Speeches
Speeches 2011
Majlis Perasmian Seminar dan Bengkel Advokasi dan Pembentukan Strategi Sambutan Hari Wanita Asean
Speeches 2011
Majlis Perasmian Seminar dan Bengkel Advokasi dan Pembentukan Strategi Sambutan Hari Wanita Asean
Majlis Perasmian Seminar dan Bengkel Advokasi dan Pembentukan Strategi Sambutan Hari Wanita Asean
Ucapan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri
Setia Awang Haji Hazair bin Abdullah, Menteri Kebudayaan, Belia dan
Sukan di Majlis Perasmian Seminar dan Bengkel Advokasi dan Pembentukan
Strategi Sambutan Hari Wanita Asean Tahun 2011 di Ceaser Grand Hall,
Orchid Garden Hotel, Anggerek Desa, Berakas pada hari Selasa, 3 Syaaban
1432 Hijriah bersamaan 5 Julai 2011 Masihi
Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan selamat sejahtera
Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya jua kita dapat berkumpul di majlis yang berkebajikan iaitu Majlis Perasmian Seminar dan Bengkel Kemahiran Advokasi dan Pembentukan Strategi sempena Sambutan Hari Wanita ASEAN bagi tahun 2011.
Terlebih dahulu sukacita saya mengucapkan berbanyak- banyak terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Majlis Wanita Brunei Darussalam kerana menjemput saya hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan seminar dan bengkel. Dalam kesempatan ini juga saya sukacita mengucapkan tahniah kepada Majlis Wanita kerana berjaya menganjurkan seminar seperti ini yang amat bermanfaat untuk kesejahteraan dan kemajuan kaum wanita di negara ini.
Saya telah difahamkan bahawa seminar ini antara lain bertujuan untuk membentuk mekanisme dan strategi advokasi untuk masyarakat sivil, terutamanya perkumpulan-perkumpulan wanita bagi meneruskan penglibatan mereka dengan badan-badan ASEAN dengan mengutamakan isu hak-hak asasi dan keprihatinan wanita.
Isu mengenai hal dan kepentingan wanita seluruh dunia kini semakin diberi perhatian disebabkan situasi mereka yang semakin terdedah (vulnerable) akibat perubahan yang dialami oleh dunia dalam beberapa dekad kebelakangan ini.
Mengikut laporan daripada UN Women, 70 peratus daripada golongan miskin di dunia ini adalah terdiri daripada wanita. Laporan daripada UNICEF juga menunjukkan bahawa :
• 2/3 daripada mereka yang dijangkiti penyakit HIV dan AIDS adalah wanita,
• 2/3 daripada 110 juta kanak-kanak yang tidak bersekolah adalah kanakkanak perempuan,
• 2/3 daripada 875 juta yang buta huruf adalah golongan wanita. Selain daripada itu, statistik juga menunjukkan bahawa :
• Setiap seorang daripada 3 orang wanita merupakan mangsa kepada pelbagai-bagai bentuk keganasan.
• Kira-kira 500 ribu orang wanita yang berumur di bawah 18 tahun pada setiap tahun menjadi mangsa penyeludupan dan perdagangan manusia.
• Kira-kira 1,400 orang wanita meninggal dunia pada setiap hari akibat komplikasi kesihatan yang berkaitan dengan kehamilan.
• Lebih dari 80 peratus daripada 35 juta orang pelarian (refugees) adalah terdiri daripada golongan wanita dan kanak-kanak.
Menyedari akan stituasi ini, pelbagai-bagai langkah telah diambil oleh pertubuhan- pertubuhan serantau dan antarabangsa bagi memperbaiki keadaan ini. Melalui persidangan mereka meminta negara-negara ahli mengambil tindakan bagi membaiki situasi dan seterusnya meningkatkan kedudukan wanita di negara masing- masing. Ke arah ini beberapa instrument termasuk konvensyen, deklarasi, resolusi dan pelan- pelan tindakan telah dirangka dan diperkenalkan bagi mengukuhkan komitmen negara-negara ahli untuk mengambil tindakan yang sewajarnya bagi melindungi hak-hak dan kesejahteraan wanita.
