

Siaran Akhbar: Jabatan Penerangan / Foto: Azmah Haji Ahad
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 9 Mac. - Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Hal Ehwal Antarabangsa selaku Sekretariat bagi Jawatankuasa Kecil Penerangan (SCI) ASEAN-COCI telah mengadakan Jerayawara Kenali ASEAN di Sekolah St. Andrew's.
Program tersebut adalah salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyuntik semangat patriotisme dan sifat perpaduan (ASEAN-ness) di kalangan penuntut-penuntut dalam sama-sama menghayati fungsi dan tujuan ASEAN ditubuhkan, dalam masa yang sama juga dalam mengukuhkan hubungan antara Jabatan Penerangan dengan masyarakat khususnya penuntut-penuntut di Negara Brunei Darussalam.
Program yang berlangsung di Dewan Dato Ong Kim Kee itu dihadiri oleh Pengetua Sekolah St. Andrew's, Madam Tan Lian Lian selaku tetamu kehormat serta tenaga pengajar bersama 435 penuntut sekolah berkenaan.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diteruskan dengan nyanyian Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam 'Allah Peliharakan Sultan' dan Lagu Tema ASEAN.
Taklimat 'Kenali ASEAN' disampaikan oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat II, Ketua Unit Hal Ehwal Antarabangsa, Jabatan Penerangan, Awang Abdul Karim bin Hamdan.
Disusuli dengan Tayangan Klip Video mengenai ASEAN, diikuti dengan Kuiz ASEAN yang dikendalikan oleh Pegawai Luar Penerangan, Unit Hal Ehwal Antarabangsa, Jabatan Penerangan, Awang Mohd. Adi Zamhari bin Haji Awang Yahya.
Acara diteruskan dengan penyampaian hadiah Kuiz ASEAN kepada 10 orang penuntut dan penyampaian cenderahati, diakhiri dengan sesi bergambar ramai.