Sunday, May 26, 2013
   
TEXT_SIZE

Majlis Malam Sastera Islam

Ucapan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman di Majlis Malam Sastera Islam anjuran Pusat Da'wah Islamiah pada Hari Sabtu, 16 Rabiulawal 1432 Hijriah / 26 Februari 2011 Masihi di Dewan Indera Samudera Hall 3, The Empire Hotel and Country Club, Jerudong

TERLEBIH dahulu saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak penganjur Majlis Malam Sastera Islam iaitu Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama yang telah mengundang saya untuk menjadi tetamu kehormat di majlis ini seterusnya memberikan ucapan.

Ucapan saya ini dimulai dengan satu soalan: Mengapa kita beramai- ramai berkumpul di sini sama ada penulis atau peminat sastera? Adakah kita saja-saja datang macam benda hanyut dibawa arus, tanpa tujuan tanpa haluan. Saya rasa tidak, saya kira mesti ada sesuatu yang mendorong kita menulis atau meminati sastera. Sesuatu itulah yang tidak berjawab. Yang menyebabkan sesetengah orang di luar sempadan sastera itu menyangka kita hanya berkhayal-khayal kosong.

Izinkan saya memberi jawapannya dalam ucapan ini. Kita balik menyusur dari akar kata susastera yang berasal dari bahasa Sanskrit. Su bermakna indah dan sastera bermakna buku-buku atau karangan. Ringkasnya susastera ialah buku-buku atau karangan yang indah. Selagi seseorang itu bernama manusia, saya kira selama itu ia sukakan keindahan. Allah Subhanahu Wata'ala yang mencipta manusia itu sendiri, sukakan keindahan ertinya: "Sesungguhnya Allah itu indah dan Dia mencintai keindahan" dan Allah telah menciptakan makhluk yang bernama insan itu sebagai suatu ciptaan yang terindah dengan melihat dari segala aspek zahir dan batin, sifat-sifat luaran dan dalamannya, berbanding dengan makhluk yang lain. Ini diakui sendiri oleh Yang Maha Pencipta itu dalam firman-Nya:

Ertinya: "Sesungguhnya Kami (Allah) telah menciptakan manusia itu dalam bentuk kejadian yang sebaik-baiknya."

Sehubungan itu, sebenarnya orang-orang yang berada di luar aliran sastera itu seperti ahli sains, ahli fizik, ahli kejuruteraan, ahli binaan, ahli kedoktoran perubatan, ahli undang-undang dan lain-lain sebenarnya memiliki unsur-unsur kesusasteraan dalam diri mereka. Soalnya ialah sama ada mereka itu menyedari atau tidak bahawa unsur kesusasteraan itu ada dalam diri mereka. Oleh kerana itu, tidak menghairankan jika ada di antara mereka itu yang turut menulis puisi, novel, drama dan sebagainya. Ini kenyataan. Sayangnya, setengah mereka itu telah meletakkan suatu dinding di hadapan mereka, bahawa bidang sastera ini bukan ada kaitan dengan mereka. Oleh kerana itu, hanya sedikit golongan yang saya sebutkan di atas memasukinya.

Juga mengapa golongan agama yang berlatarbelakangkan pengajian Arab lebih ramai memasukinya?, ini juga menghairankan. Mungkin tidak berlebihan kalau saya mengatakan bahawa Al-Qur'an itu sendiri mempunyai pengaruh yang kuat dalam menyuburkan kesusasteraan Islam. Al-Qur'an walaupun tidak dapat dikatakan sebagai karya sastera atau buku sastera tetapi mempunyai nilai-nilai sastera yang tinggi, amat halus dan mendalam. Lihat sahaja pada bentuk zahir Al-Qur'an itu, yang mempunyai unsur-unsur rima dan irama pada setengah-setengah perkataan dan ayatnya, tetapi memiliki isi yang mendalam sedalam laut dan setinggi gunung, malah lebih dalam dari laut yang dalam dan lebih tinggi dari gunung yang paling tinggi. Itulah Al-Qur'an mukjizat Allah yang tiada tandingannya.

Di sinilah mungkin pengaruh itu tumbuh dengan suburnya pada kebanyakan penyair pemikir Islam. Sebagai contoh, ini dapat dilihat pada diri Al-Allamah Dr. Muhammad Iqbal, pujangga Islam kelahiran Pakistan yang termasyhur itu. Beliau seorang ahli undang-undang dan ahli pendidikan, ahli politik dan falsafah, tetapi beliau juga seorang ahli sastera. Rahsia beliau menjadi pujangga besar ialah kerana beliau berdampingan dengan Al-Qur'an, membaca dan memahaminya. Mantan Sheikh Al-Azhar, dari Mesir, Profesor Dr. Ahmad Omar Hashim, seorang pakar hadis, juga adalah seorang penyair yang memiliki beberapa antologi puisi. Al-Imam Al-Shafie (Rahimahullah Ta'ala) ulama agung dalam ilmu fiqh Islam adalah juga seorang penyair, Al-Imam Ali bin Abi Talib (Karamallahu Wajhahu), menantu dan sahabat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam juga adalah seorang penyair, Sayidina Hassan bin Thabit sahabat Rasulullah adalah seorang pejuang, pemikir dan penyair yang mempertahankan maruah Rasulullah dan Islam dengan ketajaman mata penanya. Rasulullah menganggap bahawa ketajaman mata penanya dalam menulis syair-syair adalah sama dengan ketajaman pedang seorang pahlawan di medan pertempuran.

