Thursday, May 23, 2013
   
TEXT_SIZE

Titah

Titah di Majlis Bersama Pelajar-pelajar dan Rakyat Negara Brunei Darussalam Di Australia

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Majlis Bersama Pelajar-pelajar dan Rakyat Negara Brunei Darussalam Di Australia pada 20 Jamadilakhir 1434 bersamaan 1 Mei 2013.

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Alaa Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Beta  bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana mengizinkan beta dapat hadir bersama-sama para pelajar dan rakyat Negara Brunei Darussalam yang  sedang berada di sini. Inilah perjumpaan beta kali keempat dengan para pelajar di luar negara: United Kingdom, Republik Arab Mesir, New Zealand dan sekarang Australia.

Menerusi perjumpaan-perjumpaan tersebut, membolehkan beta dapat mengetahui lebih dekat lagi akan kemajuan para pelajar, siapa yang berhak untuk mendapat jolokan selaku aset dan ejen masyarakat.

Beta sangatlah cenderung untuk mendengarkan buah fikiran mereka dalam bentuk pendapat-pendapat atau ulasan-ulasan mengenai perkembangan dalam negara, kerana selaku orang terpelajar, adalah tidak pelik jika mereka itu mempunyai idea-idea bernas dan gagasan-gagasan besar.

Walaupun kita tahu persekitaran mereka terhad di dalam kampus, namun dunia berfikir mereka amatlah luas, sehingga tidak siapa yang dapat menyempitkan sempadannya. Itulah para pelajar, sifat mereka adalah aktif bukannya pasif. Kreatif dan bukan berpeluk tubuh. Mereka adalah acuan masa depan negara.

Selaku acuan, kita mengharapkan, biarlah acuan itu baik, bukan sebaliknya. Adapun tanda acuan yang baik itu, ia mampu mendatangkan hasil yang sama-sama baik pula. Di sinilah pentingnya para pelajar mempunyai sahsiah yang hebat, bukan seperti lalang yang senang dilentur angin.

Para pelajar bukan disuruh untuk mengutip atau membawa budaya orang lain ke negara sendiri, tetapi yang diminta daripada mereka ialah mengambil dan membawa ilmu yang berguna. Ingat, budaya dan ilmu adalah dua perkara yang berbeza.

Beta sedikit kecewa apabila baru-baru ini, pihak berkenaan ada membuat kenyataan bahawa isu atau gejala sosial adalah paling tinggi di sekolah rendah kita. Kenyataan itu turut membutirkan, yang isu atau gejala tersebut termasuk, lewat atau tidak hadir ke sekolah, berkelahi, buli-membuli, mencuri, membawa barang terlarang seperti pisau, berkumpulan atau geng, peras ugut dan merokok.

Beta tidak mahu kepincangan ini cuma untuk disebut-sebut saja, tetapi yang lebih penting adalah usaha mengatasinya. Ia tidak boleh ditunda-tunda atau ditangguh-tangguhkan lagi. Ini adalah penyakit dan setiap penyakit memerlukan rawatan.
Beta menyesali ianya berlaku di sekolah rendah. Baru di peringkat rendah, sudah kedengaran cerita pisau, cerita geng, cerita peras ugut dan macam-macam lagi. Bayangkan, jika gejala ini juga menjadi budaya di peringkat tinggi? Di mana SPN21 yang kita megah-megahkan itu?

Dengan apa yang berlaku ini, tidakkah kita tergambar, bahawa SPN21 adalah dalam ancaman? Maksud beta, andainya kita tidak berjaya mengatasi gejala buruk ini, bermakna SPN21 adalah gagal.

Ingat, matlamat Wawasan Brunei 2035 ialah untuk melahirkan rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi. Bagaimanakah harapan ini boleh dicapai nanti, kalau proses pendidikan dan pembelajaran tidak berjalan lancar disebabkan adanya gangguan-gangguan dalaman sendiri?

Bagaimanapun, beta merasa terhibur dengan jumlah penghantaran pelajar-pelajar Brunei ke Australia adalah berterusan pada setiap tahun, sebagai usaha meningkatkan kapasiti tenaga manusia.

Sehubungan ini, beta adalah menghargai usaha Suruhanjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam di Canberra dan Kementerian Pendidikan untuk meningkatkan lagi kemasukan pelajar-pelajar di universiti-universiti ternama di sini, terutama 'Group of Eight Universities', bukan saja dari kalangan pelajar biasiswa kerajaan tetapi juga dari sektor swasta dan persendirian.

Akhirnya beta berharap, para pelajar akan dapat membersihkan diri daripada sebarang gejala yang tidak diingini dan menjadilah kaum intelek sejati, yang berperibadi dan bersemangat MIB. Dengan itu, insya-Allah, para pelajar akan dipandang tinggi dan juga mudah untuk meraih kejayaan.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Majlis Pertandingan Membaca Al-Qur’an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1434H/2013M

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Majlis Pertandingan Membaca Al-Qur’an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1434H/2013M, bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, pada 7 Jamadilakhir 1434 bersamaan 18 April 2013.

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du

Alhamdulillah, beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala, kerana dengan limpah izin-Nya jua dapatlah kita mendengarkan lagi bacaan Al-Qur'an daripada qari dan qariah kita.

Membaca Al-Qur'an secara bertaranum atau berlagu adalah salah satu seni dalam Islam. Ia boleh membawa kekhusyukan dan kehebatan kepada pembaca dan juga pendengarnya.

Inilah kesan dari membaca Al-Qur'an itu. Membacanya dengan niat semata-mata kerana Allah akan memberikan ketenangan dan kebahagiaan. Ia juga adalah penawar atau ubat kepada rohani dan jasmani, insya-Allah.

Menyentuh mengenai dengan bacaan Al-Qur'an secara bertaranum ini, kerajaan beta melalui Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, telah membuka kelas khas bagi tujuan ini, seperti Skim Tilawah Al-Qur'an Remaja, yang kini telah mula menampakkan hasilnya dengan penampilan para qari dan qariah muda yang baru.

Usaha ini bertujuan, untuk meramaikan lagi pakar-pakar qari dan qariah kita di dalam bidang pembacaan Al-Qur'an. Di bidang ini, kita turut selalu diundang untuk menyertai pertandingan-pertandingan membaca atau menghafaz Al-Qur'an di luar negara. Maka dengan ini, memang tepatlah pada waktunya kita mesti bersedia untuk memenuhi keperluan tersebut.

Selain itu, kita juga mustahak memahami, bahawa Al-Qur'an itu memiliki ciri-ciri tersendiri atau istimewa, sebagai sifatnya wahyu. Kerana itulah, apabila kita berurusan dengan Al-Qur'an, kita dikehendaki supaya memenuhi beberapa etika tertentu, seperti kalau membacanya, adalah dikehendaki supaya beradab dan bertartil. Begitu juga kalau menafsirnya, dikehendaki kita menafsir dengan ilmu (berdasarkan ilmu), bukan dengan semata-mata menggunakan akal.

Penafsir, perlu baginya mempunyai asas dalam ilmu tafsir dan ilmu hadis, yang diperolehi secara berguru, bukan dengan mengambil bulat-bulat daripada buku atau internet semata-mata. Adapun buku dan internet saja belum dianggap memadai, kerana kedua-duanya masih banyak yang tidak jelas atau yang tidak disebut langsung. Tetapi dengan berguru, perkara yang tidak jelas dan tidak disebut itu akan dihurai dan disebut oleh guru.

Inilah kepentingan berguru itu, ada keberkatan di situ. Berbeza dengan semata- mata bergantung kepada buku atau internet, orang boleh saja melakukan kesilapan atau keliru.

