Majlis Doa Kesyukuran Sempena 30 Tahun Penubuhan Jabatan Perkhidmatan Pengurusam (MSD)
Written by Haji Ariffin Mohd Noor Wednesday, 30 May 2012 03:30
Ucapan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Abdul Wahab bin Juned di Majlis Doa Kesyukuran Sempena 30 Tahun Penubuhan Jabatan Perkhidmatan Pengurusam (MSD) bertempat di Tarindak d'Polo, Jerudong pada hari Sabtu, 19 Rabiulawal 1433 / 11 Februari 2012
Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera
Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan izin dan inayah-Nya kita semua dapat hadir di majlis yang mulia ini iaitu Majlis Doa Kesyukuran Bersempena Dengan Ulang Tahun Penubuhan Jabatan Perkhidmatan Pengurusan (MSD) Yang Ke-30.
Pertama-tama peramba/saya dengan penuh hormat dan takzim sukacita merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Yang Mulia Dayang Hajah Norezan binti Haji Hambali, Pemangku Pengarah Jabatan Perkhidmatan Pengurusan, selaku Pengerusi Majlis dan keseluruhan warga jabatan di atas penghormatan yang diberikan kepada peramba/saya untuk sama-sama hadir di majlis berkebajikan dan signifikan ini.
Usia 30 tahun adalah jangka waktu yang panjang yang memberikan kesinambungan kepada sesebuah organisasi untuk mencapai sasaran-sasaran utamanya. Inilah saatnya untuk mengimbas perjalanan yang telah dilalui mengingati liku-liku cabaran ada di antaranya mungkin pahit dan titik-titik kemajuan manis. MSD pada hari ini mempunyai struktur petugasan yang matang iaitu kelangsungan dari fasa-fasa pertumbuhannya bermula dari sebuah unit kecil sehingga menjadi sebuah jabatan penuh yang menyandang petugasan yang besar, mencabar dan strtegik.
Apa tidaknya visi MSD ialah untuk memimpin Perkhidmatan Awam ke arah kecemerlangan misinya pula ialah untuk memastikan Perkhidmatan Awam dan isi di dalamnya, supaya berterusan efisien, efektif dan berkualiti. Ini adalah sasaran yang tinggi dan mencabar, lebih-lebih lagi pada masa kini ketika mana tuntutan saingan global dan ekspektasi pengguna yang saban hari bertambah sophisticated.
Tidak hairanlah fungsi utama MSD ialah untuk menjadi pakar runding, penasihat dan pemudah cara di dalam Perkhidamatan Awam semata-mata untuk membawa MSD ke persada prestasi yang unggul.
Tidak cukup dengan ini MSD menjalankan keterbukaan atau ketelusan bagi pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di dalam menerima dan mengambil tindakan ke atas aduan dan keresahan orang awam mengenai perkhidmatan jentera kerajaan iaitu Perkhidmatan Awam.
Kesemua petugasan dan tanggungjawab ini adalah amat berat, kompleks dan mencabar.
Ini setentunya memerlukan struktur organisasi yang mapan yang mempunyai tenaga manusia profesional yang arif dan berpengalaman untuk menjadi autoriti, pakar runding, penasihat dan pemudah cara di dalam pengurusan dan pentadbiran awam serta bidang-bidang yang berkaitan.
Struktur organisasi yang dimaksudkan, pada utamanya, untuk membolehkan kelangsungan kemajuan kerjaya ahli-ahli profesional di dalam organisasi ini sendiri di bawah skim-skim perkhidamatan yang mantap dan kompetitif untuk mencapai kadar retention pegawai dan kepakaran yang tinggi.
Inilah satu unsur keperluan yang perlu ada. Oleh kerana keperluan ini asasi sifatnya, ianya adalah satu sudut penilaian pencapaian bagi MSD. Jika ianya belum ada atau belum cukup, kita sewajarnya memberikan perhatian kepada bidang ini. Untuk membangun kumpulan tenaga pakar dan profesional yang cukup, memerlukan tempoh yang panjang. Di dalam hal ini kita tidak boleh lengah untuk tertinggal di belakang. Rancangan kemajuan tenaga manusia perlu ada untuk memenuhi keperluan in-house. Jabatan seperti MSD tidak akan berdaya tahan dan berautoriti jika terlalu banyak bergantung kepada kepakaran dari luar organisasi. Tahap kepakaran dan profesionalisme yang diperlukan, tidak cukup jika ianya hanya di tahap minima bagi kesemua pegawai-pegawai MSD.
