

Berita dan Foto : Marlinawaty Hussin
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 15 Oktober. - Dayang Sharellyn binti Johnny dari Saint Angela's Convent School dinobatkan sebagai juara Pertandingan Kuiz ASEAN Peringkat Negara Kali Kelapan 2018 yang berlangsung di Auditorium, Bangunan Tambahan Jabatan Penerangan, di sini.
Dayang Siti Nur Insyirah binti Sahali dari Sekolah Menengah Sayyidina Ali (Pusat Tingkatan Enam) meraih naib juara, manakala Dayang Nurul Hidayatul Najibah binti Haji Maidin dari Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah mendapat tempat ketiga.
Ketiga-tiga pelajar tersebut akan mewakili negara ke Kuiz ASEAN Peringkat Serantau Kali Kelapan yang akan diadakan di Bali, Republik Indonesia pada bulan Disember nanti.
Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Pemangku Timbalan Pengarah Penerangan, Dayang Hajah Noorashidah binti Haji Aliomar.
Sementara itu, hadiah saguhati disampaikan oleh Penolong Pengarah, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Awang Mohamad Norilham bin Haji Jais.
Dayang Sharellyn berkata, soalan kuiz berkenaan agak mencabar, namun beliau gembira kerana dapat menjawab kebanyakan soalan yang diberikan.
"Saya berharap kami dapat melakukan yang terbaik bagi mewakili negara di peringkat serantau nanti," katanya kepada Pelita Brunei.
Kuiz ASEAN tersebut merupakan salah satu projek yang diadakan dua tahun sekali oleh Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri selaku Sekretariat bagi Jawatankuasa Kecil Penerangan ASEAN-COCI Negara Brunei Darussalam dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian pendidikan.
Seramai 10 penuntut menyertai pertandingan itu, termasuk penuntut dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan, Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Sekolah Menengah Sayyidina Ali dan Sekolah Menengah Rimba Gadong.
Antara tujuan pertandingan adalah untuk membarigakan maklumat mengenai ASEAN kepada penuntut sekolah.
Penglibatan remaja dalam kegiatan ASEAN adalah sebagai salah satu cara untuk membentuk generasi pelapis bagi mewarnai corak peradaban bangsa.
Pencapaian terbaik Negara Brunei Darussalam di Kuiz ASEAN Peringkat Serantau ialah ketika meraih tempat ketiga pada tahun 2014 di Vientiane, Viet Nam.