Speeches
Speeches 2011
Sesi Perjumpaan Bersama Pengurus-Pengurus Syarikat Perniagaan
Speeches 2011
Sesi Perjumpaan Bersama Pengurus-Pengurus Syarikat Perniagaan
Sesi Perjumpaan Bersama Pengurus-Pengurus Syarikat Perniagaan
Ucapan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib
Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato
Paduka Haji Othman semasa berucap pada Sesi Perjumpaan Bersama
Pengurus-Pengurus Syarikat Perniagaan pada Hari Khamis, 22 September
2011 Masihi / 23 Syawal 1432 Hijrah di Tingkat 6, Dewan Sebaguna,
Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri
Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Saya sukacita mengalu-alukan kehadiran pengurus-pengurus syarikat perniagaan dalam perjumpaan kita petang ini. Saya berterima kasih atas sambutan yang diberikan kepada usaha mengadakan perjumpaan ini. Syukurlah kita dapat berjumpa hari ini. Saya menyebutkan kita dengan maksud menekankan bahawa kita ini adalah pihak-pihak yang berkenaan dengan pekerjaan. Tuan/puan adalah majikan. Kami adalah pelaksana dan pemudah cara ehwal pekerjaan dalam sektor swasta.
Maka perjumpaan kita ini memberi kesempatan kepada kami menerangkan rancangan untuk memberi pekerjaan kepada rakyat dan penduduk tetap yang mencari kerja.
Kami sedar kami memerlukan sokongan tuan/puan.
Dan kami harap sokongan tuan/puan itu adalah genuine. Tuan/puan juga sedar ramai anak negeri ini yang memerlukan pekerjaan untuk menyara diri dan keluarga mereka.
Sehingga penghujung tahun lepas (2010) pihak kami ada mencatatkan seramai hampir enam ribu (5,951) orang yang mencari kerja dan meminta kami menolong mereka mendapatkan kerja. Hampir sembilan puluh peratus (89.4%) adalah lepasan sekolah Tingkatan V dan ke bawah.
Tentu sahaja kami melihat kepada peluangpeluang pekerjaan yang ada di syarikat-syarikat.
Kami mendapati ada banyak peluang itu.
Kami berpendapat bahawa sebahagian peluang kerja itu sudah patut diberikan kepada anakanak negeri ini yang sanggup bekerja dalam bidang kerja yang mereka gemari.
Oleh kerana itu dalam usaha mencarikan mereka kerja kami memilih pendekatan yang realistik.
Maksudnya: Kami kenal pasti bidang-bidang kerja yang mereka gemari dan sanggupi itu. Kami berikan mereka latihan. Sambil itu kami kenal pasti majikan-majikan yang berpotensi untuk mengambil mereka bekerja.
Kami juga mendapati ada majikan yang telah mengambil inisiatif sendiri memberikan pekerjaan kepada pencaripencari kerja tempatan. Kami alu-alukan inisiatif positif mereka itu.
Ada juga majikan, seperti Syarikat United Borneo Enterprise yang menerima peserta-peserta yang mengikuti latihan kerja pembersihan am secara penempatan kerja (on job attachment) di syarikatnya dan seterusnya mengambil mereka bekerja selepas latihan itu.
Dan dalam acara hari ini kita akan menyaksikan empat lagi syarikat iaitu Ben Foods (B) Sdn. Bhd., First Emporium and Supermarket, Hua Ho Department Store dan Sim Kim Huat Training Company Sdn. Bhd. akan menandatangani dokumen latihan kerja dengan beberapa orang yang pencari-pencari kerja. Syarikat-syarikat berkenaan itu adalah majikanmajikan yang berpotensi besar untuk mengambil pekerja-pekerja tempatan. Kerana itu kami sangat menghargai kesediaan mereka.
Pendek kata: Adalah sangat penting kita usahakan rancangan memberi pekerjaan kepada rakyat dan penduduk tetap secara saling bekerjasama antara pihak kerajaan dengan syarikat-syarikat swasta.
Dan yang sangat penting juga ialah kesediaan pencari-pencari kerja itu sendiri mereka mestilah bersikap positif terhadap pekerjaan di sektor swasta. Mereka mestilah merebut peluang yang ada. Sekali mereka mendapatnya hendaklah tidak melepaskannya.
Ertinya: Mereka mesti sedar yang mereka itu mahu bekerja kerana itu mereka mencari kerja. Apabila ada peluang bekerja mereka hendaklah merebutnya. Ada latihan diberikan. Ikuti latihan itu. Ada majikan mengambil mereka bekerja maka bekerjalah dengan baik, rajin dan patuh kepada majikan itu.
Di pihak majikan pula adalah sangat penting mereka memahami masalah pekerja tempatan. Cakapcakap mengenai mutu kerja pekerja-pekerja tempatan tidak sebanding dengan mutu kerja pekerja- pekerja asing sudah patut dikurangkan kalau pun tidak dihentikan. Cakap-cakap sedemikian itu kalau betul pun namun tidak semestinya tepat seratus peratus.
