Home arrow Sabda arrow Mesyuarat Agung Tahunan 2010 Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Make Text BiggerMake Text SmallerReset Text Size
Mesyuarat Agung Tahunan 2010 Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam PDF Print E-mail
Sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah PresidenMajlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Semasa Mesyuarat Agung Tahunan 2010 Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Pada 21 Julai 2010 Bertempat Di Dewan Muzakarah Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala, selawat dan salam ke atas Rasul Agung kita, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, kaum kerabat, sahabat-sahabat serta pengikut-pengikut Baginda yang taat lagi jujur serta amanah hingga ke akhir zaman.

Terlebih dahaulu peramba/saya mengucapkan terima kasih, di atas kehadiran abiskita, di Mesyuarat Agung Tahunan 2010 pada pagi ini.

Mesyuarat ini adalah penting dalam semua aspek, sama ada dari segi pentadbiran dan program-program atau aktiviti-aktiviti sukan, yang diungkayahkan oleh Majlis Olimpik Kebangsaan (BDNOC) ini, mahupun dari segi aspek kepimpinan.  Malahan, yang paling penting sekali ialah sama ada BDNOC ini masih relevant atau tidak, dalam pembangunan dan perkembangan sukan negara.  Ini adalah persoalan dan cabaran yang sangat besar, yang mesti kita fikirkan dan hadapi bersama.

Peramba/saya percaya, dengan adanya pemimpin-pemimpin yang berkemampuan, berwibawa, berwawasan, jujur dan amanah, sedia berkorban untuk negara, BDNOC bukan saja akan lebih berintigriti, digalati dan dihormati, dinamik serta mempunyai hala tuju yang lebih jelas, dan mudah difahami, malah akan terus bertahan sebagai penggerak dan pemacu pembangunan dan perkembangan sukan di negara ini.

Sehubungan dengan itu, pencalonan dan pemilihan Ahli-ahli Eksekutif BDNOC bagi tahun 2010-2014, adalah sangat penting, kerana mereka inilah yang akan menentukan masa depan BDNOC.  Oleh yang demikian, peramba/saya berharap, calon-calon yang akan dikemukakan bagi pemilihan Ahli-ahli Eksekutif BDNOC bagi tahun 2010-2014, adalah yang benar-benar berkebolehan dan berwibawa, menepati dengan apa yang peramba/saya sebutkan terdahulu.

Kepada Ahli-ahli Eksekutif yang terpilih nanti, peramba/saya ucapkan tahniah dan berseru supaya mereka akan dapat memberikan komitmen sepenuhnya, kepada tanggungjawab yang diamanahkan, proaktif, beretika, akrab sebagai satu pasukan, dan yang amat penting ialah jujur dan ikhlas serta mengenepikan kepentingan-kepentingan peribadi.

Kepada Ahli-ahli Eksekutif yang tidak terpilih, jika ada, peramba/saya mengucapkan sekalung penghargaan dan terima kasih atas khidmat bakti dan sumbangan mereka semasa menerajui BDNOC.  Hanya Allah Subhanahu Wataala sahaja yang dapat membalas jasa-jasa mereka.

Di mesyuarat ini nanti, insya-Allah, BDNOC akan mempunyai perlembagaan yang baru, iaitu perlembagaan yang diiktiraf sepenuhnya oleh IOC.  Perlembagaan ini telah pun  digubal semula oleh Ahli-ahli Eksekutif BDNOC dan dimesyuaratkan beberapa kali, pada awal tahun ini dengan mengambil kira saranan-saranan dari pihak-pihak tertentu.  Isi kandungan, istilah dan bahasanya telah pun ditunduki dan dikemaskinikan oleh pihak Penasihat Undang-Undang IOC dan Pejabat Penguam Negara, Negara Brunei Darussalam.  Ini adalah untuk memastikan bahawa BDNOC itu benar-benar satu pertubuhan non-government organisation (NGO) yang berintigriti dan berwibawa dari segi perlembagaannya.