Brunei tidak pernah ketinggalan dalam perkara menghormati kebebasan bersuara dan menulis. Tetapi dalam pada itu, seperti juga di tempat-tempat lain, Brunei juga mempunyai undang-undang dan perlembagaannya. Di dalam perlembagaan ada termaktub : Aliran Ahli Sunnah Waljamaah mengikut Mazhab Syafi'e sebagai pegangan. Semua pihak dikehendaki untuk memahami perkara ini, tidak terkecuali juga pihak media.

Jika terdapat sebarang pandangan atau pendapat mengenai satu-satu perkara keagamaan, yang dianggap bercanggah dengan pandangan atau pendapat atau ketetapan rasmi kerajaan, maka ianya tidak wajar dengan sewenang-wenang disuarakan atau disiarkan, melainkan perlu terlebih dahulu dirujukkan kepada pihak berkenaan (autoriti), untuk mendapatkan ulasan atau keputusan. Cara ini adalah teratur, untuk mengelakkan sebarang risiko atau akibat-akibat yang tidak diingini.

Akhirnya dalam kesempatan ini, beta sukacita mengucapkan tahniah kepada semua peserta di dalam semua peringkat pertandingan. Kepada qari dan qariah yang menjuarai pertandingan  dan seterusnya akan mewakili negara ke Musabaqah Tilawah Al-Qur'an Peringkat Antarabangsa di Kuala Lumpur, beta berharap mereka itu akan dapat meningkatkan lagi mutu bacaan masing-masing.

Sekian. Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Titah di Majlis Bersama Pelajar-pelajar dan Rakyat Negara Brunei Darussalam Di New Zealand

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam  di Majlis Bersama Pelajar-pelajar dan Rakyat Negara Brunei Darussalam Di New Zealand pada 13 Jamadilawal 1434 bersamaan 25 Mac 2013.

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

BETA  bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala yang mengizinkan beta hadir di Majlis Bersama Pelajar-pelajar  dan juga Rakyat Negara Brunei Darussalam yang sedang berada di sini. Beta berharap
perhimpunan ini akan dapat memberi makna yang tersendiri bagi para pelajar khasnya.

Cita-cita untuk berjaya di dalam bidang pengajian adalah selaras dengan Wawasan Brunei 2035, yang berhasrat untuk melahirkan rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi.

Ini baru merupakan satu azam atau slogan jua. Kita tidak mahu ia hanya tinggal azam atau slogan semata-mata. Tetapi yang kita mahu, biarlah azam atau slogan itu benar-benar menjadi kenyataan. Kita tidak boleh berpada dengan cuma melaungkan slogan, tanpa diiringi dengan kerja keras dan menghasilkan buahnya.

Inilah tanggungjawab yang perlu difahami oleh semua kalangan pelajar khasnya dan rakyat jelata amnya.

Para pelajar tidak boleh bersemangat lemah. Semangat lemah bukan pakaian para pelajar.  Pakaian para pelajar ialah azam yang tinggi dan semangat yang berkobar-kobar. Inilah pemangkin yang menentukan,  sama ada  mereka boleh maju atau sebaliknya.

Namun,  dengan hanya bermodalkan semangat dan azam sahaja pun, belum lagi dianggap memadai, tetapi masih perlu kepada dua paksi : Keyakinan diri dan keimanan kepada Allah, di mana segala-segalanya itu tidak mungkin dicapai kecuali hanya dengan izin-Nya jua setelah Dia itu ditaati.

Oleh itu, kenalah  dipelihara Allah itu untuk merebut berkat dan rahmat-Nya. Tanpa berkat dan rahmat Allah, semuanya tidak bermakna.

Negara kita Brunei Darussalam sekarang, sedang bergerak ke  arah menagih berkat dan rahmat Allah.  Kita tidak  akan mengabaikan perkata ini, insya-Allah. Kita adalah sedang belajar, bekerja dan membangun dengan petunjuk Allah.

Beta di sini, suka mengambil kesempatan untuk menasihatkan para pelajar,  supaya jadilah pakar. Gantungkanlah  cita-cita setinggi langit untuk menjadi pakar, kerana negara  sedang memerlukan  tenaga-tenaga pakar.

Sekali lagi beta tekankan, jadilah awda semua pakar, pakar yang benar-benar berguna kepada negara,  bukan pakar yang membebankan negara.

Maksud beta dengan pakar yang membebankan negara ialah pakar-pakar dalam perkara-perkara negatif yang tidak diingini atau tidak bagus di sisi Allah Subhanahu Wata'ala. Bukannya tidak ada dalam kalangan umat manusia pakar-pakar yang tidak bagus itu, yang bergiat bukan untuk meringankan bebanan, tetapi menambahkan lagi beban negara.

Memang terdapat ramai pakar di dunia ini, tetapi bukan semua pakar itu bagus dan berguna. Kalau pakar itu pakar perosak atau pakar pembawa masalah, maka pakar jenis ini tidaklah dialu-alukan, kerana wujudnya tidak membantu, malah membebankan masyarakat dan negara.

Contoh-contoh pakar yang tidak dialu-alukan itu, misalnya : Pakar penjenayah, pakar pemberi dan penerima rasuah, pakar pengedar dan penyeludup dadah, pakar penyebar dan pembawa ajaran-ajaran salah, atau pakar penulisan yang menulis hal-hal yang berlawanan dengan syariat, seperti bunyinya bagus membela Al-Qur'an tetapi menolak hadis : Bercakap mengagungkan undang-undang tetapi yang tersirat atau tersurat adalah merendah-rendahkan undang-undang Allah, seperti menocanya sebagai kolot dan seumpamanya.

Terhadap mereka ini, pihak berwajib tidaklah wajar mendiamkan diri begitu saja, tetapi perlu menghadapinya dengan tegas di bawah mana-mana jua peruntukan akta yang berkaitan. Kerana kita tidak mahu Brunei dijadikan medan polemik yang tidak berfaedah. Kita tidak mahu Brunei menjadi markas ulama-ulama media, yang muncul semena-mena hasil dari kerajinan melayari internet atau dunia siber. 

Para pelajar khasnya, janganlah menjadi pakar yang ditolak oleh undang-undang dan negara seperti ini. Para pelajar dan malah kita semua, janganlah terlibat dengan kepakaran-kepakaran seumpama itu, tetapi, terlibatlah dengan kepakaran-kepakaran berunsur ilmiah yang sihat, seperti : Menjadi pakar agama, pakar sains, pakar undang-undang, pakar ekonomi, pakar dalam semua bidang perubatan dan lain-lain. Inilah kepakaran yang kita dan negara kehendaki.

Sehubungan ini, beta melihat, para pelajar bolehlah menggunakan kesempatan yang ada untuk melakar sejarah mereka masing-masing untuk menjadi ahli intelektual sejati. Mereka sungguh beruntung mendapat pelbagai kemudahan daripada kerajaan dan gunakanlah ia selaku rezeki daripada Allah Subhanahu Wata'ala.

Beta penuh berharap, para pelajar bukan saja perlu berjaya malah juga wajar bertekad dan bersedia untuk berbakti kepada negara apabila pulang ke tanah air kelak. Beta dengan tulus ikhlas turut mendoakan, semoga Allah Subhanahu Wata'ala memberkati para pelajar semua dengan keselamatan dan kejayaan.    

Sekian. Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalaamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Kesembilan Majlis Mesyuarat Negara

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Kesembilan Majlis Mesyuarat Negara, bertempat di Bangunan Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, Bandar Seri Begawan pada hari Khamis, 24 Rabiulakhir 1434 bersamaan 7 Mac 2013.