Ada faktor-faktor tertentu yang mesti kita lihat dan timbangkan dengan adil dan bijaksana. Khasnya faktor budaya dan motivasi.
Pada hemat saya, kita tidak perlu lagi menyebutkan kekurangan-kekurangan pekerja tempatan berbanding dengan pekerja asing. Tanggungjawab berat kita ialah membudayakan anakanak tempatan gemar, sanggup dan taat bekerja di sektor swasta.
Dan sama beratnya ialah membudayakan majikan-majikan menerimaanak-anak tempatan bekerja dengan senang hati, memahami masalah budaya dan motivasi mereka.
Pendek kata mesti ada sikap give dan take, bertimbang rasa dan toleransi.
Maka dalam semangat itulah kami mengusahakan pendekatan yang realistik ini.
Kami kenal pasti bidang-bidang pekerjaan yang digemari dan disanggupi oleh pencari-pencari kerja tempatan. Kami berikan mereka latihan. Kami kenal pasti bakalbakal majikan. Dan kami minta majikan-majikan memahami dan menyokong sepenuhnya usaha kami ini.
Kita memang sedia mempunyai Skim Latihan dan Pekerjaan (SLP). Dan SLP itu telah dikemaskan baru-baru ini dengan mengambil kira titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan sempena Sambutan Hari Keputeraan Baginda Yang Ke-65 Tahun baru-baru ini, iaitu memberikan insentif kewangan kepada anak-anak tempatan yang telah dilatih dengan kemahiran, asalkan mereka itu terus bekerja di sektor swasta.
Skim itu meliputi Latihan Kemahiran selama 5 - 14 hari bekerja dengan diberikan elaun sebanyak BND5 sehari. Diikuti dengan Latihan Sambil Bekerja (OJT) selama enam bulan dengan diberikan elaun 35 peratus oleh majikan, 65 peratus lagi oleh kerajaan dari jumlah gaji yang dibayar setiap bulan. Kemudian untuk menggalakkan pekerja tempatan itu kekal bekerja selama sekurang-kurangnya dua tahun, insentif kewangan akan diberikan sebanyak BND1,000 pada tahun pertama dan sebanyak BND1,500 pada tahun kedua.
Kami berharap kepada bakal majikan akan menyambut baik skim ini. Kami juga berharap pencari-pencari kerja |tempatan akan merebut peluang ini.
Kami merancang sekitar 150 orang akan diberikan latihan setiap bulan dan bermakna sekitar seramai 1,800 orang setahun akan mendapat faedah dari skim ini.
Kami mendapati ada tujuh jawatan dalam industri perdagangan, jual borong dan jual runcit yang digemari dan disanggupi oleh pencari-pencari kerja tempatan, iaitu Penyelia (Supervisor), Buruh (Labourer), Jurujual (Shop Assistant), Pemandu (Driver) / Penghantar (Deliveryman) dan Juruwang (Cashier).
Berdasarkan kuota pekerja asing yang bekerja di syarikat-syarikat dalam industri perdagangan, jual borong dan jual runcit, kamimendapati ada lapangan atau peluang kerja untuk pencari-pencari kerja tempatan yang mengikuti latihan dalam Skim Latihan dan Pekerjaan (SLP) itu. Mereka dapat dijamin mendapat kerja setelah mengikuti skim berkenaan itu.
Soalnya: Adakah majikan bersedia?
Kami percaya majikan-majikan yang dalam industri perdagangan, jual borong dan jual runcit akan mula mengutamakan pengambilan pekerja-pekerja tempatan.
Kuota bagi pengam-bilan baru pekerja- pekerja asing bagi tujuh jawatan itu akan dibekukan.
Pemohonan membaharui atau menyambung kuota pekerja asing bagi tujuh jawatan itu akan dibuat menurut kadarnya yang disesuaikan dengan bilangan pencari- pencari kerja tempatan yang telah dilatih.
SLP ini akan dimulakan secara formal pada1 Oktober 2011. Pengambilan pekerja- pekerja tempatan dari kalangan peserta-peserta Skim Latihan ini akan bermula secara formalnya selepas enam bulan iaitu pada1 April 2012.
Ertinya: Mulai 1 April 2012 akan datang majikan-majikan dalam industri yang dikenal pasti itu akan mengambil bekerja anak-anak tempatan di syarikat-syarikat mereka bagi tujuh jawatan yang dibekukan dan dikhususkan kepada pencari-pencari kerja tempatan itu.
Dalam pada itu, proses pengmbilan anak-anak tempatan dalam jawatanjawatan lain, jawatan-jawatan yang sebanding dengan tujuh jawatan tersebut adalah diteruskan seperti biasa menurut keperluan majikan-majikan dan adanya tenaga kerja tempatan yang bersedia mengisikannya. Misalnya jawatan-jawatan pelayan dan pembantu dapur di restoran-restoran.
Demikianlah butir-butir lanjut mengenai skim ini akan ditaklimatkan selepas ini.
(Pelita Brunei Online 7 Januari 2012)