Dari segi komposisi ahli-ahli eksekutifnya, beberapa perubahan juga telah dibuat iaitu dengan mengmbil kira nasihat dari pihak IOC, supaya keahlian Eksekutif BDNOC dikecilkan bilangannya, selaras dengan formula IOC, iaitu satu pertiga dari jumlah ahli persatuan sukan olimpik yang berhak mengundi.  Oleh itu, jawatan Timbalan Presiden dan dua Naib Presiden ditiadakan.  Selain dari itu, jawatan Honorary Treasurer juga digabungkan dengan jawatan Setiausaha Agung, manakala jumlah ahli-ahli biasa dikurangkan dari sepuluh (10) persatuan sukan kepada lima (5) sahaja.  Mulai dari mesyuarat ini juga, kita akan mempunyai Logo Rasmi BDNOC yang baru.  Logo ini telah pun mendapat kebenaran dari pihak Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

Peramba/saya berharap, dengan perlembagaan dan logo baru ini dan dengan pendekatan-pendekatan yang efektif serta terbuka, yang akan peramba/saya bentangkan nanti, akan menyuntik semangat baru di kalangan ahli-ahlinya, sekali gus menjadikannya sebagai sumber inspirasi ke arah usaha untuk menyediakan perancangan-perancangan yang komprehensif dan bersistematik.

Bagi tempoh empat tahun yang akan datang, insya-Allah BDNOC dari masa ke semasa akan mengadakan majlis-majlis muzakarah dengan persatuan-persatuan sukan dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta dengan ‘stakeholders’ yang lain, jika diperlukan demi mewujudkan suasana yang lebih terbuka, harmoni dan bersepadu.

Seperti yang abiskita sedia maklum, pendekatan seperti ini telah pun kita mulakan dari akhir tahun lepas 2009 dan alhamdulillah telah mula menampakkan hasil, dan ianya mesti diteruskan.  Peramba/saya percaya, pendekatan cara inilah misi kitani untuk melahirkan satu rakan kongsi (partnership) yang mantap, kuat dan bersepadu, yang lebih terarah, terurus dan dihormati, dalam usaha kita mencapai matlamat dan wawasan yang terkandung dalam Dasar Sukan Negara, khususnya Dasar ‘Sukan Prestasi Tinggi’ akan lebih mudah untuk dicapai.

Dasar Sukan Negara yang peramba/saya meksudkan adalah seperti berikut:

A.    Pembangunan sukan dan kemajuan sukan adalah tanggungjawab antara kerajaan dengan sektor bukan kerajaan yang terdiri daripada pertubuhan/persatuan, belia dan sukan, bergerak secara sukarela dengan peranan dan tanggungjawab yang perlu diselaraskan; dan


B.    Hasrat untuk memjaukan lagi sukan tanah air, melalui penyertaan yang seluas-         luasnya dan mempertingkat kecemerlangan di peringkat antarabangsa.

Dalam memastikan BDNOC tetap relevant, BDNOC mestilah proaktif dalam menunaikan tanggungjawabnya.  Jika tidak tahu atau keliru, hendaklah bertanya pada yang tahu, jika ada yang perlu disuarakan demi kepentingan BDNOC atau sukan secara umumnya, maka tampillah ke hadapan dan bersuaralah, sama ada di kalangan rakan sepasukan, iaitu BDNOC atau dengan ‘stakeholders’ yang lain, iaitu rakan kongsi BDNOC.  Asalkan pertanyaan-pertanyaan kita itu berhemah, berpatutan dan munasabah.

Demi kepentingan, pembangunan dan kemajuan sukan di negara ini, sayugia jua peramba/saya mencadangkan kepada abiskita semua, untuk sama-sama memberikan buah fikiran dan pandangan yang bernas, untuk sama-sama kita bincangkan dari masa ke semasa.  Jika ianya bersesuaian, maka bolehlah kita sokong, untuk pertimbangan pihak-pihak berkenaan sebagai sumbangan BDNOC.  Begitulah juga sebaliknya, kita perlulah ‘receptive’ dengan teguran-teguran atau cadangan-cadangan ke arah kebaikan BDNOC.

