Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Tahun Baru Masihi 1992
Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Dengan izin Allah Subhanahu Wataala jua, dapatlah kita memasuki gerbang tahun baharu Masihi 1992, dan mengucapkan selamat tinggal kepada tahun 1991.
Apa yang jelas, bahawa kita telah menempuh tahun 1991 dengan perasaan yang lega, dari segi, negara kita tetap berkeadaan aman, dengan rakyat serta penduduk hidup di dalam bahagia dan sejahtera. Ertinya, satu babak dari kehidupan kita sudahpun selesai, iaitu kehidupan bernegara yang diterajui oleh kerajaan yang ada.
Dari masa sepanjang 12 bulan itu, kita telah pun melakukan apa-apa yang kita kehendaki. Kita merancang, dan sambil itu kita juga bertindak melaksanakan rancangan-rancangan tersebut. Soalnya sejauh manakah kita sudah berhasil mencapai matlamat-matlamat kita, adalah merupakan suatu perkara, yang amat mustahak untuk diteliti atau diambil kira.
Maka di dalam menilai beberapa hasil kerja seperti inilah, biasanya kita akan kembali kepada soal mutu, produktiviti dan inovatif. Lalu dengan itu, kita pun dengan tidak habis-habisnya membuat panduan demi panduan atau garispandu demi garispandu untuk meningkatkan profesionalisme dan kualiti pegawai-pegawai serta kakitangan perkhidmatan awam kita, seperti pada tahun lepas umpamanya, beta dengan senghaja telah cuba mengungkapkan tema “Kerjasama dan Muzakarah” di kalangan kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan dalam kerajaan.
Tetapi di samping itu, beta juga menyedari, bahawa dengan garispandu dan arahan-arahan sahaja belumlah dianggap menjamin untuk mendisiplinkan semua jentera kerajaan dengan sebaik-baiknya, kerana disiplin itu sebenarnya bukanlah boleh dikertaskan, tetapi ianya terletak dan berpunca daripada rohani seseorang.
Inilah nilai yang utama, yang mesti turut ditekankan di dalam latihan-latihan dan program-program pembinaan manusia. Jika nilai spiritual ini sudah tumbuh dan berkembang di dalam diri seseorang,maka barulah budaya kerja yang sihat, amanah dan bertanggungjawab akan lahir menjiwai pembangunan.
Tegasnya, setakat undang-undang dan peraturan sahaja, belumlah membolehkan terciptanya budaya yang baik ini, sekiranya tidak wujud terlebih dahulu pegawai-pegawai dan kakitangan awam yang melihat tugas dan khidmat mereka sebagai ibadat yang wajib ditunaikan.
Jadi dalam hubungan ini, yang paling penting itu, ialah perubahan sikap ke arah yang lebih amanah, jujur dan bertanggungjawab bagi melaksanakan tugas masing-masing bukan mencongak-congak ataumenghitung-hitung : Apakah nasib saya pada besok hari atau lusa dan seterusnya. Adapun sikap perangai suka mencongak-congak begini, lahirnya bukanlah dari jiwa yang besar dan berani, tetapi sebaliknya.
Kerana itu, dengan segala tulus ikhlas, beta amatlah mengharapkan supaya pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan beta tidaklah akan mengabaikan masalah nilai serta “semangat kerja” yang tinggi walaupun sekirannya tempoh perkhidmatan mereka hanya tinggal sehari sahaja lagi. Di sinilah letaknya ujian kejujuran bagi seorang pegawai itu.
Beta seboleh-bolehnya akan mengurangkan daripada menyebut ataupun memperkatakan semula, apa-apa yang telah pernah beta tegaskan dahulu di masa-masa yang lalu. Tetapi bagaimanapun, beta tidaklah pernah lupa, untuk melihatnya berhasil dan terlaksana menjadi kenyataan.
Mengenai pergolakan semasa di luar tanahair, tahun 1991telah mencatatkan beberapa banyak kejadian menarik dan juga yang mengerikan. Di antaranya ada yang turut membuka jalan bagi perubahan scenerio politik dunia yang memang tidak pernah mantap itu.
Kita sebagai sebahagian dari masyarakat antarabangsa, hanyalah turut mengharapkan perubahan-perubahan yang adil, yang disenangi oleh seluruh jagat ini, yang tidak sedikit pun merugikan mana-mana pihak. Tetapi jika sekiranya ada yang manis, maka kemanisan itu biarlah dapat dinikmati bersama-sama. Dan adalah untuk ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mestilah kekal berfungi sebagai sifatnya forum antarabangsa untuk melindungi hak dan kepentingan negara-negara anggota, terutama negara-negara kecil dan lemah.
Biasanya, apa sahaja kesan sesuatu pergolakan atau kejadian itu, akan terpaksa ditanggung secara bersendirian oleh mana-mana juga pihak di dunia ini, tidak terkecuali juga kita. Maka begitulah umpamanya, kesan daripada kejatuhan harga minyak dunia di samping kesusutan nilai matawang dolar Amerika, adalah boleh mendatangkan akibat-akibat ekonomi dan politik yang berbagai-bagai kepada seluruh dunia. Terpulanglah kepada masing-masing untuk mencari jalan bagaimana mengatasinya, ataupun mengambil langkah-langkah yang wajar yang berpatutan bagi mengekalkan
kestabilan masing-masing.
