Speeches 2013
Majlis Pelancaran Festival Belia Brunei Prihatin
Majlis Pelancaran Festival Belia Brunei Prihatin
Ucapan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Abdullah, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan di Majlis Pelancaran Festival Belia Brunei Prihatin bertempat di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas pada hari Jumaat, 18 Rejab 1433 Hijrah / 8 Jun 2012 Masih
Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Selamat Petang
ALHAMDULILLAH kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya jua, kita dapat bersama-sama hadir pada petang ini di Majlis Pelancaran Festival Belia Brunei Prihatin.
Festival ini merupakan satu lagi pendekatan yang sangat signifikan bagi pembangunan insan golongan belia di Negara Brunei Darussalam melalui Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Program ini bertujuan untuk menggerakkan dan melibatkan golongan belia di Negara Brunei Darussalam kepada kerja-kerja sukarela bagi tujuan amal dan kebajikan. Hasilnya nanti akan disalurkan kepada tabung-tabung kebajikan, kemanusiaan dan pembangunan belia melalui Dana Belia Brunei Prihatin.
Pelancaran Festival Belia Brunei Prihatin adalah juga merupakan sebagai kelangsungan daripada kejayaan yang memberangsangkan Program Belia Brunei Prihatin yang diperkenalkan pada tahun lepas pada 29 April 2011 dengan tujuan bagi mengutip Tabung Kemanusiaan Bagi Mangsa Banjir Australia, Gempa Bumi New Zealand dan Gempa Bumi dan Tsunami Jepun. Di kesempatan ini saya ingin menyampaikan ucapan terima kasih serta tahniah kepada semua Ahli Jawatankuasa Festival Belia Brunei Prihatin yang telah bertungkus lumus untuk menjayakan festival ini sebagai satu kenyataan.
Dalam kita berhadapan dengan arus perubahan kehidupan yang sentiasa mencabar yang berpunca daripada tekanan ekonomi, ledakan infotelekomunikasi dan arus globalisasi, kecenderungan masyarakat khususnya golongan belia dan remaja, adalah menjadi generasi consumerism yang mengutamakan dan membuat penilaian melalui aspek kebendaan dan untung rugi. Mereka lupa dan alpa kepada aspek kemanusiaan dalam konteks memberikan pertolongan kepada insan-insan yang memerlu dan mengharapkan bantuan.
Natijahnya, ada sebahagian anggota masyarakat termasuk masyarakat Islam sendiri yang sudah lupa kepada ajaran Islam dan mengenepikan tuntutan ibadah untuk membela dan prihatin kepada insan-insan yang memerlukan bantuan dan pertolongan.
Alhamdulillah, kita di Negara Brunei Darussalam dalam arus mengejar kemajuan dan pembangunan, masyarakat dan generasi muda adalah dipandu oleh konsep negara, Melayu Islam Beraja (MIB) yang menekankan kepada perseimbangan pembangunan material dan kerohanian. Ini termasuk juga keperluan melakukan ibadah dalam kehidupan dengan sentiasa bertimbang rasa dan prihatin sesama insan.
Projek Belia Brunei Prihatin mencerminkan akan kesedaran dan tanggungjawab sosial golongan belia di Negara Brunei Darussalam kepada masyarakat sekeliling mereka dan di luar daripada sempadan negara iaitu negara-negara tetangga dan sahabat. Projek ini sudah barang setentunya merupakan landasan dan komponen yang penting dalam melaksanakan transformasi belia Brunei untuk menjadi belia-belia yang berjiwa besar dan mandiri.
Pelaksanaan Festival Belia Brunei Prihatin sudah barang setentunya memberikan platform dan saluran bagi belia-belia untuk melibatkan diri mereka dalam kerja-kerja amal dan kebajikan. Dalam waktu yang sama akan dapat melahirkan kesedaran minda serta kematangan berfikir dalam diri para belia agar lebih peka dan prihatin akan nasib masyarakat umum dan rakan-rakan belia yang lainnya.
Untuk menjadikan projek ini melangkah lebih jauh ke hadapan ianya memerlukan sokongan dan penglibatan pihak individu belia-belia dan pertubuhan serta persatuan belia di Negara Brunei Darussalam. Begitu juga ianya memerlukan penglibatan dan sokongan daripada agensi-agensi di dalam dan luar kerajaan serta pihak swasta untuk bergabung dan memberikan galakan kepada Projek Belia Brunei Prihatin termasuk kegiatan-kegiatan yang diungkayahkan.
Buat mengakhiri ucapan ini saya sekali lagi mengucapkan terima kasih di atas kesudian Ahli Jawatankuasa Festival Belia Brunei Prihatin menjemput saya selaku tetamu kehormat pada petang ini. Saya juga ingin mengucapkan tahniah dan syabas di atas kejayaan Ahli Jawatankuasa ini menganjurkan dua acara di dalam satu majlis iaitu:-
a) Pelancaran Dana Belia Brunei Prihatin dan
b) Pelancaran Festival Belia Brunei Prihatin
Maka dengan melafazkan kalimah Bismillahir Rahmanir Rahim dan bertawakal kepada Allah SubhanahuWata'ala saya dengan sukacita merasmikan Dana Belia Brunei Prihatin dan Festival Belia Brunei Prihatin 2012.