Dengan cara inilah kemantapan ‘partnership’ itu dapat dibina, perpaduan dapat dikukuhkan, di samping hormat-menghormati di antara satu dengan yang lain.

Bercakap mengenai dengan rancangan, sama ada bersifat tahunan atau berpanjangan, sukacita peramba/saya menarik perhatian abiskita semua, bahawa dalam Dasar Sukan Negara ada disebutkan:

“Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam sebagai anggota International Olympic Committee dan memperjuangkan ‘semangat olimpik’ dan menyelaras persatuan sukan kebangsaan, mempunyai peranan dan tanggungjawab untuk membangun dan memajukan sukan terutama ke arah kecemerlangan.  Dasar Sukan Negara menekankan supaya majlis ini berfungsi lebih aktif menjalankan tugas dan tanggungjawabnya.  Penubuhan pertubuhan sukan yang boleh memberi khidmat sokongan seperti Persatuan Sains Sukan dan Persatuan Jurulatih dan sebagainya hendaklah digalakkan.”

Atas dasar inilah peramba/saya menyeru supaya semua Naib President BDNOC bagi 2010-2014 khususnya, akan dapat mengemukakan perancangan masing-masing, sama ada yang berbentuk aktiviti-aktiviti sukan, program-program latihan/kemahiran atau program-program yang berunsurkan pendidikan, terutama sekali mengenai nilai-nilai olimpik atau ‘olympic values’.  Ahli-ahli adalah dialu-alukan untuk sama-sama memberikan sumbangan.

Hari Olimpik yang kita sambut setiap tahun, sejauh ini hanya teetumpu di Bandar Seri Begawan sahaja, kecuali pada tahun 1997 yang mana ianya telah diadakan di Pekan Tutong.  Sehubungan dengan itu, peramba/saya mencadangkan supaya di masa akan datang, sambutan Hari Olimpik ini dilaratkan juga ke daerah-daerah lain, iaitu bukan saja untuk memberikan peluang untuk penduduk tempatan ikut serta, malah inilah usaha BDNOC untuk ‘reach out’ kepada semua lapisan masyarakat dalam menerapkan ‘olympic values’ dan bersukan amalan cara hidup sihat.

Selain dari Larian Hari Olimpik atau aktiviti-aktiviti sukan seperti ‘Mini Olympic Sports’, mungkin ada baiknya taklimat-taklimat atau program-program pendidikan mengenai ‘olympism’ juga dilaksanakan dari masa ke semasa, terutama sekali di kalangan belia-belia dan penuntut-penuntut sekolah.  Ini adalah sebagai usaha dan sumbangan BDNOC dalam mewujudkan suasana ‘awareness’ di kalangan masyarakat, belia-belia dan penuntut-penuntut sekolah mengenai aspirasi dan nilai-nilai yang diperjuangkan dan menjadi teras Sukan  Olimpik.

Pada bulan Jun yang lalu, selain dari memperingati Hari Olimpik, BDNOC dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan telah juga mengendalikan Queen’s Baton Relay, yang mana telah pun mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dari semua pihak.  Ianya adalah satu kejayaan besar BDNOC.  Insya-Allah empat tahun akan datang, ianya akan dapat dianjurkan dengan lebih baik lagi dan lebih cemerlang lagi.

Selain dari dua acara sukan di atas, peramba/saya juga menyedari bahawa selama ini, BDNOC belum pernah mengungkayahkan acara sukan yang berbentuk ‘charity’.  Misalnya Charity Run atau Charity Walkthon.  Oleh itu peramba/saya mencadangkan supaya perkara ini dipertimbangkan dan dijadikan acara tahunan BDNOC.