Sebagai komitmen dan sokongan terhadap usaha- usaha antarabangsa bagi melindungi hak wanita, Negara Brunei Darussalam telah pun menandatangani dan menjadi ahli kepada Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination Against Women pada tahun 2006. Selain daripada itu negara kita juga telah menandatangani beberapa instrumen yang berkaitan dengan kemajuan wanita, di antaranya ialah The Commonwealth Plan of Action on Gender and Development, Beijing Declaration and Platform of Action, Declaration on the Advancement of Women in the ASEAN Region, ASEAN Declaration on the Elimination of Violence against Women in the ASEAN, Region, ASEAN Declaration against Trafficking in Persons particularly Women and Children, Joint Declaration on the Attainment of the Millennium Development Goals (MDGs) in ASEAN and Declaration on Intergovernmental Commission on Human Rights.
Negara kita juga telah melantik dua orang pesuruhjaya sebagai ahli kepada ‘ASEAN Commission on Promotion and Protection of the Rights of Women and Children’, yang merupakan satu badan yang bertanggungjawab dalam mempromosi dan melindungi hak wanita dan kanak-kanak di rantau ASEAN.
Di Negara Brunei Darussalam alhamdulillah kita amat bersyukur kerana pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sentiasa memberi perhatian yang berat akan kebajikan dan kesejahteraan kaum wanita di negara ini. Perhatian yang khusus juga diberikan ke arah memperkasa sumbangan kaum wanita dalam pembangunan masyarakat dan negara. Ini adalah selaras dengan Wawasan Brunei Darussalam 2035 yang menekankan pentingnya kaum wanita diberi peluang yang sama dalam semua aspek kehidupan termasuk perkerjaan dan pembangunan negara.
Kesungguhan pihak kerajaan untuk memperkasa, melindungi hak serta meningkatkan kemajuan wanita di negara ini amat jelas dengan tertubuhnya satu jawatankuasa khas isu wanita dan institusi keluarga yang antara lain bertanggungjawab dalam menyediakan dasar-dasar dan pelan tindakan bagi menangani isu-isu yang berkaitan dengan wanita dan keluarga. Pelan tindakan tersebut akan merupakan sebagai blueprint bagi mencapai pembangunan dan kesejahteraan wanita dan keluarga di negara ini.
Pada keseluruhannya kaum wanita di negara ini adalah sama dengan kaum lelaki menerima manfaat (benefits) daripada perkhidmatan kesihatan, pendidikan, perumahan, pekerjaan dan peluang perniagaan. Di samping itu pihak kerajaan juga telah mengambil langkah-langkah tertentu bagi melindungi kaum wanita daripada berbagai bentuk keganasan, penganiayaan dan eksploitasi dengan menyediakan undang-undang yang berasaskan kepada perundangan sivil dan syariah seperti Perintah Keluarga Islam 1999, Women and Girls Protection Act, Children and Young Persons Order 2006, Married Women Act 1999, Unlawful Carnal Knowledge Act dan Trafficking and Smuggling of Persons Order 2004.
Yang jelasnya ialah langkah- langkah serta dasar-dasar dan perundangan di negara ini pada dasarnya adalah gender free yang berasaskan kepada ajaran Islam, secara langsung telah meningkatkan kedudukan wanita di negara ini.
Wanita di negara ini telah mencapai kemajuan yang amat menggalakkan. Ini jelas terbukti dalam pencapaian wanita di dalam bidang pendidikan umpamanya, di mana kadar literasi di kalangan wanita telah meningkat daripada 73 peratus pada tahun 1981 kepada 91.5 peratus pada tahun 2001 dan terus meningkat kepada 95 peratus pada masa kini.
Jumlah penuntut wanita di peringkat pendidikan tinggi juga semakin meningkat dan melebihi daripada penuntut lelaki yang mana 73 peratus daripada jumlah graduan Universiti Brunei Darussalam adalah terdiri daripada graduan wanita.
Pencapaian kaum wanita dalam bidang pendidikan telah membuka peluang kepada mereka untuk menceburkan diri dalam bidang pekerjaan. Jumlah wanita dalam tenaga kerja semakin meningkat daripada 20 peratus pada tahun 1971 kepada 56.7 peratus pada tahun 2008. Dalam perkhidmatan awam, 50.4 peratus daripada jumlah tenaga kerja adalah terdiri daripada wanita dan mereka menjawat 20 peratus daripada keseluruhan jawatan di peringkat eksekutif.
