Friday, April 18, 2014
   
TEXT_SIZE

Majlis Pembukaan Tahun Undang-Undang 2011 (Ucapan Ketua Hakim Negara)

Ucapan Ketua Hakim Negara, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Kifrawi bin Dato Paduka Haji Kifli di Majlis Pembukaan Tahun Undang-Undang 2011 bertempat di Bangunan Mahkamah Tinggi - Mahkamah Besar pada Hari Rabu 4 Rabiulakhir 1432 Hijrah / 9 Mac 2011 Masihi

Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

KINI sudah beberapa bulan kita meninggalkan tahun lalu dan mengalu-alukan Tahun Baru 2011. Dengan izin Allah kita berharap tahun baru ini akan menjadi tahun yang lebih makmur dan menggembirakan seperti juga tahun-tahun sebelumnya.

Seperti lazimnya angka-angka pelbagai jenis kes bagi tahun 2010, bermula dengan Mahkamah-Mahkamah Majistret, dan didahului oleh kes-kes jenayah. Mahkamah di Bandar Seri Begawan mempunyai 3,418 kes dalam tahun 2010 iaitu 725 kes lebih banyak daripada tahun 2009; bagi Daerah Belait angkanya adalah sebanyak 640 kes, iaitu 339 kes lebih banyak daripada tahun sebelumnya; Mahkamah Daerah Tutong mendaftarkan sejumlah 146 kes dalam tahun 2010, iaitu 48 kes lebih banyak daripada dalam tahun 2009; dan Mahkamah Daerah Temburong mempunyai sejumlah 26 kes jenayah yang didaftarkan berbanding dengan 16 kes dalam tahun 2009.

Angka bagi kes-kes sivil yang didaftarkan dalam Mahkamah Majistret adalah: di Bandar Seri Begawan adalah sebanyak 1,641 guaman dalam tahun 2010 berbanding dengan 1,594 kes yang difailkan sebelumnya; Mahkamah Kuala Belait mendaftarkan sejumlah 327 kes dalam tahun 2010, iaitu 56 kes lebih banyak daripada tahun sebelumnya; Mahkamah Daerah Tutong pula mendaftarkan sejumlah 250 kes dalam tahun 2010, iaitu kurang 25 kes daripada dalam tahun 2009 dan di Mahkamah Daerah Temburong mencatatkan tidak ada perkara sivil didaftarkan seperti mana tiga tahun sebelumnya.

Mahkamah Perantaraan mempunyai sebanyak 114 perkara sivil yang didaftarkan dalam tahun 2010, ini adalah 16 kes lebih banyak daripada tahun 2009; dan 17 perkara jenayah telah didaftarkan pada tahun lepas, iaitu tiga kes lebih banyak daripada tahun 2009.

Terdapat lima rayuan sivil daripada Mahkamah-Mahkamah Majistret kepada Mahkamah Tinggi dalam tahun 2010, iaitu kurang satu kes daripada dalam tahun 2009; dan 55 rayuan jenayah telah difailkan dalam tahun 2010, ini adalah 14 kes lebih banyak daripada dalam tahun 2009.

Dalam kes-kes jenayah yang didengar dalam Mahkamah Tinggi, mahkamah berkenaan telah mengendalikan sebanyak 28 kes berbanding dengan 26 kes dalam tahun 2009, dan 195 kes sivil telah difailkan dalam Mahkamah Tinggi dalam tahun 2010 berbanding sebanyak 199 kes pada tahun sebelumnya.

Rayuan-rayuan sivil daripada Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Perantaraan kepada Mahkamah Rayuan dalam tahun 2010 adalah sebanyak 16 kes, iaitu kurang dua kes daripada dalam tahun 2009; dan rayuan jenayah kepada Mahkamah Rayuan dalam tahun 2010 berjumlah 23 kes, iaitu sebelas kes lebih banyak daripada dalam tahun 2009.