Mengenai dengan perancangan yang lain, peramba/saya berharap Ahli-ahli BDNOC akan sama-sama memikirkannya.  Jika ianya satu cadangan yang bermanfaat, maka dapatlah ianya dipertimbangkan untuk dilaksanakan.

Berbalik kepada Dasar Sukan Negara yang peramba/saya nyatakan awal tadi, khususnya ‘penubuhan pertubuhan sukan, yang boleh memberi khidmat sokongan seperti Persatuan Sains Sukan dan Persatuan Jurulatih dan sebagainya hendaklah digalakkan’.

Sehubungan dengan perkara ini, peramba/saya berpendapat mungkin sudah tiba masanya bagi negara ini mempunyai Persatuan Sains Sukan dan Persatuan Jurulatih selaras dengan saranan Dasar Sukan Negara tersebut.  Bagaimana persatuan-persatuan ini ditubuhkan, bolehlah kita sama-sama memikirkannya.  Peramba/saya mencadangkan supaya Naib-naib Presiden dan Setiausah Agung BDNOC, yang terpilih nanti, akan cuba sekadar cepat yang mungkin, untuk mendapatkan struktur dan objektif persatuan-persatuan seperti ini dari negara-negara sahabat supaya dapat dijadikan panduan.  Mana-mana aspek yang relevan, bolehlah kita gunapakai, di samping bersendikan kepentingan-kepentingan negara, selaras dengan apa yang diaspirasikan oleh Dasar Sukan Negara itu sendiri.  Semua pandangan/cadangan mengenainya termasuklah yang disuarakan oleh ahli-ahli yang lain jika ada, hendaklah dipertimbangkan dengan saksama.

Mengenai dengan Program Olympic Solidarity seperti yang kita sedia maklum, International Olympic Council ada menyediakan peruntukan sejumlah US$80,000.00 untuk Negara Brunei Darussalam bagi jangka masa empat tahuin mulai 2009 hingga 2013, yang mana sebahagiannya telah pun kita manfaatkan.

Peruntukan ini adalah khusus untuk program-program latihan, kejurulatihan, pengadilan, kursus-kursus kemahiran dan pentadbiran.

Semasa sesi muzakarah di BDNOC dengan persatuan-persaatuan sukan pada 4 Mac 2010 yang lalu, pernah peramba/saya tekankan betapa mustahaknya bagi persatuan-persatuan sukan, khususnya bagi sukan-sukan yang berbentuk subjektif seperti wushu, karatedo, taekwando dan pencak silat untuk mempunyai pegawai-pegawai teknikal yang berkelayakan untuk duduk sebagai juri, pengadil, hakim dan sebagainya dalam mana-mana kejohanan yang disertai oleh negara ini, iaitu bagi mengelakkan pengadilan yang ‘bias’ dan mengimbangi pegawai-pegawai teknikal yang dilantik oleh negara-negara yang menyertai satu-satu kejohanan.

Peramba/saya tidak pasti sama ada peruntukan Program Olympic Solidarity bagi melahirkan pegawai-pegawai teknikal tempatan yang berkemahiran, telah dimanfaatkan atau sebaliknya.  Jika belum, peramba/saya menyarankan supaya dipertimbangkan dan dilaksanakan secepatnya.

Selain dari itu, kita juga seharusnya memikirkan apakah bentuk-bentuk latihan yang perlu dilaksanakan, di bawah program ini, khususnya, yang menjurus kepada peningkatan kecemerlang atlet.  Walau bagaimanapun, perancangan dan perlaksanaan latihan-latihan seperti ini, ada baiknya diselaraskan dengan Jabatan Belia dan Sukan, bagi mengelakkan duplikasi dan pertindihan masa yang dicadangkan.