Pihak Kerajaan Kebawah DuliYang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam terus memberikan peluang yang sama kepada kaum wanita untuk menceburkan diri dalam bidang pekerjaan dengan mengubah skim perkhidmatan sebulan ke sebulan bagi kakitangan wanita dalam bahagian III ke bawah yang sudah berumah tangga kepada perkhidmatan secara tetap. Perkembangan yang terbaru ialah cuti bersalin bagi pegawai dan kakitangan wanita dinaikkan daripada 56 hari kepada 105 hari mulai 1 Januari 2011.
Dari segi kesihatan pula, petunjuk bagi wanita adalah setanding dengan kedudukan wanita di negara yang membangun. Mengikut perangkaan pada tahun 2009, jangka hayat bagi wanita lebih tinggi daripada lelaki iaitu 78.3 tahun berbanding dengan 77.1 tahun bagi lelaki. Kadar kematian sewaktu melahirkan adalah kosong dalam 100,000 kelahiran. Kaum wanita di negara ini juga telah mencapai kemajuan dalam bidang perniagaan di mana sebilangan besar perusahaan kecil dan sederhana di miliki oleh kaum wanita. Sebilangan besar daripada penerima skim mikro kredit bagi memulakan perniagaan juga adalah terdiri daripada kaum wanita.
Dalam usaha untuk meningkatkan kemajuan dan pembangunan wanita, kita tidak harus lupa akan peranan utama dan hakiki wanita iaitu menjaga kesejahteraan keluarga. Bagi wanita yang juga merupakan seorang ibu, isteri dan pekerja, pengorbanan yang dituntut adalah besar. Adalah tidak dapat dinafikan bahawa seorang wanita berkeluarga tidak boleh lari daripada menjadi pengurus rumah tangga walaupun dia seorang yang berkerjaya atau seorang yang profesional dalam bidang di luar rumah.
Cabaran yang dihadapi adalah untuk mencapai keseimbangan agar prestasi kerja tidak menjejaskan tanggungjawab wanita dalam keluarga. Justeru itu, untuk menunaikan pelbagai tanggungjawab dengan berkesan, seorang wanita perlukan pelbagai kemahiran dan kecekapan. Kaum wanita hendaklah bijak dalam menseimbangi di antara peranan mereka sebagai pekerja dan juga peranan mereka dalam keluarga.
Di samping itu, aspek-aspek moral dan kerohanian, hendaklah diberi keutamaan kerana pembangunan dan kemajuan wanita yang hanya berasaskan ekonomi dan material tidak akan lengkap tanpa adanya pembangunan dari aspek moral dan kerohanian.
Nilai-nilai moral dan kerohanian adalah amat penting, memandangkan peranan tiga dalam satu (three in one) kaum wanita iaitu sebagai 'isteri, ibu dan pekerja' merupakan unsur yang penting dalam membentuk masyarakat dan bangsa yang berkeperibadian tinggi. Apatah lagi dengan meningkatnya masalah sosial di kalangan remaja pada masa ini yang mana merupakan salah satu cabaran yang dihadapi dan harus ditangani dengan bijak oleh wanita selaku seorang isteri, ibu dan juga pekerja. Selain itu, nilai-nilai ini juga boleh menjamin kehormatan dan kedudukan wanita yang mulia dalam masyarakat.
Pihak Kerajaan Kebawah DuliYang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sentiasa menyokong apa jua usaha yang telah diungkayahkan oleh badanbadan bukan kerajaan seperti badan-badan koporat, pertubuhan- pertubuhan sukarela dan orang-orang perseorangan dalam usaha untuk meningkatkan kemajuan dan kesejahteraan masyarakat di negara ini. Oleh itu, saya sekali lagi sukacita merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Majlis Wanita kerana dapat mengungkayahkan Seminar Kemahiran Advokasi dan Pembentukan Strategi Sempena Hari Wanita ASEAN 2011. Adalah diharapkan seminar dan bengkel ini nanti akan dapat meningkatkan kemahiran dan keupayaan peserta terutama sekali kemahiran dalam bidang advokasi, pembentukan strategi demi kesejahteraan kaum wanita di negara ini.
Sebelum mengakhiri ucpaan saya ini, sekali lagi saya mengucapkan tahniah kepada Majlis Wanita atas usaha yang diungkayahkan selama ini dalam sama-sama berganding bahu dengan pihak kerajaan dalam kerja-kerja yang berkaitan dengan pembangunan masyarakat di negara ini. Saya berharap abiskita akan dapat meneruskan projek yang berkebajikan ini dan semoga segala usaha majlis ini akan memperolehi kejayaan serta mendapat keredaan daripada Allah Subhanahu Wata’ala jua.


