Majlis Peraduan Membaca Al-Quran Sekolah-Sekolah Ugama dan Arab Peringkat Akhir Negara Ke-49
Written by Haji Ariffin Mohd Noor Monday, 12 November 2012 07:26
Ucapan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman semasa berucap pada Majlis Peraduan Membaca Al-Quran Sekolah-Sekolah Ugama dan Arab Peringkat Akhir Negara Ke-49 Tahun pada 4 Zulhijjah 1433 Hijriah bersamaan 20 Oktober 2012 Masihi.
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ata kerana dapat berkumpul pada petang ini untuk mengikuti Majlis Peraduan Membaca Al-Quran Sekolah-Sekolah Ugama dan Arab, Jabatan Pengajian lslam, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Dan terima kasih saya kepada pihak penganjur yang telah memberi penghormatan kepada saya untuk menjadi tetamu kehormat di majlis yang mulia ini.
Saya gembira difahamkan bahawa majlis seperti ini telah diadakan sebanyak 49 kali atau ini adalah kali yang ke-49 secara berkesinambungan tidak putus-putus sejak ianya mula diadakan pada tahun 1963. Ini menunjukkan adanya consistency dan sustainability dalam mengendalikan program ini oleh Jabatan Pengajian lslam, maka kerana itu jabatan ini berhak menerima pujian. Saya harap peraduan ini akan berterusan lagi sampai bila-bila, dengan pengendalian yang lebih baik, lebih kemas dan bermutu. Tidak syak lagi peraduan ini telah menjadi wadah para pelajar sekolah agama dan sekolah Arab untuk menguji kebolehan mereka dalam bidang ini. Alhamdulillah, tidak dapat kita nafikan bahawa kita telah melihat hasilnya yang baik di mana kita telah dapat melahirkan ramai qari dan qariah remaja yang berbakat dari semasa ke semasa. Ada di antara mereka itu yang telah mencapai kecemerlangan menjadi qari dan qariah di peringkat daerah, kebangsaan malah antarabangsa.
Sebagai sebuah negara yang muda dan serba kekurangan sumber tenaga manusia yang pakar dalam bidang pembacaan Al-Qur'an, maka pencapaian yang telah kita perolehi itu bukanlah kecil maknanya. Pencapaian itu adalah dari sistem pendidikan agama termasuk Al-Qur'an yang telah berjalan selama ini dan keazaman yang kuat dari para ibu bapa, guru-guru malah dari dorongan kuat pucuk pimpinan negara kita yang ikhlas dan bersemangat tinggi Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Pencapaian yang baik ini perlu dipelihara dan dipertingkat kualitinya, khasnya setelah dilaksanakan nanti Perintah Pendidikan Ugama Wajib, 2012, mulai awal tahun 2013. Generasi yang tertakluk di bawah perintah ini perlu lebih baik dan lebih menyerlah dari generasi sebelumnya. Oleh yang demikian semua pihak perlu bekerja lebih gigih khasnya Jabatan Pengajian Islam, guru-guru agama dan Al-Qur'an, untuk memenuhi harapan tinggi masyarakat dan negara. Ini bukanlah perkara mustahil untuk dijayakan, hanya yang perlu ialah iltizam dan kesungguhan, di samping menyediakan perancangan yang bersistematik, berstrategi dan teratur. Adapun anak-anak yang tidak tertakluk di bawah perintah ini, bukan bermakna mereka dibiarkan jahil tidak berpengetahuan agama dan Al-Qur'an, malahan Kementerian Hal Ehwal Ugama menerusi berbagai agensinya seperti Jabatan Pengajian lslam, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Pusat Da'wah lslamiah dan lain-lain telah pun dan akan terus menyediakan berbagai program tertentu pelajaran agama dan membaca Al-Qur'an yang boleh diikuti oleh individu berbagai peringkat umur, hanya terpulang kepada individu tersebut sama ada berminat atau sebaliknya. Bagaimana pun kita sentiasa menggalakkan dan mengalu-alukan kerana ilmu itu khasnya ilmu agama dan Al-Qur'an adalah merupakan ilmu fardu 'ain yang wajib setiap orang Muslim dan Muslimah memilikinya serta mengamalkannya.
Saya sukacita mengambil kesempatan ini untuk memohon kerjasama dari ibu bapa dan keluarga lslam di negara ini untuk menggalakkan anak-anak belajar agama dan membaca Al-Qur'an. Galakan ini adalah bertepatan dengan hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam iaitu : (Nota: Hadis dalam bahasa Arab).