Berhubung dengan perkara-perkara Kebankrapan, sebanyak 751 notis telah diterima pada tahun 2010, iaitu sebelas notis lebih banyak daripada tahun 2009; sebanyak 198 perintah penerimaan telah dibuat dalam tahun 2010, iaitu 88 perintah lebih banyak daripada dalam tahun 2009, dan sebanyak 36 perintah penghakiman telah dibuat dalam tahun 2010, iaitu kurang enam perintah penghakiman daripada tahun sebelumnya.

Perbicaraan dalam kamar di hadapan Pendaftar Kanan dan juga Pendaftar berkurang sebanyak 56 kes daripada 334 kes dalam tahun 2009 kepada 278 kes dalam tahun 2010.

Terdapat satu kes yang membawa hukuman mati di hadapan Mahkamah Tinggi yang menunggu perbicaraan yang mana adalah kes pengedaran dadah. Tarikh-tarikh perbicaraan telah pun ditetapkan bagi kes tersebut.

Akhir sekali, jumlah kutipan hasil yang telah dikutip dalam tahun 2010 berjumlah BND6,063,344.31 berbanding dengan BND6,403,634.47 pada tahun 2009.

Pada Pembukaan Tahun Undang-Undang 2010, Yang Berhormat Peguam Negara telah mengumumkan penguatkuasaan Perintah Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pindaan) 2006 pada 1 Mac 2010 yang memperuntukkan bagi penubuhan Mahkamah Juvana di Negara Brunei Darussalam. Saya dengan sukacita mengatakan bahawa Jabatan Kehakiman telah bertindak cepat terhadap penguatkuasaan perundangan tersebut dan pegawai-pegawai kehakiman telah menjalani program penempatan di Mahkamah-Mahkamah Juvana Singapura dan rancangan untuk terus menjalani penempatan dalam bidang kuasa yang bersesuaian untuk memperlengkap diri mereka dengan ilmu pengetahuan dan kepakaran yang diperlukan untuk membicarakan perkara-perkara yang berhubung dengan Mahkamah- Mahkamah Juvana di Negara Brunei Darussalam.

Mahkamah Juvana menyambut ulang tahun pertamanya hari ini. Ia bukan sahaja menangani pesalah-pesalah juvana tetapi juga dengan kanak-kanak yang di luar kawalan ibu bapa dan mereka yang memerlukan penjagaan dan perlindungan.

Sejak 12 bulan yang lalu, sebanyak dua kes tangkapan juvana, satu permohonan bagi perintah penjagaan dan perlindungan, satu permohonan di luar kawalan ibu bapa dan sembilan kes lalu lintas juvana telah didengar dan diputuskan di Mahkamah-Mahkamah Juvana. Daripada sembilan kes lalu lintas juvana, satu kes telah didengar di Mahkamah Juvana Kuala Belait. Untuk memastikan akses ke Mahkamah-Mahkamah Juvana seluruh negara, seorang Majistret Mahkamah Juvana kini terdapat di ke semua empat daerah iaitu Bandar Seri Begawan, Tutong, Belait dan Temburong, untuk membicarakan kes-kes yang dihadapkan.

Mahkamah Juvana tidak berfungsi secara berasingan. Ia dibantu oleh Panel Penasihat dalam memutuskan cara terbaik bagaimana untuk menangani pesalah juvana dan bekerjasama dengan pelbagai unit di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dalam usaha untuk memulih dan mengintegrasikan semula pesalah juvana ke dalam masyarakat. Berbeza dengan mahkamah-mahkamah jenayah dewasa, Mahkamah Juvana dibantu dalam membuat keputusan oleh Panel Penasihat. Mahkamah Juvana yang lengkap terdiri daripada majistret yang membicarakan dan dua penasihat dari Panel Penasihat. Penasihat-penasihat ini terdiri daripada sukarelawan-sukarelawan, yang di antaranya terdiri daripada para pesara dan datang daripada pelbagai profesion termasuk pendidik, psikologis, pegawai-pegawai agama dan pegawai-pegawai kebajikan sosial. Mereka membawa satu perspektif yang segar kepada pihak mahkamah daripada bidang kepakaran mereka masing-masing dan juga daripada pengalaman kerja mereka. Dengan hubungan kemasyarakatan mereka yang kukuh, mereka berupaya untuk menawarkan bantuan yang praktikal dan berguna serta saranan pelan tindakan jangka panjang untuk dibuat berdasarkan kepada setiap pesalah juvana. Saya ingin mengambil kesempatan ni untuk mengucapkan penghargaan saya kepada pihak-pihak yang disebutkan bagi kerjasama dan usaha mereka dalam sama-sama mewujudkan satu rangka kerja bagi proses keadilan juvana. Saya juga berpendapat adalah penting untuk menekankan keperluan bagi pengambilan dan pelantikan lebih ramai lagi ahli Panel Penasihat dengan ganjaran yang perlu dipertimbangkan bagi perkhidmatan mereka untuk mengelakkan penundaan yang tidak patut dilakukan berikutan ketiadaan mereka kerana pada masa ini, terdapat empat orang ahli Panel Penasihat.

