Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Pupuk kesedaran sivik, semangat kenegaraan pelajar

Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman

TEMBURONG, Sabtu, 16 November. – Para pelajar berperanan sebagai penyampai maklumat dalam kalangan rakan sebaya mereka, dengan harapan mereka dapat membawa perubahan positif bukan sahaja dalam diri mereka tetapi juga kalangan keluarga dan masyarakat.

Perkara tersebut antara yang ditekankan oleh Pengetua Sekolah Menengah Sultan Hassan (SMSH), Temburong, Awang Helmy bin Haji Abdul Rahman dalam ucapan alu-aluannya semasa Program Rakan Remaja Penerangan (RRP) yang diadakan di Dewan Serbaguna, SMSH, di sini.

Tambahnya, ini seiring dengan visi sekolah untuk membentuk generasi yang siap siaga atau 'Shaping Future-Ready Generation' dengan melengkapkan nilai-nilai murni, keterampilan dan sikap positif ke dalam diri pelajar agar mereka bersedia menghadapi cabaran masa depan dan juga misi sekolah, iaitu untuk melahirkan individu yang dinamik melalui pendidikan berkualiti.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Pemangku Penolong Pengarah, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Pengiran Ali Shafiee bin Pengiran Haji Abbas.

Turut hadir ialah Pengetua Sekolah, pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Penerangan, guru-guru kanan sekolah serta para tenaga pengajar.

Program RRP juga turut dihadiri seramai 140 penuntut Tahun 9 dan Tahun 10 dari SMSH, Temburong.

Terdahulu itu, acara dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebangsaan 'Allah Peliharakan Sultan' dan lagu patriotik 'Bendera Negara', dan diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

Taklimat bertajuk 'Raja Kita, Menghayati Bendera dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam' disampaikan oleh Pegawai Penerangan, Dayang Izzah Hazirah binti Haji Adi Othman selaku Ketua Cawangan Daerah Temburong, Jabatan Penerangan.

Kandungan taklimat antara lain menyentuh mengenai raja, sejarah dan tatacara menaikkibarkan bendera negara serta sejarah Lagu Kebangsaan negara.

Selain itu, video animasi 'Tatacara Mengibarkan Bendera' terbitan Jabatan Penerangan turut ditayangkan bagi meningkatkan lagi kefahaman penuntut mengenai taklimat yang disampaikan.

Program RRP turut diserikan dengan persembahan nyanyian, tarian serta persembahan sketsa serta lawak jenaka daripada penuntut SMSH dan artis-artis undangan.

Persembahan sketsa bertajuk 'Luka Yang Dalam' membawakan mesej kesedaran tentang sikap buli yang membawa kesan buruk terhadap kesihatan mental mangsa buli. Manakala lawak jenaka bertajuk 'Viral dan Vandalisme' mengetengahkan tentang kebijaksanaan para penuntut dalam menilai sesuatu perkara yang tular itu sama ada sesuai atau tidak untuk dijadikan ikutan dan bagaimana vandalisme mendatangkan kerugian kerana menyebabkan kerosakan harta benda.

Kuiz Kenegaraan turut diadakan bagi menguji kefahaman penuntut yang hadir tentang taklimat yang disampaikan di awal program.

Penyampaian hadiah kepada pemenang kuiz disampaikan oleh tetamu kehormat majlis.

Program RRP dianjurkan oleh Jabatan Penerangan melalui Unit Kenegaraan, Seksyen Komunikasi Strategik, Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik dengan kerjasama Cawangan Penerangan Daerah Temburong, Bahagian Cawangan Daerah dan SMSH, Temburong.

Antara tujuan program berkenaan ialah untuk mendekati para remaja di sekolah-sekolah supaya mereka peka dengan perkembangan semasa, menanamkan semangat kenegaraan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan remaja serta menjadikan penuntut sebagai ejen dalam penyebaran maklumat yang positif dan berkesan kepada rakan sebaya.

Selain itu, program berkenaan juga dihasratkan dapat memberikan kesedaran sivik dan semangat kenegaraan terutama kepada golongan remaja ke arah pembentukan minda dan moral positif.

Dalam masa yang sama, ia juga untuk mendekati golongan belia dan remaja di sekolah-sekolah melalui seni hiburan yang terarah dan terpimpin.

RRP SMSHB 16112024 (7) (1).jpeg

RRP SMSHB 16112024 (8) (1).jpeg

RRP SMSHB 16112024 (9) (1).jpeg 

RRP SMSHB 16112024 (6) (1).jpeg 

RRP SMSHB 16112024 (5) (1).jpeg 

RRP SMSHB 16112024 (4) (1).jpeg 

RRP SMSHB 16112024 (3) (1).jpeg

RRP SMSHB 16112024 (2) (1).jpeg 

RRP SMSHB 16112024 (13) (1).jpeg

RRP SMSHB 16112024 (12) (1).jpeg

RRP SMSHB 16112024 (11) (1).jpeg

RRP SMSHB 16112024 (1) (1).jpeg




Attachments
Created at 26/11/2024 03:32 PM by Mohammad Nurakram Bin Noraini @ Bahrin
Last modified at 26/11/2024 03:32 PM by Mohammad Nurakram Bin Noraini @ Bahrin