Seperti juga yang pernah peramba/saya peringatkan sebelum ini, semua persatuan sukan khususnya yang bergabung dengan BDNOC supaya sentiasa mematuhi dan menghormati perlembagaan persatuan masing-masing dan memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).  Laporan Tahunan, berserta Laporan Kewangan hendaklah dihadapkan dengan salinan kepada BDNOC dan Jabatan Belia dan Sukan.

Peramba  saya berharap supaya peringatan ini diambil perhatian yang serius memandangkan padah dari kegagalan mematuhinya amat besar dan kadangkala memalukan.

Dalam hubungan ini, peramba/saya sekali lagi berseru kepada semua pemimpin persatuan-persatuan sukan yang dilantik supaya memberikan komitmen sepenuhnya kepada tanggungjawab yang diamanahkan, jujur dan ikhlas serta mengenepikan kepentingan diri sendiri dalam mentadbir persatuan masing-masing.  Peramba/saya percaya, jika ini yang ada di hati kita, di samping berusaha dengan lebih gigih lagi, insya-Allah, sesebuah persatuan itu akan lebih maju dan beroleh kejayaan.

Sehubungan dengan pencalonan atlet bagi menyertai mana-mana pesta sukan serantau dan antarabangsa, peramba/saya menasihatkan supaya jawatankuasa pemilihan persatuan-persatuan sukan berkenaan, akan sentiasa mematuhi dasar, garis pandu pemilihan yang ditetapkan dan bukanya berdasarkan pilih kasih.

Persediaan bagi penyertaan negara di pesta sukan serantau dan antarabangsa:

1.    First Youth Olympic Games – Singapore, 14 – 26 August 2010
2.    Commonwealth Games – India, 3 – 14 October 2010
3.    16th Guangzhou Asian Games – China, 12 – 27 November 2010
4.    2nd Asian Beach Games – Oman, 8 – 16 December 2010
5.    26th SEA Games – Indonesia, November 2011 (11.11.11 – Opening Ceremony)

Peramba/saya berharap, perancangan yang terperinci di peringkat persatuan telah dibuat dan dinilai keberkesanannya demi memastikan atlet-atlet yang disokong dan terpilih untuk mewakili negara itu nanti benar-benar berpotensi dan berkemampuan untuk meraih lebih banyak pingat.
   
Bercakap mengenai kecemerlangan, kita perlu memperbaiki pencapaian negara ini ke satu tahap yang lebih baik lagi.  Kita mesti belajar dan mengkaji mengapa negara-negara jiran kita, malah di peringkat negeri/wilayah, mampu memperbaiki dan meningkatkan ‘benchmark’ dan pencapaian masing-masing.  Oleh itu, semua persatuan-persatuan sukan disarankan untuk mengambil langkah-langkah proaktif bagi sama-sama mencapai target dan matlamat yang diharapkan.

Jadual pesta-pesta atau kejohanan-kejohanan sukan sama ada di peringkat serantau mahupun antarabangsa memang sudah kita ketahui seawal lagi, kerana ianya jika tidak diadakan secara tahunan akan diadakan dua atau empat tahun sekali.  Oleh yang demikian, tidak ada sebab mengapa perancangan dan program-program latihan tidak dapat dibuat seawal-awalnya.

Akhirnya, peramba/saya berharap bahawa suatu hari nanti kita dapat melihat BDNOC itu menjadi sebuah badan NGO yang benar-benar berintigriti, berwibawa, digalati dan dihormati serta cemerlang dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai pemacu pembangunan dan perkembangan sukan di negara ini, lebih-lebih lagi sukan berprestasi tinggi.  Ke arah itu, peramba/saya menyeru kepada abiskita kita semua untuk sam-sama berusaha dengan lebih gigih lagi dalam mengenal pasti langkah-langkah yang perlu kita ambil dan laksanakan demi memastikan bahawa apa yang kita harapkan itu akan menjadi kenyataan.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Last Updated ( Monday, 26 July 2010 )
< Prev   Next >
Copyright of Brunei Information Department, Prime Minister's Office. Joomla Template Supplied by Netshine Hosting