Mahkamah Juvana mengambil kedudukan penting dalam proses keadilan juvana dan melaksanakan perundangan yang menyediakan pelantar bagi tindakan-tindakan inovatif yang kini tersedia untuk menangani kesalahan dan delinkuens juvana. Bab 51 dari Perintah Kanak-Kanak dan Orang Muda 2006 memperuntukkan bahawa:

(1) "Tertakluk kepada bab ini, jika suatu Mahkamah Juvana berpuas hati bahawa suatu kesalahan telah dibuktikan atau jika kanak-kanak atau orang muda (disebut dalam bab ini sebagai pesalah) mengakui fakta-fakta yang menjadikan kesalahan itu maka mahkamah hendaklah, selain dari apa-apa kuasa lain yang boleh dijalankan menurut kuasa perintah ini atau mana-mana undang-undang bertulis lain, mempunyai kuasa -

(a) Untuk membebaskan pesalah;

(b) Untuk membebaskan pesalah selepas dia menandatangani suatu bon untuk berkelakuan baik dan untuk mematuhi perintah sebagaimana yang mungkin dikenakan;

(c) Untuk menyerahkan pesalah ke dalam jagaan saudara-mara atau orang lain yang layak bagi suatu tempoh yang akan ditentukan oleh Mahkamah;

(d) Untuk memerintahkan penjaganya melaksanakan bon untuk memelihara dan menjaga dengan sempurna dan untuk mematuhi perintah sebagaimana yang mungkin dibuat oleh mahkamah berkenaan dengan kebajikan, sara hidup dan pemulihan pesalah itu;

(e) Tertakluk kepada mana-mana undang-undang bertulis lain untuk membuat suatu perintah pemulihan akhlak yang menghendaki pesalah itu di bawah penyeliaan seseorang pegawai pemulihan akhlak atau seorang pegawai pemulihan akhlak sukarela bagi suatu tempoh yang tidak kurang dari enam bulan dan tidak lebih dari tiga tahun;

(f) Tertakluk kepada mana-mana undang- undang bertulis lain, untuk membuat suatu perintah, menurut kehendak-kehendak yang ditetapkan, yang menghendaki pesalah itu menjalankan khidmat masyarakat, tidak melebihi dari 240 jam secara terkumpul, dari ciri dan pada masa dan tempat dan tertakluk kepada syarat-syarat sebagaimana yang mungkin ditentukan oleh mahkamah.

(g) Untuk memerintahkan pesalah supaya ditahan di suatu tempat tahanan bagi suatu tempoh yang tidak melebihi dari enam bulan;

(h) Untuk memerintahkan pesalah supaya ditahan di suatu tempat tahanan atau institusi yang diluluskan selama beberapa minggu, tidak melebihi dari 52, sebagaimana yang difikirkan patut oleh mahkamah;

(i) Untuk memerintahkan pesalah supaya dihantar ke sekolah yang diluluskan bagi suatu tempoh yang tidak kurang dari dua tahun dan tidak lebih dari tiga tahun;

(j) Untuk memerintahkan pesalah membayar denda, kerugian atau kos;

