Thursday, May 23, 2013
   
TEXT_SIZE

Majlis Perkhemahan Pengakap Kebangsaan Ke-21

Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong semasa berucap di Majlis Perkhemahan Pengakap Kebangsaan Ke-21, di Pusat Latihan dan Kegiatan Pengakap - Kompleks Pengakap, Gadong pada hari Rabu, 6 Rejab 1432 Hijrah / 8 Jun 2011 Masihi.

Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera

Terlebih dahulu saya dengan ikhlas ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Yang Mulia, Yang Di-Pertua Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam dan Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Perkhemahan Pengakap Kebangsaan kali Ke-21 kerana telah dapat mengungkayahkan perkhemahan ini.

Saya juga ingin mengucapkan selamat datang kepada peserta-peserta Pengakap dari negara jiran, iaitu dari Kuala Lumpur, Semenanjng Malaysia, Sabah dan Sarawak. Penyertaan pengakap-pengakap dari luar negara ini, akan menjadikan perkhemahan ini lebih meriah dan sekali gus dapat memberikan peluang untuk para pengakap merapatkan lagi hubungan silaturahim, mengeratkan hubungan yang telah terjalin dan menjalin hubungan baharu. Kita berharap agar pesertapeserta dari luar negara akan dapat membawa pulang pengalaman dan kenangan manis dari penyertaan ini.

Seperti mana yang kita maklum bahawa Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam amat menggalakkan penubuhan pasukan-pasukan beruniform di sekolah-sekolah, sama ada di peringkat sekolah rendah mahupun di peringkat sekolah menengah. Ianya adalah selaras dengan usaha sikap berdisiplin, bertanggungjawab, membina jati diri yang kental, daya kepimpinan dan semangat berpasukan yang tinggi berlandaskan konsep Melayu Islam Beraja di kalangan pelajar-pelajar.

Keberkesanan perkhemahan seumpama ini tidak diragukan lagi. Ia merupakan salah satu platform ke arah usaha memupuk disiplin dan jati diri yang tinggi. Di samping itu ianya juga akan dapat mewujudkan sikap bekerjasama dan faham-memahami di kalangan peserta-peserta.

Sehubungan ini, sekolah-sekolah digalakkan untuk meneroka pelbagai inisiatif supaya pasukan pengakap dan pasukan beruniform dapat memainkan peranannya di sekolah dan tidak terhad di upacara-upacara kebangsaan sahaja.

Kehidupan di abad ke-21 semakin mencabar. Dalam menghadapai cabaran- cabaran ini, para pelajar bukan sahaja perlu dilengkapi dengan ilmu pengetahuan tetapi juga kemahiran-kemahiran, khasnya kemahiran abad 21. Adalah penting bagi belia-belia untuk mempunyai kemahiran yang tinggi dalam berfikir, menyelesaikan masalah, membuat kepututsan yang bijak, berkomunikasi dengan berkesan dan boleh bekerja dalam satu kumpulan (team). Kemahiran- kemahiran ini perlu ditanamkan dalam diri mereka, untuk menjadikan mereka pelajar dan belia yang dapat menyumbang kepada negara.

Selaras dengan Sistem Pendidikan Negara Abad Ke-21 yang mengarah kepada pendidikan yang holistik, kegiatan seperti perkhemahan ini sudah setentunya memberikan nilai tambah kepada proses pengajaran dan pembelajaran. Ianya memberikan peluang kepada pelajar-pelajar untuk berinteraksi, bertukartukar fikiran, pandangan dan pengalaman, di samping membina jati diri para pelajar.

Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pendidikan Ko-Kurikulum akan terus berusaha untuk menggalakkan pelajar- pelajar menganggotai manamana jua pasukan beruniform di sekolah-sekolah. Mengikut statistik terkini seramai 1,515 pelajar atau 22.58 peratus daripada 6,708 pelajar yang menyertai pasukan- pasukan beruniform adalah terdiri daripada pelajar-pelajar yang berdaftar dan aktif dalam pasukan pengakap. Insya-Allah dengan adanya usaha berterusan seperti melalui insentif pemberian bantuan subsidi pakaian seragam dan kegiatan-kegiatan yang lebih menarik, kita harap akan dapat menarik lebih ramai lagi pelajarpelajar menyertai pasukan pengakap dan dapat membantu ke arah usaha untuk mencapai Pelan Strategik Pertubuhan Pengakap - iaitu untuk mencapai keanggotaan seramai 5,000 menjelang tahun 2013.

Tema Perkhemahan Pengakap, 'Berpengakap Mendukung Aspirasi Negara' adalah bertepatan dan bersesuaian dengan perkembangan negara pada masa ini. Kita mengharapkan pelajar-pelajar masa kini akan menjadi pewaris negara yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi dan juga mempunyai akhlak yang mulia, taat beragama dan setia.

Ke arah mencapai hasrat dan aspirasi tersebut, pembinaan karakter (character building) perlulah diberikan perhatian utama dalam merangka kegiatan berpengakap. Perkara ini sudah setentunya bukanlah satu perkara yang mudah tetapi tidak mustahil dapat dibuat. Sokongan padu semua stakeholders termasuk sokongan pihak swasta, kedua-dua ibu bapa, pengetua/guru besar dan lain-lain agensi kerajaan adalah pemangkin keberkesanan program- program yang akan dilaksanakan.

Akhirnya, saya sekali lagi mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Yang Di-Pertua Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam dan ahli-ahli jawatankuasa pekhemahan di atas kesudian menjemput saya sebagai tetamu kehormat di Perasmian Perkhemahan Pengakap ini. Kita sama-sama berdoa agar segala matlamat dan tujuan yang murni dalam menjayakan perkhemahan akan tercapai.