Assalamu’alaikum Waramatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu’Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee  Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan izin-Nya jua Majlis Pembukaan Persidangan Musim Permesyuaratan Kesembilan Majlis Mesyuarat Negara dapat diadakan pada hari ini.

Sewajarnya kita wajib bersyukur kerana Allah telah menjadikan negara kita Brunei Darussalam kekal aman dan makmur, serta rakyat dan penduduk pula menikmati kehidupan yang selesa.  Namun kita tidak boleh bersikap ambil ringan atau cepat berpuas hati (complacent) dalam usaha kita memelihara keamanan dan mengekalkan kemakmuran.

Lebih-lebih lagi sejak lima tahun kebelakangan ini, dunia kita terus dibayangi oleh pergolakan ekonomi global yang dikhuatiri mungkin dapat menjejaskan kehidupan rakyat dan penduduk, walaupun pihak Tabung Kewangan Antarabangsa IMF pada akhir-akhir ini telah melahirkan sentimen lebih positif terhadap situasi ekonomi dunia.  Namun pada pengamatan beta kedudukan fiskal sistem kewangan dan ekonomi di beberapa buah negara utama dunia masih saja terus bermasalah, masih terus teruji.

Dengan sebab inilah, kerajaan beta berhasrat untuk meneruskan dan melipatgandakan lagi usha-usaha mengukuhkan ekonomi dan pertumbuhannya.  Sebagai salah satu keperluan utama ialah pengembangan perniagaan dan perdagangan serta menarik lebih banyak lagi pelaburan asing.  Kita juga akan terus mewujudkan persekitaran pelaburan yang kondusif, industri huluan dan hiliran sektor minyak dan gas juga akan terus dimantapkan selaku penyumbang utama ekonomi kita.  Begitu juga untuk tujuan menggalakkan pelaburan dalam negara, beta telah memperkenankan bagi Cukai Harta Pusaka (Estate Duty) ditiadakan mulai 1 Januari 2013, ini termasuk juga mana-mana Cukai Harta Pusaka yang masih tertunggak akan turut dihapuskan dari Kira-kira.

Manakala kemajuan sektor swasta yang bukan minyak dan gas akan terus dipermudahkan sebagaimana berjalan sekarang.  Sementara sumbangan sektor kerajaan pula akan diteruskan terutama dalam bentuk pembinaan prasarana-prasarana utama.  Peruntukan kewangan sebanyak $6.5 bilion dalam RKN Kesepuluh adalah merupakan komitmen yang sangat besar daripada kerajaan beta untuk membiayai pelbagai projek pembangunan negara.  Semua ini perlu mendapat perhatian yang serius daripada sekalian Ahli MMN terutama Ahli-ahli Yang Dilantik, mereka itu perlu memberikan pandangan sebanyak yang mungkin.

Adalah tidak memadai setakat bertanya sahaja tanpa memberikan pandangan, begitu juga tidak memadai sekatat menyebut-nyebut jumlah peruntukan yang besar tanpa melihat apa dan bagaimana ia digunakan dengan berkesan.  Ini semua tidak dapat disangkal lagi adalah memerlukan pandangan dan buah fikiran daripada ahli-ahli.  Kita percaya ahli-ahli terutama mereka ysang dilantik tentu saja sudah maklum atau mengetahui bidang-bidang yang dimajukan di dalam perancangan kerajaaan.

Maka bersabit itu tidakkah tepat pada masanya untuk merkea itu mesti sama-sama memberikan pandangan.  Berikanlah pandangan misalnya bagaimanakah cara untuk meningkatkan lagi pendidikan, memperbaiki taraf kesihatan, mengatasi pengangguran, memajukan pelaburan, pelancongan, pertanian, perikanan dan alam sekitar.

Di dalam bidang-bidang agama dan undang-undang pula diperlukan juga pandangan dan buah fikiran bagaimana cara, umpamanya, untuk memperkemas serta melicinkan lagi pelaksanaannya.  Begitu juga di bidang sosial, bagaimanakah cara yang berkesan untuk mengatasi dan mengubati penyakit jenayah dan lain-lain penyakit moral.

Pendeknya bidang-bidang ini adalah sangat luas dan terbuka untuk disebut dan dibincangkan.  Jika ada respons baik dan hangat daripada ahli-ahli mengenainya, maka barulah ada makna kita bersidang.  Pada hemat beta, inilah yang ditunggu-tunggu oleh rakyat.  Mereka ingin untuk mendengarnya, mereka suka untuk tahu apa dia perkembangannya di dalam negara melalui projek-projek kerajaan yang telah dan sedang berjalan.  Adalah tidak memadai dengan cuma menyebut RKN Kesepuluh dengan peruntukan yang begitu besar tanpa memberikan gambaran apa dia projek-projek yang diungkayahkan itu dan bagaimana ia berjalan.

Pada hemat beta, inilah tanggungjawab besar Ahli-ahli MMN selaku pemimpin akar umbi, mereka berkewajipan untuk mengetahui selengkapnya semua inisiatif kerajaan baik yang telah mahupun yang sedang dilaksanakan meliputi semua aspek dan bidang agama, ekonomi, pendidikan infrastruktur dan mentaliti, keselamatan dan sosial.

Dengan cara ini, Ahli-ahli MMN barulah akan dapat dianggap telah  memartabatkan majlis ini selaku institusi yang dihormati.  Selaku forum perbincangan ia diharapkan mampu untuk menghindari perkara-perkara remeh-temeh dan sebaliknya mengutamakan perkara-perkara besar untuk kebaikan semua lapisan rakyat dan negara.  Akhirnya beta berharap MMN Kesembilan ini akan dapat berlangsung dengan licin dan sempurna serta mampu mencapai objektifnya.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Official visit of His Excellency Thongsing Thammavong, Prime Minister of the Lao People’s Democratic Republic

Address by His Majesty Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan and Yang Di-Pertuan of Brunei Darussalam at a banquet in honour of the official visit of His Excellency Thongsing Thammavong, Prime Minister of the Lao People’s Democratic Republic, at Istana Nurul Iman on Saturday, 2nd March 2013.

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillaahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidinaa Muhammadin Wa’alaa ‘Alihie Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Your Excellency Prime Minister Thongsing Thammavong,

Madame Bouathong Thammavong,

Excellencies,

Ladies and Gentlemen.

It is with great pleasure that my government and I and the people of Brunei Darussalam welcome you and Madame Bouathong Thmmavong to our country.

Your visit marks a further step towards strengthening our countries’ ties as we celebrate the twentieth year since we established diplomatic relations.

The firm friendship between Brunei Darussalam and the Lao People’s Democratic Republic is hallmarked by practical co-operation in education and defence as well as regular exchanges of visits at any levels.

We look forward to many more opportunities to co-operate further with Lao’s as we continue to strengthen our ties into the future.

Prime Minister,

You have come to Brunei in the year of our Chairmanship of ASEAN and as members of ASEAN, we are committed to working together to enhance regional peace, stability and prosperity.

Our countries both strive to continue raising the living standards of our people and to provide them with opportunities to advance themselves in this highly competitive world.

In this respect, ASEAN provides the support and encouragement to help us realise these goals.

As ASEAN Chairman, Brunei Darussalam looks forward to working closely with the Lao P-D-R in building the ASEAN Community.

Brunei Darussalam commends the Lao people for their strong sense of national identity and their determination to succeed in developing their country.