Ertinya: “Apabila mati seorang anak Adam (manusia) maka akan terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, atau anak soleh yang mendoakannya.”
Ini bermakna jika pelajaran umum itu lebih merupakan pelaburan di dunia, maka pelajaran agama dan Al-Qur'an itu adalah lebih merupakan pelaburan di akhirat. Kedua-dua jenis pelaburan ini memang kita inginkan dan kita membuat pelaburan. Mengenai dengan pelaburan di akhirat itu, apabila kita meninggal dunia, maka orang yang kita harapkan akan dapat membantu kita ialah anak cucu kita yang akan membaca Al-Qur'an, mendoakan dan menghadiahkan pahalanya kepada roh kita di akhirat. Ini hanya akan dapat dicapai dengan kita meninggalkan anak cucu yang soleh.
Anak cucu yang sedemikian ini hanya akan dapat dihasilkan menerusi pendidikan agama yang baik. Oleh kerana itu, sistem pendidikan yang kita wujudkan pada masa ini adalah sistem yang boleh menyelamatkan dan membahagiakan hidup kita di dunia dan di akhirat.
Dalam pada itu, pendidikan agama dan Al-Qur'an itu bukan sahaja akan dapat membantu pelajar itu sendiri dan ibu bapanya, malah juga akan dapat membantu menyelamatkan masyarakat dan negara dalam erti kata akan dapat menghindarkan masyarakat dan negara dari krisis akidah, moral dan akhlak. Mengenai krisis akidah, kita dalam zaman ini menghadapi cabaran besar, di mana berbagai aliran pemikiran dan fahaman yang menyeleweng dan ajaran sesat telah dengan mudah tersibar di sana sini seperti aliran pemikiran dan fahaman yang disebut sebagai pluralisme, liberalisme, ethisme, free thinker dan sebagainya lagi. Siapa yang akan menjadi mangsa ialah anak-anak remaja kita, malah juga orang-orang dewasa yang tidak mantap kefahaman agamanya menurut yang kita pegangi selama ini iaitu kefahaman Ahli Sunnah Waljamaah.
Mengenai krisis moral dan akhlak, saya penuh yakin dan percaya, sekiranya anak-anak kita diberi didikan agama yang baik, insya-Allah anak-anak kita akan jadi insan yang baik. Mereka tidak akan mudah melakukan yang mungkar. Sekiranya pun mereka akan tersesat jalan, mereka akan mudah untuk balik ke pangkal jalan. Ini kerana Allah Subhanahu Wata'ala telah memberi jaminan dalam firman-Nya dalam Surah Al-'Ankabut ayat 45: (Nota: ayat Al-Qur'an).
Ertinya: “Sesungguhnya sembahyang itu akan mencegah seseorang itu dari melakukan perkara keji dan mungkar.”
Maksud sembahyang itu ialah yang disertai dengan kefahaman dan penghayatan yang mantap mengenai sembahyang.
Sehubungan itu, untuk meramalkan masa depan negara dari segi kerohanian dapat dilihat dari perwatakan dan kecenderungan generasi muda kita hari ini berasaskan kepada empat faktor iaitu pertama; apabila ia memiliki pengetahuan agama yang baik, kedua; apabila sembahyangnya baik dan iltizam, ketiga; apabila bacaan Al-Qur'annya baik dan keempat apabila akhlaknya baik. Dengan empat faktor ini insya-Allah masyarakat dan negara kita akan selamat dan menjadi baik, sesuai dengan impian kita untuk menjadi negara zikir dan negara Baldatun Tayyibtun Wa Rabbun Ghafurr.
Pada akhirnya, saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua peserta yang memasuki peringkat akhir ini, lebih-lebih lagi yang berjaya menjadi juara. Saya sukacita menasihatkan supaya anak-anak semua teruslah mempertaiam lagi bakat yang ada, setentunya dengan kerjasama dan sokongan yang berterusan dari ibu bapa. Dalam pada memberi perhatian kepada aspek lagu tarannum, jangan pula mengabaikan aspek yang lebih penting lagi iaitu Tajwid Al-Qur'an. Jika kedua-duanya berpadu iaitu lagu tarannum dan Tajwid, disertai lagi dengan kefahaman makna ayat-ayat Al-Qur'an yang dibaca, maka disitulah letaknya puncak keindahan membaca Al-Qur'an yang tiada tolok bandingnya.


