Majlis Pelancaran Pengagihan Kurma Kurnia Peribadi KDYMM Ramadha 1433
Last Updated on Wednesday, 11 July 2012 07:53 Written by Haji Ariffin Mohd Noor Thursday, 05 July 2012 07:52
Sabda Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah di Majlis Pelancaran Pengagihan Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Bulan Ramadan 1433 Hijrah, bertempat di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam pada hari Selasa, 13 Syaaban 1433 bersamaaan 3 Julai 2012.
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Subhanahu Wata'ala Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Selawat serta salam ke atas Junjungan Besar kita, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, kaum kerabat dan sahabat-sahabat serta pengikut-pegikut Baginda yang taat setia lagi jujur hingga ke akhir zaman.
Allah Subhanahu Wata'ala telah mengurniakan kepada kita limpah rahmat-Nya yang berterusan, di mana pada petang ini kita dapat berkumpul sekali lagi, di Majlis Pelancaran Pengagihan Kurma Kurnia Peribadi Paduka Ayahanda, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena bulan Ramadan 1433 Hijriah.
Berbanyak-banyak syukur kita rafakkan ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana telah mengurniakan kesihatan dan umur yang panjang serta rezeki yang amat luas kepada Paduka Ayahanda.
Dengan nikmat tersebut, maka Paduka Ayahanda dengan sukacita berkenan meneruskan lagi kurnia baginda kepada seluruh lapisan masyarakat Islam di Negara Brunei Darussalam, yang berupa buah kurma untuk juadah berbuka puasa.
Dalam beberapa hari saja lagi, bulan Ramadan, bulan yang mulia yang dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam akan menjelang.
Dalam keghairahan umat Islam menyambutnya, iaitu setelah bermuhasabah diri pada Ramadan tahun lalu, ramai yang berazam untuk cuba memperbaiki kekurangan sebelum ini, dengan mengamalkan konsep 'hari ini lebih baik dari semalam'.
Tetapi jika ditinjau dari sudut kesihatan pula, berapa ramaikah yang menyematkan di hati sebagai azam baru untuk menjaga pemakanan agar nikmat kesihatan tidak terabai apatah lagi kalangan umat Islam yang masih mengamalkan tabiat buruk merokok?
Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Tirmizi dan Ibnu Majah : “Dua nikmat agung yang diabaikan kebanyakan orang ialah kesihatan dan masa lapang.”
Perkara ini jelas dilihat daripada peningkatan masalah kesihatan masyarakat negara kita disebabkan gaya hidup yang tidak sihat dan seimbang.
Sebelum melangkah ke bulan Ramadan, marilah kita mempersiapkan diri kita dari aspek rohani, jasmani dan mental.
Justeru itu, masyarakat Islam perlu lebih mengamalkan cara pemakanan yang sihat dengan mengurangkan makanan dan minuman yang boleh memudaratkan tahap kesihatan.
Bulan Ramadan juga mempunyai suasana yang sangat baik untuk berhenti merokok dan oleh yang demikian, umat Islam yang merokok wajarlah mengambil kesempatan di bulan Ramadan yang mubarak ini untuk meninggalkan tabiat buruk amalan merokok.
Dengan itu, insya-Allah, kita akan dapat menjalani ibadah puasa dengan penuh bertenaga dan memiliki risiko kesihatan yang rendah.
Semoga dengan kekuatan iman dan keyakinan, kita dapat melaksanakan ibadah dengan ikhlas, mampu meraih maghfirah dan ketakwaan serta menjadikan kita Muslim yang lebih baik berbanding dengan sebelumnya.
Saya juga berharap hasrat Paduka Ayahanda akan tercapai, dengan pengagihan dan pembahagian buah-buah kurma kurnia peribadi baginda secara teratur dan sempurna, kepada semua mereka yang layak menerimanya.
Dari itu, perkara ini harus diambil perhatian yang berat oleh pihak-pihak yang berkenaan khususnya bagi mereka yang diamanahkan untuk mengagih-agihkan kepada yang berhak, supaya jangan terdapat aduan yang menyatakan bahawa mereka tidak menerima kurma kurnia peribadi Paduka Ayahanda.
Jika ini berlaku, ertinya kita telah gagal menunaikan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kita dengan sebaik-baiknya.
Maka bertabaruk dengan bulan Ramadan yang akan kita lalui, sama-samalah kita berdoa semoga pengagihan kurnia peribadi Ayahanda ini akan berjalan dengan lancar dan sempurna.
Dalam kesempatan ini saya sukacita mengucapkan terima kasih dan tahniah serta penghargaan kepada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Pegawai-pegawai Daerah, penghulu-penghulu, ketua-ketua kampung, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Radio dan Televisyen Brunei, Jabatan Penerangan, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Jabatan Pelabuhan-Pelabuhan dan agensi-agensi kerajaan yang berkenaan serta kepada semua yang terlibat di atas segala usaha-usaha untuk melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan.
Semoga Allah Subhanahu Wata'ala akan mengurniakan ganjaran yang setimpal.
Akhirnya, marilah kita sama-sama berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala, semoga Paduka Ayahanda akan sentiasa diberikan kesihatan yang berpanjangan dan berada dalam perlindungan dan pemeliharaan-Nya serta mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Amin.
Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