And this is reflected in the continuing peace and stability that the Lao P-D-R enjoys, as well as in the significant development that the country has achieved.

Prime Minister, you have personally shown commitment towards achieving growth and progress in your country and we applaud the efforts of your government to achieve the Millennium Development Goals by 2015.

We also congratulate you on the successful hosting of the 9th Asia-Europe Summit Meeting in November last year and on your country’s recent membership of the World Trade Organisation.

I thank you and your government for the mutual support, friendship and goodwill that our two countries have enjoyed over the past twenty years.

Thank you.

Wabillalhit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Titah Sempena Menyambut Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-29

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di- Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Menyambut Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-29

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil’alameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat lagi menyambut Ulang Tahun Hari Kebangsaan kita. Sambutan pada kali ini ialah sambutan yang ke 29.

Ulang tahun itu kita peringati kerana ia adalah sejarah kita, sejarah menjawat kemerdekaan. Kita jawat kemerdekaan itu dengan takbir Allahu Akbar iaitu suatu cara tersendiri yang tidak pernah berlaku di mana-mana.

Cara ini tentu saja tidak kosong daripada hikmah. Malah beta melihatnya sebagai satu alamat baik kepada Brunei, yang kini sudahpun jadi kenyataan dikenali sebagai Negara Zikir atau Negara MIB.

Begitulah, semua itu berlaku tentu saja dengan izin dan kehendak Allah jua.

Dengan berkat kalimat Allahu Akhbar kemerdekaan tanah air telah membuahkan hasil yang sangat lumayan berupa keamanan dan kemakmuran serta Ugama Islam bersinar-sinar menjadi pegangan dan amalan di Negara Brunei Darussalam.

Begitu juga dengan berkat kalimat ini, kita telah ditakdirkan dapat melakukan beberapa tanggungjawab besar untuk negara.

Ini semua, kita jangan lupa berlaku dalam era setelah merdeka. Mengingat ini, kita sepatutnya akan lebih-lebih lagi menyayangi kemerdekaan itu.

Tanda orang sayang sangatlah mudah dikenali. Hatinya telus kepada bangsa dan budinya pula luhur, suka berjasa. Dia tidak mahu dilihat sebagai lemah manakala berlaku sesuatu kepada negaranya.

Inilah dia sikap yang patut dimiliki oleh setiap diri individu yang bernama rakyat jelata.

Rakyat jelata yang sensitif lagi patriotik sangatlah diperlukan oleh negara terutamamereka yang dari kalangan generasi muda serta para belia kerana mereka itu adalah pewaris masa depan kita.

Masa depan akan suram jika mereka itu tidak terlibat membina negara. Mereka mesti turut berkecimpung dalam setiap aktiviti kenegaraan sekurang-kurangnya menjadi penyumbang moral yang aktif.

Contoh sumbangan moral itu ialah seperti menjadi rakyat yang baik, yang ikhlas lagi amanah serta taat dan mematuhi undang-undang dan tidak membebani negara dengan perbuatan-perbuatan anti sosial atau asyik dengan berseronok-seronok semata-mata.

Berseronok yang melampau-lampau boleh melemahkan jentera masyarakat kerana tiada apa yang dapat ditunggu daripadanya kecuali kerugian jua.

Kerana itu, menurut kaum cerdik pandai untuk menjadi bangsa yang maju dan kuat, kenalah kita mengurangkan berseronok dan menggantikannya dengan banyak bekerja dan berfikir.

Elakkan dari menurutkan rasa hati tanpa banyak menimbang dan berfikir dan ingatlah bahawa berfikir itu adalah mahkota hidup.

Atas rasional inilah, kerajaan beta menguatkan pendidikan iaitu selaku pemangkin kepada kemajuan. Komitmen kerajaan dalam bidang ini adalah menyeluruh untuk sekalian rakyat tanpa mengira suku atau kaum.

Ia juga adalah antara objektif Wawasan 2035 untuk melahirkan rakyat terpelajar lagi berkemahiran sebagai pra syarat membolehkan kita bersaing ditengah-tengah kemajuan global.

Beta mahu biarlah rakyat responsif terhadap usaha-usaha kerajaan untuk negara.

Sekurang-kurangnya mereka itu dapat memahami aspirasi kerajaan melakukan sesuatu rancangan itu. Mereka tidak boleh lepas pandang atau berkata tidak tahu kerana perbuatan lepas pandang atau berkata tidak tahu itu adalah amat memalukan bagi suatu bangsa yang sedang membangun.

Dalam era perlumbaan hari ini, kita selaku rakyat tidaklah boleh tercicir dari turut mendukung gagasan negara. Jika tercicir, bermakna kita tertinggal di belakang dan terpinggir.

Siapapun juga, mestilah turut berkayuh menuju matlamat yang dituju. Jangan ada yang angkat pengayuh atau enggan berkayuh tetapi mesti sama-sama berkayuh barulah namanya kita sejiwa mencipta masa depan yang cerah.

Pada tahun ini saja, ada beberapa rancangan besar yang memerlukan komitmen rakyat. Dalam perkara agama, kita sudahpun menguatkuasakan ‘Perintah Pendidikan Ugama Wajib 2012’ yang melibatkan seluruh rakyat dan penduduk yang beragama Islam. Kemudian seiringan itu kita juga telah berjaya mewujudkan ‘Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar’iah’ yang memerlukan dukungan dan sokongan penuh rakyat.

Demikian juga kita telah menguatkuasakan peraturan menutup sementara premis-premis perniagaan pada hari Jumaat sehingga selesai menunaikan Fardu Juma’at.

Ini semua adalah langkah-langkah besar ke arah peningkatan. Sayugia diingat bahawa kita membangun adalah meliputi pembangunan fizikal dan rohani. Malah pembangunan jenis kedua inilah yang lebih-lebih lagi dituntut kerana impaknya mencakup dua keuntungan sekaligus: keuntungan dunia dan keuntungan di akhirat.

Sebab itu, adalah sedikit dikesali jika terdapat pendirian kurang gembira dengan peraturan ini dengan menganggapnya sebagai menjejaskan ekonomi.

Beta sudahpun menyebut bahawa peraturan ini penting untuk menjaga imej negara dan juga imej Islam sendiri. Kedua-duanya itu kita mahu supaya terpelihara dan sentiasa indah.

Ini sama halnya apabila kita melarang dari dihidangkan arak di dalam penerbangan, ada yang berkata rugi kerana penerbangan akan dikhuatiri tidak laku. Tetapi orang tidak ingat keuntungan di akhirat dan keuntungan rahmat serta berkat daripada Allah Subhanahu Wata’ala. Dan malah orang tidak nampak bahawa dengan kehendak Allah jua penerbangan yang menghidangkan arak pun boleh juga rugi, bahkan lebih besar kerugian daripada kita yang tidak menghidangkan arak.

Ini membawa makna, perkiraan untung rugi itu adalah semata-mata relatif jua di mana yang betulnya kita hendaklah menerima dan membuat apa-apa jua yang terbaik dengan berpandukan janji Allah Subhanahu Wata’ala.

Inilah cara kita mengisi kemerdekaan sambil mensyukurinya. Kita boleh isi ia dengan seberapa banyak jua rancangan atau aktiviti yang berkebajikan, insya-Allah kita dan negara tidak akan dihampakan.

Akhirnya, beta dengan ikhlas merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi dan lain-lain Jawatankuasa Sambutan Perayaan Ulang Tahun Ke-29 Hari Kebangsaan dan semua peserta serta petugas yang turut berusaha untuk menjayakan perayaan ini.