(k) Untuk memerintahkan pesalah supaya dibawa ke hadapan Mahkamah Perantaraan untuk dibicarakan di bawah Bab 14A dari Kanun Peraturan Jenayah (Penggal 7) jika pesalah -

(i) Mencapai umur 18 tahun; atau

(ii) Mencapai umur 14 tahun tetapi berumur di bawah 18 tahun, telah sebelumnya dibicarakan oleh suatu mahkamah berhubung dengan kesalahan yang lain dan telah berkaitan dengan kesalahan yang lain itu diperintahkan di bawah perenggan (i) supaya dihantar ke sekolah yang diluluskan,

Dan Mahkamah Juvana berpuas hati bahawa adalah wajar dengan mengambil kira pemulihannya bahawa dia patut menjalani suatu tempoh latihan di suatu pusat latihan pemulihan.

(2) Bagi maksud-maksud ceraian (1), Mahkamah Juvana mempunyai kuasa -

(a) Untuk membuat suatu perintah yang disebutkan dalam perenggan (b), (c), (d), (e), (f), (g), (h), (i) atau (j) ceraian (1), sama ada secara satu persatu atau bergabung dengan cara sebagaimana yang difikirkan adil dan wajar oleh mahkamah dalam hal keadaan … "

Bab 58 dari perintah yang sama memperuntukkan bahawa,

(1) "Jika penjaga seorang kanak-kanak atau orang muda membuktikan kepada Mahkamah Juvana bahawa dia tidak dapat mengawal kanak-kanak atau orang muda itu, maka mahkamah, jika berpuas hati -

(a) Bahawa adalah wajar untuk menangani kanak-kanak atau orang muda itu; dan

(b) Bahawa penjaga itu memahami akibat berikutan dari dan mempersetujui, pembuatan perintah itu boleh memerintahkannya -

(i) Supaya ditempatkan di bawah penyeliaan seseorang pegawai pembangunan masyarakat atau orang lain yang dilantik bagi maksud itu oleh mahkamah, bagi suatu tempoh yang tidak melebihi dari tiga tahun; atau

(j) Supaya dihantar ke rumah yang diluluskan bagi suatu tempoh yang tidak kurang dari dua tahun dan tidak lebih tiga tahun."

Dengan itu adalah penting bahawa perundangan dikaji semula dari semasa ke semasa seperti yang dilakukan oleh rakan-rakan kami di Singapura dan Malaysia untuk memastikan bahawa perundangan akan terus kekal terkini, relevan dan praktikal sesuai dengan perubahan trend dalam masyarakat kita yang tidak diragukan lagi membentuk anak-anak kita.

Saya juga ingin mengambil peluang ini untuk menyatakan penghargaan saya ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kerana telah mengurniakan titah perkenan bagi pegawai-pegawai kehakiman untuk menghadiri mesyuarat / seminar dan lawatan ke mahkamah-mahkamah di luar negara bukan sahaja bagi tujuan rangkaian kerja tetapi juga mempelajari dari pengalaman negara-negara lain. Jabatan Kehakiman juga menghargai kemudahan-kemudahan yang telah diberikan untuk membantu kami menjalankan tugas-tugas kami. Seperti yang telah saya katakan sebelumnya, pegawai-pegawai kehakiman kami perlu diberikan latihan-latihan yang sesuai dan keperluan yang betul untuk melaksanakan tugas mereka dengan berkesan.

Sebagai balasan pegawai-pegawai kehakiman akan berusaha dengan gigih untuk terus memperbaiki dan meningkatkan diri kami sendiri agar kami akan dapat memberikan Perkhidmatan yang baik kepada masyarakat kami.