Maka kita dalam hubungan ini alhamdulillah, telah dapat menghadapi dengan cara kita sendiri, iaitu melalui langkah-langkah berjimat cermat yang tidak sampai menjejaskan rancangan-rancangan kerjaaan bagi kepentingan rakyat dan penduduk.
Menyebut mengenai dengan kepentingan rakyat dan penduduk ini, rancangan tidaklah sahaja dibuat dalam bidang-bidang pembangunan kebendaan semata-mata, tetapi turut juga difikirkan ialah bagaimana untuk mewujudkan lagi kefahaman dan kerjasama yang lebih rapat di antara pihak-pihak kerajaan dan orang ramai.
Maka ke arah ini, eloklah juga barangkali ditimbangkan kemungkinan orang-orang yang dilantik ke jawatan-jawatan tertinggi dalam kerajaan dan juga orang-orang yang bergelar serta disampiri nama menurut adat istiadat negara akan dapat memainkan peranan kepimpinan di peringkat “grass-root” secara lebih sistematik lagi. Hal ini adalah wajar sebagai suatu cara meresapkan unsur-unsur kepimpinan itu ke dalam masyarakat.
Masalah kepimpinan ini sudahpun banyak kali beta tekankan. Kepimpinan yang baik itu akan melahirkan masyarakat yang bersopan santun dan berbudi luhur. Tetapi sebaliknya kepimpinan yang gagal, akan terus sahaja memperbesar jurang di antara yang dipimpin dengan pemimpin itu sendiri.
Beta sangatlah berpuas hati dengan apa yang sudah kita buat untuk kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini. Kita tidak bertindak berat sebelah untuk kepuasan dunia semata-mata tetapi sama-sama mementingkan akhirat dan kebahagiaan jangka panjang. Misalnya kita telah membuat peraturan yang berkaitan dengan arak serta yang paling baru menubuhkan institusi kewangan Islam. Semua ini faedahnya bukanlah untuk satu golongan sahaja tetapi secara rasionalnya adalah meliputi untuk kebahagiaan semua pihak.
Sungguhpun begitu, semakin rancak kita bergerak ke arah “jalan yang lurus” ini, maka semakin rancak pula kelihatannya tentangan dan jenayah yang dilakukan oleh anasir-anasir yang antiketenteraman.
Beta tegaskan di sini bahawa mereka ini tidak akan mempunyai tempat di Negara Brunei Darussalam yang sejahtera.
Beta adalah berharap, supaya usaha-usaha untuk mengatasi jenayah akan ditingkatkan terus, dengan orang ramai pula hendaklah memberikan kerjasama mereka yang rapat lagi berterusan kepada pihak Pasukan Polis Diraja Brunei. Kita adalah tidak mampu sama sekali untuk bertolak ansur dengan apa juga jenis anasir yang cuba mengeruhi suasana tenteram yang sedang kita nikmati selama ini. Setiap apa sahaja bentuk perbuatan yang bercanggah dengan undang-undang dan peraturan negara adalah musuh kita.
Menjelang tahun 1992 ini, negara lebih-lebih lagi memerlukan keselesaan di mana keselesaan itu hanya akan wujud apabila adanya keamanan. Kerana dalam tahun ini juga, kita akan menyaksikan suatu perayaan bersejarah yang agak berbeza dari lain-lain perayaan iaitu perayaan bersempena dengan menyambut genapnya 25 tahun beta menaiki takhta.
Perayaan ini dimaksudkan semata-mata kerana menghargai sejarah. Beta yakin bahawa faktor sejarah sangat banyak memainkan peranan untuk menyelesaikan pelbagai masalah kita dan negara.
Sebab itulah, ia perlu dipelihara dengan tidak mengira sama ada kecil ataupun besar. Jika tanpa usaha untuk memelihara dan menyimpan sejarah, lama kelamaan ia akan berkubur begitu sahaja. Bangsa yang tidak mempunyai sejarah adalah bangsa yang merempat dan miskin.
Oleh yang demikian itu, beta berharap perayaan ini tidak sahaja akan mempamerkan perkara-perkara yang bersifat sementara yang mudah dan cepat hilang daripada ingatan, malahan juga yang lebih utama ialah dapat menonjol atau menghasilkan sesuatu yang bersifat kekal yang boleh dirujuk dan dibaca oleh generasi yang akan datang.
Akhirnya beta dalam kesempatan ini, tidak lupa mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh lapisan rakyat dan penduduk yang telah memberikan sokongan padu kepada kerajaan beta.
Demikian juga seluruh pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan dan tidak terkecuali anggota-anggota pasukan keselamatan yang telah memainkan peranan mereka masing-masing bagi kepentingan negara ini.
Dengan segala tulus ikhlas serta sukacita, beta dan keluarga beta mengucapkan selamat tahun baru kepada sekalian rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam, sambil berdoa semoga kita dan negara kita akan sentiasa dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata’ala keselamatan, ketahanan, aman makmur dan bahagia di bawah hidayah dan perlindungan-Nya juga.
Sekian Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamualaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh.