Speeches
Speeches 2011
Majlis Penutup Program 'Cabaran Belia 2011'
Speeches 2011
Majlis Penutup Program 'Cabaran Belia 2011'
Majlis Penutup Program 'Cabaran Belia 2011'
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya
Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Abdullah
semasa berucap di Majlis Penutup Program 'Cabaran Belia 2011' pada hari
Khamis 14 Rejab 1432 bersamaan 16 Jun 2011 bertempat di Kawasan Water
Front, Bandar Seri Begawan.
Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, yang mana dengan taufik dan izin-Nya jua maka kita dapat berhimpun di Majlis Penutup Program Cabaran Belia 2011 pada pagi ini. Terlebih dahulu saya sukacita merakamkan penghargaan dan tahniah kepada Jabatan Belia dan Sukan, dengan kerjasama Persatuan C.A.R.E dan Persatuan BARA yang telah berjaya bagi julungjulung kalinya manganjurkan program yang mencabar ini.
Di kesempatan ini jua, saya merakamkan setinggi tahniah dan syabas kepada semua peserta Program 'Cabaran Belia 2011' yang telah berjaya menamatkan Program 'Cabaran Belia 2011'. Peserta-peserta adalah merupakan role model kepada golongan belia di Negara Brunei Darussalam untuk menanamkan semangat waja, setia kawan yang jitu dan sanggup menerima cabaran untuk berkorban bagi pembangunan bangsa dan negara.
Program 'Cabaran Belia 2011' yang melibatkan belia-belia secara berpasukan melakukan kegiatan berkayuh, berbasikal, berlari dan berjalan kaki jarak jauh meliputi keempat-empat daerah selama lima hari bertujuan untuk menguji semangat kental, kecekalan, keyakinan diri, survival diri, keberanian dan semangat berpasukan di kalangan belia-belia dalam menghadapi dugaan dan cabaran.
Program Cabaran Belia ini juga bertujuan ke arah menggerakkan belia-belia zaman cyber dan ICT di Negara Brunei Darussalam, yang mana masa mereka banyak dihabiskan berhadapan dengan komputer dan peti televisyen, untuk membuat penggambaran dengan menggunakan kudrat dan tulang empat kerat mereka bagi melihat dan memerhatikan keadaan sekeliling di Negara Brunei Darussalam.
Ini kerana kita tidak mahu belia-belia masa kini menjadi lembik atau diistilahkan sebagai Strawberry Society yang mana mereka mudah mengaku kalah apabila berhadapan dengan cabaran dan kesukaran fizikal. Begitu juga, kita tidak mahu melihat belia-belia kita hanya melihat persekitaran mereka melalui saluran dan kaca mata maya atau internet di rumah. Akan tetapi mereka sendiri yang turun padang untuk melihat dan merasakan keadaan persekitaran yang nyata.
Melalui Program Cabaran Belia ini kita mahu mengujudkan belia-belia yang robust atau serba boleh, tahan lasak, tidak mudah berputus asa dan mempunyai naluri survival yang tinggi baik secara individu mahupun berkumpulan. Yang utamanya ialah, program ini akan mengasuh dan melahirkan belia-belia yang akan menjadi pemimpin masa depan yang berjiwa besar dan dapat mengangkat kegemilangan dan kecemerlangan bangsa dan negara.
Dalam konteks pembangunan dan kemerdekaan bangsa dan negara masa kini, Program Cabaran Belia 2011 diharapkan dapat memberikan kesedaran dan keinsafan ke dalam diri belia-belia bahawa kemerdekaan, pembangunan dan kemajuan yang mereka nikmati dewasa ini bukannya terjadi atau tercapai dengan sendiri.
Pembangunan, kemajuan, keamanan dan kestabilan negara yang dinikmati adalah hasil daripada pengorbanan, komitmen dan jerih payah pemimpin-pemimpin dan belia-belia generasi yang terdahulu untuk membangunkan bangsa dan negara.
Dengan keadaan yang serba kekurangan dari segi kemudahan perhubungan dan infrastruktur mereka hanya berbekalkan kejujuran, keikhlasan dan semangat cintakan raja, negara dan agama dalam mengharungi segala kepayahan untuk memberikan perkhidmatan kepada rakyat dan penduduk di segenap pelusuk dan tempat di seluruh negara.
Mereka berjalan kaki meredah hutan dan bukit, berkayuh dengan perahu melalui sungai-sungai, berbasikal melalui jalan yang berlumpur, bermalam di tepi pantai dan tinggal di kawasan-kawasan pedalaman tanpa sebarang keluhan dan sesalan untuk sampai ke Temburong, Tutong, Belait dan kawasan- kawasan di Brunei Muara dengan berbekalkan niat yang satu untuk membangun bangsa dan negara.
Melalui Program Cabaran Belia diharap ianya akan memberikan kesedaran dan iktibar kepada generasi muda untuk mencontohi pengorbanan dan komitmen generasi sebelumnya dalam menyumbang bakti kepada bangsa dan negara. Terutama sekali dalam zaman yang dipenuhi dengan pelbagai kemudahan prasarana, teknologi perhubungan dan kecanggihan peralatan, perkhidmatan yang diberikan oleh generasi masa kini seharusnya adalah lebih berkesan, efisien dan dilaksanakan tanpa sebarang kelalaian dan keluhan.
Saya berharap para peserta yang telah mengikuti program ini akan dapat menghimbau serta merasakan betapa orang-orang generasi sebelumnya termasuk orang-orang tua kitani telah bersusah payah, bertungkus lumus dan bekerja keras serta berusaha dengan gigih untuk membangun dan memajukan negara dan dalam mencapai sesuatu perkara.
Nilai-nilai positif yang terdapat di sepanjang lima hari program ini dijalankan adalah di antara elemen yang perlu kita tanamkan kepada belia remaja hari ini sebagai persediaan untuk menghadapi cabaran-cabaran era globalisasi. Dalam mana generasi sekarang hendaknyalah menghargai kemerdekaan bangsa, pembangunan dan kemajuan yang dinikmati serta memelihara dan mengekalkan keamanan, keselamatan dan keharmonian dalam kehidupan bernegara dan berbangsa dengan berpegang teguh kepada konsep Melayu Islam Beraja.
Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya penuh berharap, Program Cabaran Belia seperti ini akan dapat diteruskan dengan mempertingkatkan lagi variasi acara ataupun aktiviti di dalamnya untuk menarik lebih ramai lagi penyertaan belia-belia.
Saya juga sukacita merakamkan penghargaan terima kasih dan amat menghargai penglibatan badan-badan bukan kerajaan (NGO’s) dalam menjayakan Program Cabaran Belia 2011. Penyertakan NGOS amat dialu-alukan dalam sama-sama berganding bahu dan menggembleng tenaga dalam program pembangunan belia di Negara Brunei Darussalam.
Kepada Jawatankuasa Program Cabaran Belia 2011 dan kepada pihak-pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini, semogalah segala sumbangan, penglibatan serta komitmen yang diberikan akan mendapat berkat dan keredaan daripada Allah Subhanahu Wata’ala jua.