Saya perhatikan bahawa persatuan undang-undang sejak penubuhannya telah bergerak aktif dalam menganjurkan jamuan makan malam, sukan, permainan dan seminar undang-undang bagi ahli-ahlinya. Tahun lepas untuk pertama kalinya, Persatuan Undang-Undang telah mengendalikan beberapa Klinik Bantuan Guaman bagi orang awam yang tidak berkemampuan untuk membayar peguam. Saya memuji insiatif dan usaha gigih Persatuan Undang-Undang untuk membantu mereka yang miskin dengan memberikan mereka khidmat nasihat undang-undang percuma. Ini adalah suatu pencapaian dalam sejarah perundangan bagi Negara Brunei Darussalam. Saya berharap Klinik Bantuan Guaman akan meneruskan kerja-kerja mulia tersebut. Selain hanya mengadakan klinik tersebut di bangunan mahkamah baru di Bandar Seri Begawan, Klinik Bantuan Guaman hendaklah sekali-sekala berpindah ke Tutong, Kuala Belait dan Temburong. Saya telah dimaklumkan bahawa Persatuan Undang-Undang telah menganjurkan satu seminar mengenai Etika Undang-Undang pada tahun lepas bagi ahli-ahlinya.

Persatuan Undang-Undang hendaklah meneruskan aktivitinya yang berguna bagi manfaat ahli-ahlinya. Ini adalah sejajar dengan tujuan penubuhan Persatuan Undang-Undang yang termaktub dalam Bab 4 dari Perintah Profesion Guaman (Persatuan Undang-Undang Negara Brunei Darussalam), yang antara lainnya memperuntukkan bahawa

(1) Maksud-maksud persatuan hendaklah

(a) Untuk memelihara dan meningkatkan standard perilaku dan pengajian profesion guaman di Negara Brunei Darussalam;

(b) Untuk memudahkan golongan profesion guaman dan lain-lain mendapat pengetahuan di sisi undang-undang;

(c) -

(d) Untuk mewakili, melindungi dan membantu golongan profesion guaman di Negara Brunei Darussalam dan untuk menggalakkan kepentingan profesion guaman di Negara Brunei Darussalam dengan apa-apa cara sebagaimana yang difikirkan patut oleh persatuan;

(e) -

(f) Untuk melindungi dan membantu orang ramai di Negara Brunei Darussalam dalam segala perkara yang menyentuh atau bersampingan dengan undang-undang;

(g) Untuk membuat peruntukan bagi atau membantu dalam penggalakan suatu skim di mana orang miskin diwakili oleh peguambela dan peguamcara atas pertuduhan yang tidak membawa hukuman mati;

(h) -

(i) Untuk memberi bantuan dalam bentuk wang atau bantuan lain kepada mana-mana persatuan, institusi, lembaga atau pertubuhan di Negara Brunei Darussalam dalam kepentingan profesion undang-undang atau penuntut-penuntut bagi profesion itu;

(j) -

(k) Untuk menggalakkan hubungan yang baik dan interaksi sosial di kalangan ahli-ahli dan di antara ahli-ahli dan orang lain yang berkenaan dalam pentadbiran undang-undang dan kehakiman di Negara Brunei Darussalam; dan

(l) Untuk menubuhkan dan memelihara hubungan baik dengan badan-badan profesional bagi profesion guaman di negara-negara lain dan untuk ikut serta dalam aktiviti-aktiviti mana-mana pertubuhan antarabangsa dan menjadi ahlinya.

Saya berterima kasih kepada Ketua Pendaftar dan pegawai serta kakitangan Jabatan Kehakiman terhadap persediaan yang telah mereka buat bagi majlis ini.

Ucapan terima kasih juga saya tujukan kepada Pesuruhjaya Polis dan Pasukan Polis Diraja Brunei terhadap kawalan kehormat yang telah diberikan yang mana saya telah diberikan penghormatan untuk memeriksanya pada pagi ini.

Tidak lupakan juga kepada Jabatan Penjara terhadap bantuan mereka dalam menempatkan banduan-banduan yang menunggu rayuan dan perbicaraan dalam keadaan selamat.

Dan akhirnya bagi pihak Jabatan Kehakiman saya juga menyampaikan penghargaan saya kepada anda semua yang telah meluangkan masa untuk menghadiri majlis tahunan ini. Saya rasa ia menandakan bahawa masih tetap ada minat yang mendalam dalam sistem kehakiman kita yang saya percaya telah memberikan perkhidmatan di Negara Brunei Darussalam dengan baik dan akan terus berbuat demikian pada masa akan datang.