Begitulah hebatnya genre syair di zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang dijadikan sebagai salah satu alat dakwah yang paling berkesan pada masa itu. Maka kerana itu, tidak salah jika media yang sama juga dimanfaatkan sebagai salah satu alat dakwah Islamiah di zaman ini. Melihat ke negara kita, kita juga memiliki ramai penyair pemikir sekali gus sasterawan, negarawan, agamawan, sejarawan yang mencurahkan idea-idea mereka dalam puisi sama ada ia dalam bentuk tradisi atau moden. Mereka itu sebilangannya berlatarbelakangkan pendidikan Arab, tapi yang sudah pastinya ke semua mereka berdampingan dengan Al-Qur'an, sekadar menyebut beberapa nama antaranya Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien, Al-Marhum Pengiran Shahbandar Pengiran Muhammad Salleh bin Pengiran Syarmayuda, Yura Halim, Wijaya, Shukri Zain, Yahya M.S., Adi Rumi, Badaruddin H.O. dan lain-lain.

Soalnya ialah penyair-penyair mapan ini telah berumur dan sebahagiannya ada bersama-sama kita pada hari ini. Maka kita bertanya: manatah dia angkatan baru, angkatan muda belia yang boleh mejadi pelapis yang akan meneruskan daya kreatif dan menjadikan puisi itu sebagai media dakwah? Di sinilah saya rasa beberapa institusi keagamaan wajar turut berperanan untuk menjana bagi melahirkan dan menggilap mutiara penyair pemikir itu.

Sehubungan itu saya amat menghargai usaha-usaha Pusat Da'wah Islamiah (PDI) pada mencungkil bakat-bakat baru dalam bidang penulisan sastera Islam. Saya berharap usaha ini akan berjaya insya-Allah dan jika telah dapat dikenal pasti, adalah perlu bakat-bakat baru itu didekati, diasuh lagi, dibimbing dan diberi peluang untuk berkarya. Institusi-institusi lain yang saya kita boleh turut berperanan ialah institusi agama seperti Sekolah Arab, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) yang memiliki matapelajaran sastera Arab, malah memiliki Fakulti Bahasa dan Sastera Arab, tidak ketinggalan juga Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Institut Teknologi Brunei (ITB). Semua institusi tersebut berpotensi menjana bakat sastera Islam lahir ke dunia nyata, sebagaimana dahulunya Sekolah Arab Al-Junied, Singapura dan Kolej Islam Malaya, Malaysia berjaya melahirkan bakat-bakat yang berwibawa dalam bidang ini, mengapa tidak institusi pendidikan kita masa kini? Saya harap ini akan turut diberi perhatian oleh institusi-institusi berkenaan.

Mengapa saya cenderung supaya sastera Islam itu dikembangkan dan disubukan, pertama sekali kerana ia mendekatkan kita dengan Al-Qur'an dan Al-Sunnah, cuba memahaminya sama ada secara terus atau menerusi tafsiran-tafsiran dan terjemahan-terjemahan, kedua ia mendekatkan diri kita dengan roh kesufian dan folosofi Islam serta menghaluskan sahsiah dan jiwa dengan kecintaan ilahiah dan rabbaniah yang luhur dan ketiga ia menyuburkan semangat patriotisme atau semangat cintakan tanah air. Jika ramai orang yang cintakan tanah airnya maka selama itulah negara kita akan selamat, jika negara selamat maka agama juga akan turut selamat, sebaliknya jika negara tidak selamat maka agama juga tidak selamat, kerana siapa yang akan memeduli agama itu kalau negara kucar-kacir, nafsu-nafsi dan tiada orang yang cintakan tanah airnya.

Dalam hal ini, mungkin tidak salah kalau saya mengatakan bahawa sebahagian semangat keislaman dan kenegaraan itu telah ditiupkan oleh para penyair kita yang berjiwa Islam pada hari ini yang dikepalai oleh Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien, maka itulah saya ingin melihat sastera Islam itu berkembang dan bertambah kualitinya dari semasa ke semasa.

Jadi kalau ada orang yang mengatakan bahawa, sastera Islam tidak berperanan dalam pembangunan negara dan perkembangan agama, itu adalah pendapat orang jahil. Kejahilannya kerana ia tidak melihat sastera Islam itu dengan mata batin, apa yang ia nampak hanyalah material, fizikal dan tidak melihat kerohanian dan spiritual. Sedangkan tamadun (civilization) sesuatu masyarakat dan sesuatu bangsa itu adalah terangkat di atas dua nilai ini iaitu material dan sipirtual. Melihat satu nilai sahaja pasti akan pincang. Tentu kita tidak mahu tamadun yang pincang atau tamadun yang kering dan tidak berjiwa. Oleh itu sastera Islam adalah sebahagian dari jiwa tamadun itu.

Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan tahniah yang setinggi-tingginya kepada para penulis yang telah berjaya meriah kejayaan dalam peraduan penulisan sastera Islam yang telah dianjurkan oleh PDI sempena penubuhan pusat ini ianya berumur suku abad atau sempena meraikan Jubli Peraknya.