Beta juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua lapisan rakyat termasuk semua peringkat warga Perkhidmatan Awam meliputi mereka yang bertugas di luar negara, Pasukan-Pasukan Keselematan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta dengan iringan doa semoga Allah memberkati kita dan negara. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu‘alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Majlis Bersama Rakyat dan Penduduk serta Penuntut Negara Brunei Darussalam yang berada di Mesir

Titah Perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Majlis Bersama Rakyat dan Penduduk serta Penuntut Negara Brunei Darussalam yang berada di Mesir

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmannir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil'alameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Beta bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat bersama-sama dengan para hadirin, khasnya para pelajar kita, yang sedang menuntut di sini. Beta menyifatkan perhimpunan ini sebagai penting dan bersejatah, kerana bukanlah mudah untuk mendapatkan peluang yang seumpama ini.

Beta baru saja berkesempatan bertemu dengan para pelajar kita di  United Kingdom dan mendapati mereka itu turut prihatin dengan perkembangan semasa di tanahair. Inilah yang kita mahukan daripada pelajar-pelajar kita, dimanapun mereka itu berada.

Sekarang Beta sedang berada di Kota Kaherah, bertemu wajah dengan para pelajar di sini. Tidak syak lagi, para pelajar ini adalah merupakan golongan bertuah kerana berpeluang belajar di pusat-pusat pengajian yang ternama, khasnya Universiti Al-Azhar, yang dikenali sebagai universiti tertua di dunia, yang sampai sekarang masih saja terus melahirkan ulama-ulama terkemula diserata dunia.

Negara Brunei Darussalam adalah memerlukan lulusan-lulusan ugama yang lebih ramai, sesuai dengan perkembangan semasa yang sangat ligat dan cepat.

Kita juga menyedari, bahawa tugas dan tanggungjawab kita semakin banyak dan berat, yang memerlukan sumber tenaga baru dan segar. Tidaklah diragukan, bahwa sumber tenaga yang sedemikian itu, hanya mampu dihasilkan oleh kilang-kilang yang bernama “pusat-pusat pengajian tinggi” sahaja.

Brunei kini, bukan lagi Brunei 50 atau 60 tahun lalu. Brunei sekarang adalah Brunei yang pesat membangun. Pembangunan itu pula, bukan terhad kepada pembangunan material semata-mata, tetapi meliputi aspek-aspek spiritual. Misalnya dismaping kita memiliki bangunan-bangunan mahkamah, kita juga sudah ada Akta Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar’iah atau Syar’iah Penal Code.

Begitu juga, disamping kita membina lain-lain bangunan dan pelbagai prasarana, kita juga telah mewajibkan pelajaran ugama dan mengambil langkah memelihara imej serta nilai-nilai keislaman, dengan cara diantaranya, menutup sementara premis-premis perniagaan pada Hari Juma’at sehingga selesai melakukan sembahyang fardhu Juma’at.

Ini semua adalah contoh perubahan dan peningkatan di Brunei. Ia turut menunggu sumber tenaga ugama yang berkualiti bagi sama-sama menanainya, dimana para pelajar adalah mereka yang diharapkan.
Oleh itu, belajarlah bersungguh-sungguh dengan menumpukan masa dikuliah, bukan ditempat-tempat lain.

Sebagaimana kita sama-sama maklum, hari ini adalah era internet. Ramai orang terlalu asyik kepadanya, lebih dari kepada yang lain-lain, tidak terkecuali juga para pelajar sendiri, mereka itu mungkin saja, ada yang sangat berminat kepada internet lebih daripada membaca buku atau kitab.

Jika ini berlaku, dikhuatiri pula akan ada orang yang menukar pengajian : dari pengajian dikuliah kepada pengajian di internet.

Pada hemat Beta, perkara seperti ini janganlah berlaku. Kerana dapatan daripada internet itu tidak semua yang sahih, tetapi banyak kontroversinya.

Bagi para pelajar, khasnya pelajar ugama, mereka perlu berhati-hati dalam melayari internet. Pada ketika ini sering muncul “ulama-ulama internet”. Diantara mereka itu ada yang membawa fahaman-fahaman baru, seperti menolak tahlil dan menganggap menyambut Maulidur Rasul sebagai bid’ah yang buruk, dan lain-lain lagi.

Para pelajar kita, janganlah terjerat oleh fahaman-fahaman seperti ini. Brunei Darussalam tidal selesa dengannya. Adapun kita sekarang, sudah cukup bagus lagi mantap, tidak perlu dikeruhkan oleh pelbagai pegangan baru atau idea-idea yang tidak menentu.

Kepada para pelajar, beta suka menasihatkan supaya memilih ulama mu’tabar, bukannya ulama internet. Ada perbezaan diantara ulama mu’tabar dan ulama internet. Ulama mu’tabar adalah mereka yang bergantung atau bersandar kepada Al-Quran, As-Sunnah dan ijma’, sementara ulama internet pula, suka bergantung kepada pendapat-pendapat sendiri.

Namun bukanlah salah atau dilarang melayari internet, tetapi perlu dengan sikap berhati-hati, dalam makna janganlah ditelan bulat-bulat apa saja yang dihidang, melainkan diperhalus dan diteliti terlebih dahulu dengan mendalam.

Bersikaplah lebih matang dan lebih berwawasan, bukannya sebagai Pak Turut yang merugikan diri sendiri.

Dalam perkara kebajikan pelajar disini. Dibawah biasiswa Kementerian Hal Ehwal Ugama, kesejahteraan dan keselamatan mereka adalah sentiasa diambil berat, lebih-lebih lagi dalam keadaan masa ini.

Sehubungan itu, Beta telahpun memperkenankan untuk Kerajaan Beta menanggung perbelanjaan membayar wang pendahuluan dan wang cagaran bagi penyewaan sebuah bangunan dan juga membayar sewa bulanan basement bangunan berkenaan untuk dijadikan tempat bagi para pelajar menjalankan aktiviti-aktiviti mereka dengan penuh selesa dan selamat.

Begitu juga, Beta telah memperkenankan penetapan kadar elaun bagi pelajar yang mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Lanjutan di Republik Arab Mesir, dan telah memperkenankan juga supaya perbezaan kadar elaun itu diselaraskan mengikut kadar baru bagi pelajar-pelajar yang sudah memulakan pengajian mereka di peringkat Sarjana, untuk dibayar balik, bermula dari tarikh mereka meninggalkan Negara Brunei Darussalam bagi memulakan pengajian mereka di peringkat Sarjana.

Beta berharap, semua ini akan dapat dimenfa’atkan dengan sebaik-baiknya bagi membantu para pelajar meningkatkan lagi kecemerlangan mereka dalam pengajian dan malah dalam semua aspek kebajikan yang diperlukan.

Para pelajar disini adalah berhak untuk menerima julukan “Model Terbaik” berasaskan calak keilmuan mereka ialah ugama samawi yang paling tinggi lagi suci disisi Allah, iaitu Islam.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Titah Perutusan sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam bagi Tahun 1434 Hijrah / 2013 Masihi

Titah Perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam bagi Tahun 1434 Hijrah / 2013 Masihi

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmannir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil'alameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala, kerana dengan limpah rahmat-Nya dan izin-Nya jua, dapatlah kita meraikan lagi peristiwa agung, Maulidur Rasul, Sayyidina Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, iaitu sebaik-baik makhluk yang dicipta oleh Allah Subhanahu Wata'ala di muka bumi.

Marilah kita sama-sama memperbanyakkan 'selawat' ke atas Baginda, di samping menghayati dan mencontohi perjuangan Baginda dan para sahabat dalam menegakkan syi'ar Islam ke seluruh pelusuk dunia.

