan mukim atau kampung.

Melalui program ini juga tambahnya, turut dikongsikan pesanan awam mengenai penyebaran maklumat palsu '(fake news)', impaknya dan juga tatacara untuk membuat laporan mengenainya.

Turut hadir menyampaikan maklumat kepada penduduk-penduduk kampung ialah pegawai-pegawai daripada Jabatan Perkhidmatan Elektrik; Jabatan Kerja Raya; Jabatan Perkhidmatan Air; Jabatan Perhutanan dan Authority for Info-communications Technology Industry (AITI).

Program turut diisikan dengan sesi dialog bersama Penghulu Mukim Telisai, Awang Haji Haslan bin Haji Shahbudin dan Ketua Kampung Telisai, Awang Sofian bin Haji Mohammad Yusof serta penduduk kampung mengenai isu-isu yang dibangkitkan yang antara lain berkaitan dengan prasarana, keselamatan, kebajikan, infrastruktur dan kemudahan awam di kampung berkenaan.

PC bagi Kpg Telisai, Mukim Telisai, Daerah Tutong 1.jpg

PC bagi Kpg Telisai, Mukim Telisai, Daerah Tutong 2.jpg

PC bagi Kpg Telisai, Mukim Telisai, Daerah Tutong 3.jpg

PC bagi Kpg Telisai, Mukim Telisai, Daerah Tutong 4.jpg

PC bagi Kpg Telisai, Mukim Telisai, Daerah Tutong 5.jpg

PC bagi Kpg Telisai, Mukim Telisai, Daerah Tutong 6.jpg

PC bagi Kpg Telisai, Mukim Telisai, Daerah Tutong 7.jpg

PC bagi Kpg Telisai, Mukim Telisai, Daerah Tutong 8.jpg

PC bagi Kpg Telisai, Mukim Telisai, Daerah Tutong 9.jpg

PC bagi Kpg Telisai, Mukim Telisai, Daerah Tutong 10.jpg



Attachments
Created at 16/12/2024 04:27 PM by Mohammad Nurakram Bin Noraini @ Bahrin
Last modified at 16/12/2024 04:27 PM by Mohammad Nurakram Bin Noraini @ Bahrin