Di dalam sejarah kewujudan MSD banyak program-program strategik telah dirancang dan dilaksanakan. Izinkan peramba/saya menyebut beberapa program utama antaranya civil service review, Wawasan Perkhidmatan Awam Abad Ke-21, Tekad Pemedulian Orang Ramai (TPOR) dan pengauditannya, Pensejajaran Perancangan Strategik Perkhidmatan Awam, Penilaian Prestasi Kakitangan, Penyusunan Semua Struktur Organisasi, Anugerah Cemerlang Perkhidmatan Awam, Manual Prosedur Kerja, Program Mesra Pelanggan, Hari Perkhidmatan Awam dan seumpamanya.
Program-program ini mempunyai bidangbidang tumpuan masing-masing untuk mencapai objektif-objektif tertentu melalui strategi dan mekanisme yang bersesuaian, kesemua objektif-objektif menjurus kepada untuk menjadikan Perkhidmatan Awam efisien, efektif dan berkualiti tinggi.
Dengan adanya pelbagai program-program strategik ini yang telah berjalan sekian lama memberikan lagi satu sudut penilaian pencapaian bagi MSD. Sejauh mana perlaksanaan program-program ini mempunyai kelangsungan yang dinilai secara berterusan dalam mana penilaian menjadi asas untuk pembaikan seterusnya? Adakah perlaksanaan program-program ini dibuat dengan payu dan sempurna? Adakah kita cukup konsisten dan dedikasi di dalam perlaksanaan kita?
MSD boleh meluaskan lagi skop penilaian pencapaiannya, antara lain dengan melihat kepada tahap status tekanan dan cabaran yang masih dihadapi di dalam Perkhidmatan Awam.
Perkhidmatan Awam masih menghadapi beberapa tekanan dan cabaran ada yang kronik memerlukan langkah-langkah pembasmian yang lebih terarah dan komited. Isu kedatangan dan produktiviti yang lemah adalah di antaranya, ketidakcekapan di dalam pemberian perkhidmatan kepada orang awam juga isu yang berkaitan.
Tekanan dan cabaran lain termasuk kedudukan saiz Perkhidmatan Awam yang besar dan terus membesar jauh melebihi sektor swasta. Pengauditan tenaga manusia di dalam Perkhidmatan Awam perlu diperkesankan antara lain untuk mengetahui keserasian dari segi bilangan kakitangan, keperluan sebenar, kemahiran, produktiviti, 'Return On Employee Investment-ROEI' dan pembahagian atau pengagihan kakitangan.
Pengauditan ini juga penting untuk mengetahui kedudukan non-performing employees (NPE) atau dikenali dengan, nama timang-timangannya deadwood. NPE atau deadwood mempengaruhi prestasi service delivery. Begitu juga pertambahan bilangan kakitangan yang tinggi, tambahan strata atau lapisan di dalam struktur organisasi dan hubungan inter-agency yang kompleks akan menjadikan proses-proses pentadbiran di dalam membuat tindakan, panjang dan kompleks.
MSD pada masa ini setelah mengharungi pengalaman 30 tahun, selain dari mempunyai struktur petugasan yang matang dan organisasi yang mapan, mempunyai wisdom mengenai hasil mahsul rancangan reformasi di dalam Perkhidmatan Awam. Pengajaran yang diperolehi dari sini, menempatkan MSD untuk boleh menyediakan sistem pengurusan kualiti Perkhidmatan Awam sehingga mendapat pensijilan ISO. Berikutan pengiktifaran ini, MSD membuat penyerapannya kepada beberapa agensi kerajaan.
Landasan kemajuan MSD ini menunjukkan ianya di atas landasan yang betul. Walau bagaimanapun, kita semua termasuk MSD, perlu lebih peka terhadap realiti masa kini di mana tuntutan perkhidmatan dan perubahan di dalam masyarakat kian hari kian mencabar, kompleks dan di luar dugaan.
Pentadbiran awam pada masa kini pesat menjalani perubahan. Perubahan ini pada pokoknya bertujuan untuk menjadikan pentadbiran awam sebagai satu sistem yang dinamik dengan mempunyai kapasiti untuk
menyesuaikan diri selari dengan masyarakat.