Kini sudah 14 abad berlalu, namun ajaran Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam masih saja terus hidup dan subur di jiwa orang-orang yang beriman, kerana apa yang disampaikan oleh Baginda itu adalah sesuatu yang tulen, asli dan benar, tidak bercampur dengan yang palsu walau sedikitpun, sebagaimana perkara ini diakui oleh Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah An-Najm ayat 2 hingga 3, tafsirnya : "Rakan kamu (Nabi Muhammad yang kamu tuduh dengan pelbagai tuduhan itu) tidaklah dia menyeleweng (dari jalan yang benar) dan dia pula tidak sesat dan tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan ugama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri."

Alhamdulillah, Beta amat bersyukur, kerana kita di negara ini sudah sekian lama mengadakan Majlis Sambutan Maulidur Rasul dengan perisian berdikir di masjid-masjid di seluruh negara selama 12 malam berturut-turut. Acara kemuncaknya pula ialah perhimpunan dan perarakan di seluruh negara dan pada malamnya, Majlis Dikir di Istana Nurul Iman. Kemeriahan seperti ini sukar dilihat di tempat-tempat lain, tetapi di negara ianya adalah sebagai suatu kelaziman. Tidakkah ini satu ciri kebruneian yang unik, yang boleh dibanggakan?

Pada tahun ini, Beta difahamkan bahawa tema sambutan Maulidur Rasul, Sayyidina Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam ialah RASULULLAH TELADAN SEPANJANG ZAMAN. Ini bermakna, Baginda itu dari aspek apa pun adalah tetap relevan untuk menjadi teladan dalam semua zaman. Baginda adalah model yang sempurna dalam semua peringkat kehidupan ,baik semasa kanak-kanak, remaja, dewasa dan peringkat tua. Kita tidaklah lagi perlu untuk menoleh kepada lain-lain model.

Oleh kerana itu, kita dengan spontan akan merasa amat tersentuh apabila imej Baginda yang unggul, murni dan luhur itu cuba dicemari oleh individu-individu yang jahat yang tidak bertanggungjawab. Umat Islam di seluruh dunia akan mengutuk sesiapa saja yang menghina Baginda.

Pada hemat Beta, saluran terbaik untuk menyerapkan teladan yang berharga ialah melalui pendidikan ugama. Kerana itu perlaksanaan Perintah Pendidikan Ugama Wajib 2012 pada awal tahun 2013 ini, adalah amat wajar dan perlu. Ia akan menjadi wadah untuk melahirkan generasi lebih berilmu, malah lebih berakhlak serta mampu untuk menghindarkan mereka dari gejala buruk sosial dan penyakit masyarakat yang membebankan negara.

Sebagaimana dimaklumi, pendidikan ugama secara formal mungkin saja terbatas tempohnya, sedangkan yang diperlukan ialah pendidikan sepanjang hayat. Maka sebagai kesinambungan untuk tujuan ini, kita memerlukan institusi lain untuk menampungnya. Di dalam hubungan ini, Beta melihat, masjid adalah di antara wadah terpenting ke arah itu.

Kerana itulah, dalam Rancangan Kemajuan Negara 2012-2017, Kerajaan Beta telah menyediakan peruntukan lebih dari 100 juta ringgit bagi pembangunan masjid-masjid baru di seluruh negara. Kita mengharapkan dengan pembinaan masjid-masjid ini, di samping akan menambahkan lagi kemudahan untuk beribadat, ia juga berperanan untuk menjadi pusat kegiatan ummah dan tidak terkecuali sebagai tempat pengembangan ilmu secara berterusan.

Sehubungan itu, sebagai pusat kegiatan bagi kebajikan dan tempat pengembangan ilmu, masjid-masjid juga jangan dilupakan, merupakan syi'ar dan mercu tanda utama bagi negara ini. Selaku syi'ar dan mercu tanda, ia tidak boleh malap dan lemah, bahkan tidaklah memadai setakat mendirikannya semata-mata tanpa mengambil kira reka bentuk yang sesuai selaku syi'ar.

Beta perhatikan, beberapa buah masjid yang baru dibuka baru-baru ini, reka bentuknya adalah kurang menonjol dan agak mengecewakan. Kita seolah-olah mahu dibawa balik semula kepada era 'reka bentuk standard' masjid-masjid kita, sehingga tidak menghiraukan tentang syi'ar.

Di sini suka Beta mengingatkan, supaya kita bersikap lebih maju dan meningkat, bukannya menurun ataupun berpatah balik ke belakang.

Allah telah mendatangkan Islam selaku ugama yang tinggi. Lalu sehubungan itu, kita pun dituntut pula untuk meninggikan syi'arnya setinggi yang mungkin. Jadi kalau masjid-masjid kita rayap-rayap atau menyamai bangunan biasa, di manakah syi'ar itu di sini?

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Titah on the occasion of The State Visit of Her Majesty Queen Beatrix Wilhemina Armgard of The Kingdom of The Netherlands

Address by His Majesty Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan And Yang Di-Pertuan of Brunei Darussalam on The State Visit of Her Majesty Queen Beatrix Wilhemina Armgard of The Kingdom of The Netherlands on 21st January 2013 at Istana Nurul Iman

Assalamualaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh

Bismillahir Rahmanir Raheem

Alhamdulillaahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Waddeen Wassalaatu Wassalaamu ‘AlaaAsyrafil Mursaleen, Sayyidinaa Muhammadin Wa’alaa ‘Alihie Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Your Majesty Queen Beatrix,

Your Royal Highnesses,

Excellencies,

Ladies and Gentlemen.

It is a great pleasure to welcome Your Majesty and Their Royal Highnesses on Your Majesty’s first state visit to Brunei Darussalam.

I am also very pleased to have this opportunity to return some of the warm hospitality extended to me during my visit to the Netherlands in 2011.

Your Majesty’s visit not only brings our two Royal Households closer, but will also further strengthen the close links of friendship and co-operation between our two governments and peoples.

Your Majesty,

Brunei Darussalam and the Netherlands have long enjoyed close relations.

The Dutch were among the first European to arrive in our region.

The Royal Dutch Shell Company was one of the first European companies to come to Brunei Darussalam and it has been operating here since oil was first discovered in 1929.

Since then, there has always been interaction between Dutch nationals and the people of Brunei and we are therefore no strangers to one another.

We very much appreciate their contribution to our economic development especially in the energy area.

In recent years, our co-operation has gone beyond oil and gas, and has expanded to new fields, including health and culture.

Royal Dutch Shell has also worked together with our Ministry of Health in establishing Brunei’s National Health Promotion Centre in 2008.

Most recently, our officials have discussed ways to enhance our cultural co-operation.

I am pleased that there will be soon some cultural exchanges taking place, including the display of historical exhibits as well as the sharing of expertise.

I believe with this co-operation, and with your historical links with our region, we will be better able to show our shared heritage to the world.

Brunei and the Netherlands are members of many major international organisations and regional groupings including the United Nations and ASEM, and our two countries share a close working relationship in them.

Our participation in these bodies offers us the opportunity to show that we have much to contribute to the complex and diverse world we all share.

Your Majesty,

Your visit will encourage more exchanges and co-operation between Brunei and the Netherlands in various fields, and it marks and important milestones in our bilateral relationship.

I hope this visit will give Your Majesty some insight into our culture, our history and our way of life.

I wish Your Majesty and Their Royal Highnesses a pleasant stay in Brunei Darussalam.

Thank you.

