Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Dekati masyarakat melalui Program Sua Muka

Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Azmah Haji Ahad

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 19 November. - Jabatan Penerangan melalui Unit Hubungan Masyarakat, Seksyen Komunikasi Strategik, Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik meneruskan inisiatifnya iaitu Program Sua Muka bagi Kampung Zon 3 Mukim Zon 2 Kampong Ayer, Daerah Brunei dan Muara bertempat di Dewan Masjid Perdana Wangsa Haji Mohammad, Kampung Setia, hari ini.

Rombongan Jabatan Penerangan diketuai oleh Pemangku Pegawai Penerangan Kanan selaku Pemangku Ketua Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik, Dayang Mufidah binti Abdul Hakim serta beberapa pegawai dan kakitangan jabatan berkenaan.

Dayang Mufidah dalam mukadimahnya antara lain menerangkan mengenai peranan Jabatan Penerangan sebagai lidah, mata dan telinga kerajaan dalam membarigakan apa jua maklumat yang terkini, dasar-dasar kerajaan dan isu-isu semasa kepada rakyat dan penduduk di negara ini melalui beberapa landasan yang antara lain ialah Program Sua Muka dan juga melalui terbitan akhbar rasmi Pelita Brunei.

Menurutnya, sebagai salah satu program di bawah strategi kerja Jabatan Penerangan iaitu Komunikasi Bersemuka, ia dihasratkan dapat mengeratkan hubungan dua hala antara pihak kerajaan-rakyat dan rakyat-kerajaan dengan membarigakan maklumat dan mengendalikan program dengan berhubungan bersama masyarakat yang dapat menyumbang kepada perkembangan dan kemajuan mukim atau kampung.

Program Sua Muka Penerangan ini juga tambahnya, bukanlah satu program yang baharu malah program ini sudah lama diadakan dari sejak tahun 1980-an lagi walau bagaimanapun tujuannya masih sama dari dulu hingga sekarang iaitu meningkatkan hubungan dua hala antara pihak kerajaan dengan rakyat dan rakyat dengan kerajaan melalui pembarigaan maklumat dan mengendalikan komunikasi bersemuka yang dapat menyumbang kepada perkembangan dan kemajuan mukim atau kampung.

Melalui program ini juga dikongsikan pesanan awam mengenai penyebaran maklumat palsu (fake news), impaknya dan juga tatacara untuk membuat laporan mengenainya.

Turut hadir menyampaikan taklimat ialah pegawai-pegawai dari Jabatan Perkhidmatan Elektrik, Jabatan Tenaga; Unified Smart Metering System (USMS) dan Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI).

Juga hadir, Penghulu Mukim Zon 2, Kampong Ayer, Awang Raimi bin Awang Rashid semasa ditemu bual juga melahirkan penghargaan terima kasih kepada Jabatan Penerangan atas usaha dalam menjalankan Program Sua Muka kepada penduduk Kampung Zon 3 Kampong Ayer iaitu Kampung Setia 'A', Kampung Setia 'B' dan Kampung Sungai Kebun pada kali ini.

Awang Raimi berharap dengan adanya program seperti ini mudah-mudahan Jabatan Penerangan akan dapat menyampaikan lagi maklumat dan segala isu yang berkepentingan serta kemaslahatan yang di hadapi oleh penduduk kampung kepada pihak-pihak yang berkepentingan bagi sama-sama memeduli kebajikan penduduk kampung selaku rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

“Program seperti ini telah disambut baik oleh penduduk Kampong Ayer dan saya berharap mudah-mudahan segala yang telah disampaikan oleh penduduk kampung kepada pihak Jabatan Penerangan ini akan sedikit sebanyak membantu masyarakat yang tinggal di Kampong Ayer," tambahnya lagi yang sekarang juga memangku jawatan Penghulu Mukim Zon 1 Kampong Ayer.

Sementara, Pemangku Ketua Kampung Zon 3 Kampong Ayer, Awang Rahman bin Haji Kassim juga berterima kasih di atas peluang dan kesempatan bagi menyampaikan isu-isu yang berkaitan dengan kemaslahatan dan kesejahteraan penduduk kampung.

Setentunya adanya program ini juga dapat memberikan manfaat kepada penduduk kampung melalui penyampaian maklumat-maklumat terkini yang disampaikan oleh agensi kerajaan yang perlu diketahui oleh penduduk kampung dan sekali gus membantu mengukuhkan hubungan erat di antara pihak kerajaan dan penduduk kampung.

Program turut diisikan dengan sesi dialog bersama penduduk kampung mengenai isu-isu yang dibangkitkan yang antara lain berkaitan dengan keselamatan, kebajikan, infrastruktur, prasarana dan kemudahan awam di kampung-kampung berkenaan.

PC bagi Kampung Zon 3 Mukim Zon 2 Kampong Ayuer (1).jpg 

PC bagi Kampung Zon 3 Mukim Zon 2 Kampong Ayuer (10).jpg 

PC bagi Kampung Zon 3 Mukim Zon 2 Kampong Ayuer (2).jpg 

PC bagi Kampung Zon 3 Mukim Zon 2 Kampong Ayuer (3).jpg

PC bagi Kampung Zon 3 Mukim Zon 2 Kampong Ayuer (4).jpg 

PC bagi Kampung Zon 3 Mukim Zon 2 Kampong Ayuer (5).jpg 

PC bagi Kampung Zon 3 Mukim Zon 2 Kampong Ayuer (6).jpg 

PC bagi Kampung Zon 3 Mukim Zon 2 Kampong Ayuer (7).jpg 

PC bagi Kampung Zon 3 Mukim Zon 2 Kampong Ayuer (8).jpg 

PC bagi Kampung Zon 3 Mukim Zon 2 Kampong Ayuer (9).jpg

 


Attachments
Created at 26/11/2024 03:44 PM by Mohammad Nurakram Bin Noraini @ Bahrin
Last modified at 26/11/2024 03:44 PM by Mohammad Nurakram Bin Noraini @ Bahrin