Home arrow Sabda arrow Majlis Pelancaran Pengagihan Kurma Kurnia KDYMM Make Text BiggerMake Text SmallerReset Text Size
Majlis Pelancaran Pengagihan Kurma Kurnia KDYMM PDF Print E-mail
Sabda Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah di Majlis Pelancaran Pengagihan Kurma Kurnia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersempena Bulan Ramadan 1431H/2010M pada Hari Sabtu, 12 Syaaban / 24 Julai 2010 bertempat Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam


Alhamdulillah, segala puji dan syukur hanya bagi Allah jua.  Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, kaum kerabat dan sahabat-sahabat serta pengikut-pengikut Baginda yang taat lagi setia hingga ke akhir zaman.

Di antara nikmat yang sangat bernilai ialah nikmat kesihatan dan umur panjang.  Dengan nikmat ini dapatlah kita berkumpul di Majlis Pelancaran Pengagihan Kurma Kurnia Peribadi Paduka Ayahanda, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena bulan Ramadan 1431 Hijrah.

Bulan Ramadan merupakan bulan yang penuh rahmat, di samping juga terdapat pelbagai dugaan.

Dugaan, bukan saja dalam perkara menahan lapar dan dahaga, tetapi juga menahan diri dari sebarang perbuatan keji dan maksiat.  Kerana walaupun berpuasa, jika dicampur dengan maksiat, maka alamatlah puasa itu akan jadi sia-sia.

Dalam sebuah hadis, bermaksud bahawa puasa itu adalah untuk Allah,  sementara lain-lain amalan adalah untuk anak Adam sendiri.

Ini membawa makna, ibadat puasa itu adalah berkait langsung dengan keimanan kepada Allah, dan barangsiapa jua yang melakukannya, orang itu adalah benar-benar memelihara hubungannya dengan Allah.

Demikian pula dalam masa berpuasa, hubungan kita sesama manusia juga hendaklah dijaga.  Bagaimana menjaga hubungan sesama kita itu?  Di antaranya, janganlah sekali-kali memutuskan silaturahim, jangan mengumpat, jangan berbohong dan jangan melakukan sebarang penganiayaan terhadap orang lain.

Juga dalam bulan Ramadan, kita boleh mengambil peluang keemasan untuk membanyakkan sedekah, kerana pada bulan ini sangat-sangat digalakkan untuk bersedekah.  Tidakkah ini juga satu cara bagi menjalinkan hubungan di antara pemberi dan penerima sedekah itu?

Dalam masa inilah, rezeki yang kita miliki, kita sumbangkan sedikit kepada mereka yang berhajat atas nama sedekah, dan insya-Allah, ganjarannya akan diterima menurut kadar yang telah ditentukan oleh Allah.

Di majlis yang berkebajikan ini, saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala, kerana melimpahkan kepada paduka ayahanda nikmat lanjut usia serta sihat afiat lagi sejahtera.

Dengan nikmat ini jugalah, paduka ayahanda dapat meneruskan lagi kurnia peribadi baginda berupa buah kurma untuk juadah berbuka puasa.

Kita merasa beruntung kerana dengan adanya buah kurma kurnia paduka ayahanda itu, maka hubungan serta pertalian sesama kita juga akan dapat terus ditingkatkan, melalui semangat kerjasama dan permuafakatan sesama kita pada melaksanakan pengagihan kepada rakyat dan penduduk Islam di Negara Brunei Darussalam ini.

Pada kesempatan ini, saya sukacita merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Pegawai-pegawai Daerah, Penghulu-penghulu Mukim, Ketua-ketua Kampung, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja , Jabatan Pelabuhan, Jabatan Penerangan dan Jabatan Radio dan Televisyen Brunei serta semua yang terlibat dalam sama-sama mengurus dan melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang berkebajikan ini dengan jayanya.

Mudah-mudahan usaha dan kerjasama yang disumbangkan oleh semua pihak itu, akan mendapat ganjaran yang setimpal daripada Allah Subhanahu Wataala jua.  Marilah kita sama-sama berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wataala, semoga paduka ayahanda akan sentiasa berada dalam pemeliharaan Allah dan beroleh kebahagiaan di dunia dan di akhirat.  Amin.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
< Prev   Next >
Copyright of Brunei Information Department, Prime Minister's Office. Joomla Template Supplied by Netshine Hosting