Wabillahit Taufeq Wal-hidayah Wassalamu’ Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh

 

Majlis Bersama Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam yang berada di United Kingdom dan Ireland Utara

TITAH Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Majlis Bersama Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam yang berada di United Kingdom dan Ireland Utara terdiri daripada penuntut-penuntut dan pegawai-pegawai kerajaan yang bertugas, berkursus dan dalam percutian bersama keluarga di London dan pengganugerahan biasiswa ‘The Chancellor’s Scholar’ Universiti Brunei Darussalam sesi 2012/2013 pada 15 Safar 1434/30 Disember 2012.

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil’alameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen Sayyidina Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana mengizinkan kita dapat berkumpul pada hari ini. Beta berharap perhimpunan ini akan dapat merapatkan lagi hubungan silaturahim di antara rakyat dan penduduk Brunei yang berada di United Kingdom dan Ireland Utara, khasnya para pelajar kita.

Para pelajar adalah tunggak kemajuan dan kecemerlangan, berdasarkan, knowledge and innovation-based economy. Ini sejajar dengan wawasan negara, ingin menjadikan rakyat dan penduduknya berilmu, berkemahiran dan bertamadun.

Maka untuk ini, kerajaan beta telah menawarkan skim dermasiswa semenjak lebih dari 50 tahun lagi, iaitu satu dasar pendidikan meritocracy yang telah diasaskan oleh paduka ayahanda beta, Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien.

Sehingga hari ini, penghantaran pelajar-pelajar dermasiswa keluar negeri terus dilakukan, meliputi beberapa biasiswa seperti Sultan’s Scholar, Biasiswa The Supreme Commander Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Biasiswa ABDB, biasiswa kerajaan beta melalui Kementerian Pendidikan, Biasiswa Dana Sumber Manusia, Biasiswa Perkhidmatan Pentadbiran Brunei Darussalam (BAS) dan Biasiswa Brunei Shell Petroleum (BSP).

Beta gembira mengetahui, bahawa kualiti akademik penerima-penerima biasiswa adalah semakin meningkat, dengan para pelajar tersebut mampu untuk mengikuti pengajian mereka di universiti-universiti terkemuka dalam Top 10 World Universities. Pencapaian ini sangatlah membanggakan.

Namun perlu diingat sijil akademik saja bukanlah ukuran mutlak kejayaan seseorang pelajar. Tetapi turut penting ialah impak sumbangannya kepada negara.

Kerana itu beta adalah menyesali apabila mengetahui ada pelajar yang meminta dilepaskan dari ikat janji perkhidmatan dengan kerajaan setelah tamat pengajian, untuk memilih berkhidmat di luar negara. Atau tidak mustahil juga akan ada mereka yang tidak mahu berkhidmat langsung setelah tamat.

Cara berfikir seumpana ini, tidak diragukan lagi, datangnya daripada sahsiah yang mementingkan diri, lemah dan tidak patriotik.

Apakah mereka tidak memahami, sama ada yang menyandang biasiswa ataupun tidak, bahawa mereka itu adalah pelaburan bagi negara? Setiap pelaburan, memerlukan ianya diterjemah menjadi produk atau sumbangan kepada negara. Jadi, kalau mereka sudah lari meninggalkan negara atau tidak mahu berkhidmat, bagaimanakah sumbangan itu akan dapat dijawat oleh negara.

Negara tetap memerlukan sumber tenaga manusia yang berkualiti, di mana sektor pengajian tinggi adalah kilangnya. Kerana itulah, mulai tahun ini, beta telah memperkenankan satu lagi skim biasiswa yang dipanggil : Skim Biasiswa The Chancellor's Scholar. Skim ini bertujuan untuk melahirkan tenaga akademik tempatan yang berkualiti tinggi. Mereka akan ditempatkan di universiti yang terkemuka di dunia.

Pada sesi tahun ini, buat julung-julung kalinya, biasiswa berprestij ini telah dianugerahkan. Beta mengucapkan tahniah kepada tiga orang pelajar yang bernasib baik, yang terpilih di bawah skim ini, untuk melanjutkan pengajian mereka di peringkat PhD.

Namun satu peringatan, segolongan ijazah, walau bagaimanapun tingginya bukanlah bererti kita sudah sampai ke penghujung jalan, atau dalam makna lain, menganggap diri kita sudah tahu segala-segalanya. Orang yang benar-benar berilmu, semakin banyak ilmunya, semakin dia dahagakan ilmu itu, seperti saja dia belum cukup atau belum merasa puas dengan ilmunya setakat itu. Resam beginilah jika ada, adalah resam yang bagus.

Satu lagi peringatan untuk para pelajar khasnya, di samping ligat memperkasa ilmu, identiti juga mestilah dijaga. Identiti itu ialah hiasan, lambang dan tanda pengenalan diri.

Apa dia identiti pelajar-pelajar kita? Identiti mereka dan malah kita semua ialah identiti Brunei sendiri. Identiti Brunei itu ialah agama Islam, adat istiaadatnya dan cara hidup luhur yang berlandaskan agama dan undang- undang.

Ini sayugia jangan diabaikan. Bawa dan pakailah ia, di mana atau ke mana saja berada. Tunjuk dan jangan malu kita ini orang Brunei. Brunei adalah sebuah negara tua yang sudah lama bertamadun dan kini, ia sedang memanjat maju seperti juga orang lain.

Kita julang ia dengan bangga melalui penonjolan identitinya yang hebat, di dalam semua keadaan dan tempat.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu‘alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Titah sempena Menyambut Tahun Barun Masihi 2013

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Menyambut Tahun Barun Masihi 2013.

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, dengan izin-Nya jua, di sepanjang tahun Masihi 2012, kita telah menikmati kurnia berharga berupa ketenteraman dan kemakmuran. Kita berdoa, semoga pada tahun Masihi 2013 juga, kurnia tersebut akan terus berkekalan kita terima.

Dalam keadaan ekonomi dunia yang terus tidak menentu, kita bersyukur negara kita pada tahun 2012 masih saja mampu untuk mencatatkan pertumbuhan ekonomi positif kira-kira 1.6%. Dengan pertumbuhan ini, ditambah lagi dengan pelbagai usaha mengukuhkan kedudukan fiskal, maka insya- Allah, negara kita akan terus berupaya untuk meneruskan program pembangunannya pada tahun 2013 ini.

Di sepanjang tahun 2012 dan sebelumnya, usaha banyak tertumpu kepada mengukuhkan institusi-institusi kita terutama yang berkait langsung dengan penjanaan aktiviti ekonomi.

Sebagai meneruskan usaha ini, kerajaan beta telah menubuhkan sebuah syarikat pemegang pelaburan di bawah Perbadanan Menteri Kewangan (Minister for Finance Corporation) yang dinamakan ‘Darussalam Assets Sdn. Bhd.’. Tujuan syarikat ini ditubuhkan adalah bagi memegang dan menguruskan secara aktif pelaburan kerajaan beta di dalam Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLCs). Syarikat ini dihasratkan akan memainkan peranan strategik dalam aktiviti-aktiviti pelaburan kerajaan beta ke arah pembangunan negara bagi mencapai perkembangan dan kepelbagaian ekonomi, menyediakan peluang-peluang pekerjaan bagi rakyat, di samping meraih pulangan pelaburan dalam jangka masa panjang.

Penyusunan ini akan membolehkan pemilikan dan pengurusan Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan dilaksanakan dengan lebih berkesan berasaskan prinsip komersil dengan amalan Corporate Governance yang kukuh.

Matlamat kita adalah jelas. Kita mahu negara kita sentiasa ‘pro-business’ dan ‘pro-investment’.