Untuk dapat memenuhi peranan ini, pentadbiran awam bertindak sebagai satu disiplin yang mempunyai konsep dan amalan yang melimpasi konsep dan amalan yang kita biasa sebelum ini.
Kita perlu kritis dan menghayati perubahan konsep dan amalan pentadbiran awam. Salah satunya ialah isu perubahan sifat governance itu sendiri. Salah satu unsurnya ialah pemahaman mengenai berkhidmat untuk awam yang jauh berbeza dari pemahaman lama. Perbezaan ini telah menukar konsep peranan kerajaan, peranan pegawai-pegawai kerajaan dan sifat hubungan di antara institusi-institusi awam, pertubuhan-pertubuhan awam dan masyarakat majmuk.
Persekitaran di mana Perkhidmatan Awam berfungsi di abad ke-21 adalah sangat berlainan. Kecepatan penyebaran maklumat dan penglibatan masyarakat di dalam sosial media sahaja sudah cukup untuk mempengaruhi isu-isu awam dan dasar-dasar awam berkaitan.
Dengan kedudukan ini, amalan-amalan perkhidmatan dan pentadbiran awam yang lama ternyata tidak berupaya untuk menangani tuntutan masyarakat di dalam suasana kehidupan yang penuh dengan cabaran-cabaran yang sentiasa meningkat mengenai ekonomi, sosial, pendidikan, keselamatan, kesihatan, bencana alam, kemiskinan, pekerjaan dan seumpamanya.
Adalah terlalu nyata dan menjadi realiti di mana-mana bahawa kerajaan sendiri-sendiri tidak mempunyai kapasiti yang cukup dan berdaya tahan untuk memenuhi keperluan awam. Kerajaan dan pentadbiran awam memerlukan sumbangan pihak-pihak masyarakat ramai untuk menubuhkan kapasiti berkumpulan bagi mencapai objektif-objektif pembangunan yang lebih bernilai termasuk dari segi kos.
Negara-negara yang jauh lebih maju telah lebih awal merebiu semula sifat kepimpinan, kapasiti dan peranan pegawai-pegawai di dalam pentadbiran awam.
Terdapat pendapat bahawa pegawai-pegawai perlu mempuyai ketangkasan atau kelincahan untuk memainkan bermacam peranan sebagai pegawai kerajaan atau public servant, pentadbir awam atau public administrator, pengurus awam atau public sector manager atau sebagai pemimpin awam. Peranan yang berbilang bentuk ini memerlukan kapasiti yang berbeza untuk dimajukan.
Dengan urutan senario yang saya sentuh serba ringkas ini, rumusan untuk MSD adalah jelas.
MSD perlu mempunyai kepakaran in-house yang cukup untuk mendasari petugasan jabatan yang strategik dan kompleks di antaranya untuk pakar runding dan penasihat.
MSD justeru itu perlu merancang kemajuan pegawai secara lebih terarah, lebih-lebih lagi pegawaipegawai muda. Kemajuan ini bukan saja dari segi akademik dan kelulusan profesional tetapi juga dari segi mendapat pengalaman melalui penempatan kerja dan kajian.
MSD perlu mengenal pasti keperluan kepakaran untuk dipenuhi sama ada melalui Latihan Dalam Perkhidmatan atau biasiswa penuntut atau pengambilan pegawai-pegawai dagang atau jaringan kerjasama antarabangsa. Pokok pangkalnya kepakaran ini mesti ada sebagai teras.
MSD perlu lebih fokus dengan keutamaan-keutamaan strategik sejajar dengan visi dan misi dan kapasiti yang ada, mencipta dan memperkenalkan gagasan inovasi dan reformasi adalah satu perkara utama. Apa yang perlu juga bagi MSD ialah untuk mengawasi dan mengaudit pencapaian gagasan berkenaan. Jika tidak perlaksanaan program-program yang baik tidak akan dapat berterusan dan akhirnya akan tanggal nama.
MSD perlu memperkasa peranannya untuk menguatkan kapasiti kepimpinan di dalam Perkhidmatan Awam selaras dengan perubahan konsep dan amalan pentadbiran awam di tengah-tengah persekitaran yang penuh dengan pergolakan dasar awam dan tuntutan masyarakat yang berterusan meningkat.
Semoga pengalaman MSD yang selama 30 tahun ini memberikan sandaran yang mapan untuk merancang kemajuan mendatang.


