Siaran Akhbar : Jabatan Penerangan / Foto : Mohamad Azmi Haji Awang Damit, Mohamad Hasif Matzin
BERAKAS, Isnin, 25 November. - Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Meja Hal Ehwal Antarabangsa, Bahagian Media dan Komunikasi Korporat telah mengalu-alukan kedatangan dua pegawai dari Republik Singapura yang mengikuti Program Penempatan Penterjemah Kali Ke-7 (7th Translator Immersion Programme) melalui Memorandum Persefahaman Dalam Bidang Penyiaran dan Penerangan antara Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kerajaan Republik Singapura pada 18 hingga 24 November 2024.
Program pada kali ini disertai oleh dua Pengurus Kanan, Jabatan Terjemahan, dari Kementerian Pembangunan Digital dan Penerangan, Republik Singapura, iaitu Muhammad Fazli Hamdan dan Siti Hajar Zainuddin.
Kedua-dua peserta membuat penempatan di beberapa buah agensi kerajaan, iaitu di Jabatan Penerangan, Jabatan Radio Televisyen Brunei, Dewan Bahasa dan Pustaka dan Universiti Brunei Darussalam.
Melalui program penempatan berkenaan, mereka berpeluang meneroka secara lebih dalam proses-proses kerja penterjemahan yang ada dan seterusnya berpeluang untuk mendalami penggunaan bahasa Jawi dalam konteks penterjemahan di negara ini.
Selain itu, program berkenaan juga telah membolehkan mereka untuk mewujudkan rangkaian kerjasama dengan penterjemah dari negara ini dan seterusnya membuka peluang untuk kerjasama pada masa akan datang.
Sebelumnya para peserta turut berpeluang mengadakan perjumpaan dan bertukar-tukar pandangan mengenai Program Penempatan Penterjemah Kali Ke-7 bersama Pemangku Pengarah Penerangan, Dayang Siti Bismi Nuruliman binti Haji Awang Emzah.
Program berkenaan bertujuan untuk meningkatkan tahap kemahiran penterjemah serta mempromosi pertukaran amalan terbaik di antara kedua-dua buah negara, di samping memperoleh pengalaman dan pengetahuan baharu, menambah baik teknik penterjemahan serta memahami keperluan dan cabaran khusus yang dihadapi dalam konteks penterjemahan.
Sejak program pertukaran pertama pada 2016, ia telah diadakan secara bergilir-gilir antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura dan terus berkembang dengan lebih banyak peluang diterokai melalui perkongsian ilmu dan memperkukuhkan kerjasama profesional dalam bidang penterjemahan.
.jpeg)
.jpeg)
.jpeg)
.jpeg)
.jpeg)
.jpeg)
.jpeg)
.jpeg)
.jpeg)
.jpeg)