Kita telah pun mewujudkan Sistem Perlesenan Perniagaan untuk memulihkan pemberian lesen perniagaan. Kita juga membuat pindaan kepada Akta Cukai Pendapatan (Income Tax Act), yang antara lain menurunkan cukai korporat kepada 20%.

Mulai bulan Januari, 2012, kita telah menguatkuasakan Perintah Paten 2011 (Paten Order 2011) uintuk menjaga hak cipta. Ini adalah penting dalam perusahaan. Dengan adanya undang-undang ini, akan menggalakkan, antara lain, pelburan dalam kegiatan-kegitan kajian dan inovasi.

Kemajuan institusi seterusnya, adalah untuk menjaga keselamatan kedua-dua pihak, penguasa dan pengguna. Kita telah memperkuat lagi undang-undang berkaitan dengan Pembersihan Wang Haram (Money Laundering) dalam bentuk Perintah Mendapatkan Kembali Aset Jenayah 2012 (Criminal Asset Recovery Order 2012).

Begitu juga halnya dengan penguatkuasaan undang-undang Perintah Perlindungan Pengguna (Perdagangan Adil) 2011 (Consumer Protection {Fair Trading} Order 2011). Ianya bertujuan untuk mewujudkan urus niaga yang adil bagi memelihara kepentingan pengguna.

Dengan langkah-langkah yang telah dilaksanakan tersebut, beta berharap sektor swasta mampu berkembang dengan pesat, antara lain, berupaya untuk menjana peluang-peluang pekerjaan bagi anak-anak tempatan.

Sejauh ini, pelaburan dalam sektor minyak dan gas dalam bentuk Pelaburan Asing Langsung (Foreign Direct Investment) adalah sangat menggalakkan. Selain dari industri huluan, industri hiliran juga menempah kemajuan yang menjanjikan. Sebagai tambahan kepada cecair gas asli atau LNG dan pengeluaran methanol, pada masa ini kerajaan sedang mempertimbangkan beberapa peluang industri hiliran minyak dan gas yang lain.

Kemajuan di bidang ini sudah setentunya akan menambah-baik pendapatan negara dan menjana peluang-peluang pekerjaan. Statistik pada masa ini menunjukkan hanya 40% pekerjaan di sektor ini, diisi oleh anak-anak tempatan. Pada hemat beta, peratus tersebut perlulah ditingkatkan lagi.

Ke arah sasaran ini, Jabatan Tenaga, Jabatan Perdana Menteri telah melaksanakan beberapa inisiatif bersama, dengan Syarikat Brunei Shell Petroleum dan juga lain-lain pihak yang berkepentingan.

Dalam hubungan ini, Kementerian Pendidikan juga, wajarlah menilai semula kedudukan pendidikan teknikal dan vokasional bagi memastikan pendidikan di sektor ini boleh menyumbang kepada keperluan industri dan pekerjaan bagi anak-anak tempatan.

Kita telah pun menyediakan biasiswa Pendidikan Teknikal dan Vokasional serta Skim Peningkatan Kapasiti Sumber Manusia untuk mempertingkatkan lagi kemahiran anak-anak tempatan yang sudah dan akan berkhidmat dengan sektor swasta.

Inilah di antara usaha kita untuk mendapatkan sumber tenaga yang berkualiti, khasnya dari kalangan para pelajar.

Namun usaha ini sukar untuk berhasil, jika kita gagal memperlengkapkan anak-anak sekolah dengan kemahiran-kemahairan asas, seperti membaca, menulis dan mengira.

Ini penting, dan sekali gus perlu dijadikan budaya. Kerana bangsa yang maju, mereka itu pasti kuat membaca, banyak menulis serta pandai mengira.

Sebab itulah, keputusan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) baru-baru ini perlu diambil iktibar dan perhatian yang serius untuk memperbaikinya lagi. Carilah punca mengapa sebahagian anak-anak sekolah kita tidak dapat menguasai kemahiran asas ini. Mungkin saja latihan dan pendidikan perguruan perlu dipertingkatkan lagi.

Menyebut lagi tentang kemajuan, beta adalah gembira dengan peningkatan perlaksanaan projek-projek RKN setakat ini. Pada tahun pertama RKN 10 ini, kerajaan beta telah menyediakan peruntukan tambahan bagi membiayai projek-projek yang sedang rancak berjalan, temasuklah penyediaan infrastruktur.

Ini, turut meliputi beberapa keputusan untuk memudahkan perhubungan, antara lain, membina jambatan-jambatan yang akan menghubungkan Bandar Seri Begawan dengan Lumapas dan Daerah Temburong. Bagaimanapun, isu kesesakan jalan raya juga adalah diberikan prioriti untuk ditangani secara komprehensif. Kajian mengenainya bagi penyelesaian jangka panjang adalah perlu.

Di arena antarabangsa, kita tetap menyumbang secara positif ke arah kesejahteraan dan keamanan serantau mahupun global.

Pada tahun 2013 Masihi ini, negara kita telah mengambil alih selaku Pengerusi ASEAN. Begitu juga akan menjadi tuan rumah kepada mesyuarat-mesyuarat, antaranya Mesyuarat Kemuncak ASEAN bagi Ketua-ketua Kerajaan Negara-negara Ahli ASEAN dan Mesyuarat Kemuncak ASEAN bersama Negara-negara Rakan.

Insya-Allah kita akan menggunakan peluang terbaik ini untuk memanfaatkan peranan kita disegi menyumbang terhadap keamanan dan kesejahteraan serantau serta global.

Di samping itu, sebagai tuan rumah, kita juga akan berperluang untuk menunjukkan kepada dunia kebolehan kita mencapai kemajuan, keamanan dan keharmonian bermasyarakat, termasuk menerima para tetamu dengan mesra dan hormat.

Dalam pada itu, sebagi bangsa yagn bermaruah, kita juga tidak ada pilihan lain kecuali dengan tegas memberitahu rakan-rakan dan bahkan dunia, bahawa kita tidak mampu untuk membenarkan sebarang provoksi terhadap hak-hak kita dalam berugama atau bernegara. Maka kerana itulah, kita turut mengutuk dengan kerasnya sebarang perbuatan menghina Ugama Islam atau Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, dalam apa pun bentuknya, seperti melalui penerbitan film Innocence of Muslim dan yang paling terbaru setakat ini, film berjudul: The Innocent Prophet, di mana kedua-duanya itu cukup jelas sebagai provoksi jahat oleh mereka yang tidak bertamadun.

Akhrinya, bersempena dengan tahun baru ini, beta berseru kepada rakyat dan penduduk negara ini agar menguatkan lagi azam dan usaha untuk menjadikan masyarakat kita lebih progesif dan tahan lasak dalam menghadapi cabaran-cabaran abad ke-21 ini.

Beta sukacita juga ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada semua peringkat dalam Perkhidmatan Awam, pasukan-pasukan keselamatan, dan juga kepada mereka yang berkhidmat di sektor swasta, di atas usaha ikhlas mereka melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing pada sepanjang tahun 2012.

Beta dan kelaurga beta juga tidak lupa merakamkan ucapan Selamat Tahun Baru Masihi 2013 kepada seluruh rakyat dan penduduk. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala melimpahkan rahmat-Nya berupa keteguhan iman, kesihatan, keamanan dan kemakmuran kepada kita semua dan kepada negara.

Sekian. Wabillahit Taufeq Wal-hidayah, Wassalaamu ‘Alaikum Warahmatullaahi Wabarakatuh.

   

Page 1 of 18